BUKTI ISRA’ MI’RAJ BERLAKU DENGAN ROH DAN JASAD
Isra’ Mi’raj adalah suatu perjalanan yang penuh mukjizat dan dikagumi oleh orang-orang yang membenarkan. Ianya dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW, di mana beliau melakukan perjalanan dari Makkah Al-Mukarramah ke Masjid Al-Aqsa di Jerusalem, sebelum akhirnya naik menuju ke syurga. Kesemua ini dilakukan hanya dalam waktu satu malam sahaja iaitu pada 27 Rajab.
Peristiwa ini terjadi selepas berlalunya tahun kesedihan ke atas baginda SAW kerana meninggalnya dua sosok mulia yang sangat mencintai dan sentiasa melindungi Nabi Muhammad SAW yakni isteri tercinta, Khadijah RA dan bapa saudara baginda SAW, Abu Thalib. Ditambah lagi kesedihan yang teramat apabila diperlakukan dengan buruk dan dicaci maki oleh kaum Quraisy serta penolakan yang zalim sehingga dibaling dengan batu-batu yang melukakan tubuh mulia baginda SAW dari orang-orang Ta’if.
Oleh kerana itulah, baginda SAW yang sangat dicintai Allah SWT dianugerahkan dengan perjalanan yang menakjubkan, Isra’ Mi’raj untuk mengubati hati baginda SAW yang duka lara dan penuh dengan kesedihan yang menyelubungi. Hal ini demikian kerana agar baginda SAW dapat kembali menyambung tanggungjawab sebagai Rasul yang terakhir menyebarkan dakwah baginda SAW kepada umat akhir zaman.
Perjalanan ajaib ini diyakini sebagai perjalanan jasmani dan rohani yang pernah dialami baginda SAW. Perkara-perkara ghaib juga seperti syurga, neraka, hari akhirat dan sebagainya mestilah pengkhabarannya melalui Al-Quran ataupun hadis-hadis Nabi SAW yang sahih. “Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka”, Surah Al-Baqarah, 3.
Peristiwa seperti perjalanan Isra’ Mi’raj ini bukan sahaja berlaku dengan roh Nabi SAW semata-mata, namun ia juga berlaku pada jasad Rasulullah SAW. Ianya adalah kisah yang mutawatir dan sama sekali tidak boleh diingkari. “Maha Suci Allah SWT yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”, Surah Al-Isra’, 1.
BUKTI PERJALANAN ISRA’ MI’RAJ BERLAKU DENGAN JASAD DAN BUKAN SEMATA ROH SAHAJA.
Antara bukti baginda berjalan dengan roh dan jasad sewaktu peristiwa Isra’ Mi’raj ialah baginda SAW melihat dengan jelas warna, bentuk, dan keadaan haiwan yang didatangkan kepada baginda. “Kemudian aku didatangkan dengan seekor haiwan yang berwarna putih yang dinamakan sebagai al-buraq. Bentuknya lebih tinggi berbanding keldai dan rendah sedikit berbanding baghal.”
Selain itu, terdapat riwayat Hadis “Aku dibawa naik ke atasnya (Buraq) kemudian kami pun bertolak sehinggalah kami sampai ke langit dunia”, Riwayat Muslim, 164.” Hal ini jelas menunjukkan frasa “menaiki” dan duduk di atas sesuatu itu jelas menunjukkan yang ia berlaku dengan jasad dan bukannya dengan roh sahaja.
Di samping itu juga, Imam al-Thabari berpendapat bahawa dalil-dalil yang sahih telah jelas menunjukkan bahawa baginda Rasulullah S.A.W diperjalankan di atas haiwan yang dinamakan sebagai buraq. Sekiranya Isra’ itu berlaku dengan roh baginda, nescayalah roh tidak dipikul di atas buraq. Ini kerana, haiwan tidak menanggung selain daripada jisim.
Sudah terang lagi bersuluh, hikmah peristiwa Isra’ Mi’raj ini adalah merupakan suatu ujian kepada orang yang mengaku beriman kepada Nabi SAW, samada mereka betul-betul beriman ataupun tidak. “Dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia”, Surah Al-Isra’, 60.
Terdapat juga dakwaan-dakwaan yang tidak berasas yang mengatakan peristiwa Isra’ Mi’raj ini palsu kerana menzahirkan kelemahan Nabi SAW. Hali ini demikian kerana ada yang berpendapat mengapa harus Nabi SAW perlu mengikut saranan Nabi Musa AS untuk dikurangkan jumlah solat daripada 50 waktu kepada 5 waktu sahaja. Jalankanlah sahaja seperti mana yang telah diperintahkan Allah SWT.
Pada zahirnya, kisah ini seakan-akan menampakkan kelemahan Nabi SAW kerana tidak menjalankan terus apa yang telah diperintahkan. Namun pada hakikatnya, tindakan Nabi SAW ini sebenarnya menzahirkan sifat rahmat dan belas kasihan Nabi SAW kerana tidak mahu melihat umatnya terbeban dengan perlunya solat sehingga 50 waktu dalam masa sehari. Bahkan Baginda SAW merujuk kepada Nabi Musa AS adalah kerana disebabkan perintah solat juga turun secara khusus kepada Bani Israil.
Di dalam Kitab Syarh Sahih Al-Bukhari, 7/202 nukilan Fath Al-Bari “Hikmah mengapa Nabi SAW merujuk kepada Nabi Musa adalah berkemungkinan umat Nabi Musa AS juga ditaklifkan dengan perintah solat yang mana ianya tidak diperintahkan kepada umat sebelumnya. Yang mana perintah tersebut dilihat berat untuk dilakukan oleh umat Nabi Musa AS. Oleh kerana itu, Nabi Musa AS memberikan pandangan atas dasar belas kasihan terhadap umat Nabi Muhammad SAW. Isyarat ini boleh dilihat melalui kata Nabi Musa AS “aku telah cuba untuk umatku”
Hal ini sangat bertepatan dengan hikmah bahawa pengurangan solat sehingga menjadi 5 waktu ini membuktikan agama Islam ini mudah dan tidak membebankan. “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan)”, Al-Maidah, 6.
Selanjutnya, ianya juga menonjolkan sifat agama Islam yang sentiasa menyenangkan. Bayangkan jika solat 50 waktu dilaksanakan, sudah pasti akan mewujudkan perasaan yang berat dalam kalangan umat Islam dan menyebabkan adanya kecuaian terhadap perintah-perintah Allah SWT yang lain khususnya tanggungjawab manusia sebagai khalifah untuk mengimarahkan bumiNya.
Seterusnya ia dapat meningkatnya produktiviti umat Islam dan tidak ada alasan remeh lagi untuk tidak melaksanakan perintah solat, kerana fardhu menunaikan solat sudah pun dikurangkan sehingga hanya menjadi 5 kali waktu solat setiap hari sahaja.
Akhir kata, semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada segala syubhat dan keraguan terhadap perkara yang telah thabit di dalam agama Islam.