ISRAK DAN MIKRAJ: HADIAH, “HEALING” BUAT RASULULLAH SAW
Di Malaysia, bila sebut sahaja tarikh 27 Rejab pastinya umat Islam di negara ini telah sinonim dengan satu peristiwa agung yang berlaku terhadap diri junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam iaitu peristiwa Israk dan Mikraj. Maka menjadi kebiasaan masjid-masjid, surau-surau dan institusi-institusi di Malaysia akan mengadakan program-program ceramah berkaitan dengannya. Meskipun ada perselisihan dalam kalangan para ulama’ berkenaan bilakah tarikh sebenar peristiwa agung ini berlaku namun, apa yang pasti peristiwa ini menatijah kepada kefarduan solat lima waktu sehari semalam bagi setiap orang Muslim yang mukmin.
Jika kita singkap semula perjalanan sebelum berlakunya peristiwa ini, ianya cukup untuk mengambarkan bahawa Israk dan Mikraj ini bukanlah semata satu mukjizat buat baginda sallallahu alaihi wasallam namun ianya adalah satu hadiah istimewa dari Allah SWT kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Bahkan, dengan peristiwa ini juga kita akan melihat bagaimana Rasulullah sallallahu alaihi wasallam “healing” selepas apa yang ditempuh oleh baginda dalam meniti hari sebagai seorang pendakwah. Sebelum berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj ini, tahun tersebut digelar oleh sejarawan sebagai Tahun Dukacita.
Pada tahun itu, berlaku dua peristiwa yang menjadikan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pada ketika itu sangat sedih iaitu dengan kematian dua orang yang menjadi tonggak utama dalam dakwah baginda sallallahu alaihi wasallam iaitu isteri baginda saidatina Khadijah dan Abu Talib yang merupakan bapa saudara baginda. Seorang berperanan dalam memberikan sumbangan harta terhadap kerja dakwah baginda dan seorang lagi berperanan sebagai pelindung bagi kerja dakwah baginda. Sudah pasti perkara ini meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam diri Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Saidatina Khadijah isteri, “First love” Baginda sallallahu alaihi wasallam yang sentiasa menjadi penyokong dibelakang baginda dalam menyebarkan risalah Islam, bahkan segala pahit getir sepanjang dakwah yang dialami baginda, saidatina Khadijah yang menjadi saksi dan sentiasa bersama baginda sallallahu alaihi wasallam. Abu Talib, bapa saudara nabi yang merupakan pembesar Quraisy pada ketika itu, walaupun belum memeluk Islam, namun beliau sentiasa memberikan perlindungan kepada baginda sallallahu alaihi wasallam sepanjang baginda berdakwah. Bahkan pengakhiran hidup Abu Talib ini sangat menyedihkan baginda sallallahu alaihi wasallam apabila Abu Talib meninggal dalam keadaan tidak beriman kepada Allah SWT.
Maka rentetan daripada peristiwa ini, Allah kurniakan sebuah hadiah kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam untuk mengembirakan semula hati baginda iaitu peristiwa Israk dan Mikraj. Bagaimana Allah menjemput baginda naik ke langit bertemu dengan-Nya dan sebelum itu baginda diizinkan oleh Allah untuk bertemu dengan beberapa orang Nabi dan Rasul sebelum baginda. Perkara ini jika dilihat dan dihayati, tujuan Allah SWT menemukan baginda sallallahu alaihi wasallam dengan Nabi dan Rasul lain agar wujud rasa kebersamaan dalam diri baginda sallallahu alaihi wasallam dengan Nabi dan Rasul yang lain. Selepas bertemu dengan para nabi dan rasul yang lain, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam terus bertemu dengan Allah SWT. Beginilah bagaimana Allah mengembirakan semula hati baginda sallallahu alaihi wasallam.