Bunuh Diri.
Mengikut Kamus Dewan Bahasa membunuh diri ialah mengambil nyawa sendiri dengan sengaja. Untuk itu banyak cara yang dilakukan oleh orang ingin membunuh diri sendiri seperti menembak diri sendiri, terjun daripada tempat yang tinggi, menggantungkan diri sendiri, meminum racun dan pelbagai bentuk lagi. Semoga Allah selamatkan kita daripada bercita-cita untuk membunuh diri sebaliknya Allah memberi kekuatan kepada kita untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan agar kita dipahalakan dalam mizan hasanah kita pada hari akhirat kelak. Isu bunuh diri bukan hanya berlaku di Negara yang mundur atau membangun tetapi di Negara yang hebat juga berlaku kes sebegini, seperti di negara maju Amerika Syarikat (AS), gejala membunuh diri adalah punca kematian yang ketiga tertinggi dalam kalangan remaja. Ia dijangka meningkat jika tidak dibendung awal.
Negara seperti Jepun turut mengalami fenomena ini terutama dalam kalangan remaja mereka. Malah, tidak mustahil perkara sebegini akan berlaku jua di Malaysia dan ianya sudah pun ada akan tetapi masih kecil bilangannya. Di Negara yang mundur pula, bunuh diri biasannya disebabkan tekanan hidup kerana merasakan tiada lagi harapan untuk hidup dengan baik dan membawa kepada putus asa. Kebanyakan masyarakat daripada budaya dan agama mana pun suka kepada kehidupan mereka, rasa gembira sepanjang masa dan gemar membina jaringan sosial. Mereka mempunyai fikiran positif mengenai perkembangan dan masa depan. Dalam kepantasan perubahan ini sesetengahnya dapat menyesuaikan diri dan mengalami suasana yang menggembira dan menyeronokkan. Namun, ada yang tidak berkongsi keseronokan proses kehidupan dan berhadapan dengan penuh ketegangan, kesunyian dan kesedihan.
Antara penyebab dan penyumbang kepada ingin membunuh diri ialah:
- Mereka datang daripada keluarga yang porak peranda, mempunyai masalah kemiskinan, tempat tinggal yang kurang memuaskan dan juga kelemahan personaliti kendiri.
- Mereka juga mengalami pengalaman dalam putus percintaan. Dalam kesedihan yang melampau ini, sangat perlukan kekuatan dan kemahiran menangani merupakan salah satu keperluan dalaman.
- Akibat keluarga yang amat banyak masalah sehingga kehidupan tidak tenteram dan masng-masing tidak bertanggungjawab sama ada ibu bapa dan adik beradik.
- Sebahagian ibu bapa tidak mempunyai skil kemahiran keibubapaan, komunikasi, akhlak dan adab Islami yang baik. Hubungan keluarga yang bercirikan kemarahan, sindir-menyindir, kata-mengata, tidak stabil emosi dan ketidakterimaan juga boleh menyebabkan perangai danm akhlak mereka akan rosak.
- Pencapaian akademik dan keputusan yang baik serta kegagalan dalam mencapai keputusan yang diharapkan boleh membawa tekanan kepada pelajar sehingga membunuh diri terutamanya jika stress yang melampau.
- Akibat ketakutan seperti kepada along atau seseorang yang mengancam juga menyumbang ke arah cubaan membunuh diri.
- Pandangan worldview Kesan daripada bunuh diri berkluster kadang-kadang membuatkan mereka meniru-meniru gejala ini seperti melihat di Internet atau filem yang merasionalkan tindakan dan keputusan ini.
- Atau setengah kefahaman global seperti peperangan, keganasan, ancaman penyakit, jenayah dan kebuluran yang menimpa dunia boleh memberi kesan kepada pemikiran remaja dan dengan tidak dapat mengawal perasaan, kesedihan, kebencian maka kadang-kadang mereka mengambil keputusan sendiri dengan menamatkan riwayat mereka.
Allah SWT berfirman:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan. (Surah al-Baqarah: 195)
Maknanya ialah janganlah kamu melakukan sebab yang menjadi kebinasaanmu.
Syeikh Abdurrahman bin Nasir bin Abdullah al-Sa’adi dalam tafsirnya iaitu tafsir Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Manan menyebut: “Sesiapa yang menjatuhkan dirinya kepada kebinasaan dengan melakukan maksiat kepada Allah dan juga berputus asa daripada taubat kepada Allah.” Imam al-Suyuti berkata dalam tafsirnya: “Maksudnya dirimu. Sedangkan ba (huruf jar iaitu ba) sebagai tambahan (ke dalam kebinasaan) atau kecelakaan disebabkan meninggalkan atau mengeluarkan untuk berjihad yang akan menyebabkan menjadi lebih kuatnya pihak musuh daripada kamu.”
Firman Allah SWT:
وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا
Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak). (Surah al-Isra’: 33)
Ayat ini menunjukkan haram membunuh jiwa termasuk diri sendiri kerana umumnya. Bunuh diri adalah dosa besar, kerana adanya ancaman khusus baginya, sebagaimana sabdanya:
مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَىْءٍ عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Al-Imam al Nawawi rahimahullah berkata, “Al Qadhi Iyadh mengatakan, menurut pendapat para ulama, setiap jenazah muslim sama ada meninggal kerana suatu hukuman, direjam, bunuh diri dan anak zina tetap disolatkan. Daripada Jundub RA, Nabi SAW bersabda:
كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ بِهِ جُرْحٌ، فَجَزِعَ فَأَخَذَ سِكِّينًا فَحَزَّ بِهَا يَدَهُ، فَمَا رَقَأَ الدَّمُ حَتَّى مَاتَ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى بَادَرَنِي عَبْدِي بِنَفْسِهِ، حَرَّمْتُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisaunya lalu memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: Hamba ku telah menyegerakan untuk mati, aku telah mengharamkan ke atasnya syurga.” Riwayat al-Bukhari
Hadis ini menunjukkan pembunuh diri tidak dimasukkan ke dalam syurga adalah sebagai ancaman yang amat keras. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
منْ قَتَلَ نَفْسَهُ بحَديدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِى يَدِهِ يَتَوَجَّأُ بِهَا فِى بَطْنه فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا، وَمَنْ شَرِبَ سمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَحَسَّاهُ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا، وَمَنْ تَردَّى مِنْ جبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَرَدَّى فِى نَارِ جَهَنّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا
Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.” Riwayat Muslim
Imam Qadhi Iyadh meletakkan hadis ini dalam Syarah Sahih Muslim di bawah bab “larangan membunuh diri sendiri, sesungguhnya sesiapa yang membunuh dirinya sendiri dengan sesuatu, dia akan diazab dengan sesuatu tersebut dalam neraka dan dia tidak akan memasuki syurga kecuali dirinya muslim”. Imam Qadhi Iyadh menyebut bahawa orang yang membunuh diri akan memasuki neraka dalam tempoh yang panjang akan tetapi bukannya kekal di dalam neraka selama-lamanya. Imam al-Syatibi menyatakan bahawa semua ajaran yang ditetapkan oleh Islam adalah untuk menjaga kemaslahatan yang lima. Berdasarkan dalil-dalil di atas jelas bahawa bunuh diri merupakan perbuatan yang dilarang dan bertentangan dengan perintah agama. Kerana besarnya dosa akibat perbuatan tersebut maka tempat kembali orang yang melakukannya adalah neraka jahanam. Berdasarkan nas di atas dan juga pendapat ulama jelas menunjukkan kepada kita bahawa membunuh diri adalah haram dan termasuk dalam dosa besar. Sehingga ramai ulama memasukkan dalam kitab masing-masing berkenaan dengan dosa besar salah satunya ialah membunuh diri.
Tag:ustazustazahcom