DOA NABI ADAM DAN SAIYIDAH HAWA : SIRI 2
IBLIS MENGINGKARI PERINTAH ALLAH
DALAM siri penulisan sebelum ini, kita telah mengetahui bahawa terdapat doa yang dipanjatkan oleh Nabi Adam dan saiyidah Hawa -عليهما السلام- ke hadrat Allah -سبحانه وتعالى- . Ianya menggambarkan kepada kita tentang penyesalan serta taubat Nabi Adam dan sayyidah Hawa kepada Allah -سبحانه وتعالى-.
Dalam Surah al-Baqarah ayat ke-30, ada dinyatakan bahawa Allah -سبحانه وتعالى- telah mencipta manusia dan menjadikannya sebagai khalifah di muka bumi. Allah menciptakan Nabi Adam -عليه السلام- lalu memerintahkan seluruh makhluk untuk tunduk sujud menghormati Baginda.
Namun, iblis telah mengingkari perintah Allah tersebut dan menyombongkan diri. Dia kemudiannya dikeluarkan dari syurga dan bersumpah akan menyesatkan manusia sehingga hari kiamat.
USAHA SYAITAN MENYESATKAN MANUSIA
Setelah diusir dari syurga, syaitan merasa iri dan berusaha menipu, menggoda dan memperdaya keduanya supaya ia dapat merampas semua kenikmatan dan pakaian yang bagus daripada Nabi Adam dan isterinya.
Syaitan berusaha memperdaya dengan kebohongan yang direka-reka sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah -سبحانه وتعالى- pada Surah al-A’raf ayat ke 20 :
-﴿فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِنْ سَوْآتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَنْ تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ٢٠﴾ [الأعراف: 20]
Maksudnya : «Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)”» (Surah al-A’raf : 20)
Kemudian syaitan turut bersumpah dengan menyebut nama Allah kepada keduanya bagi menampakkan kebatilan kata-katanya sebagai sesuatu yang benar :
-﴿وَقَاسَمَهُمَا إِنِّي لَكُمَا لَمِنَ النَّاصِحِينَ٢١﴾ [الأعراف: 21]
Maksudnya : «Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): “Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua”» (Surah al-A’raf : 21)
Dalam Tafsir Ibnu Katsir, kata-kata ini diertikan sebagai : sesungguhnya aku(syaitan) sudah berada di syurga sebelum kalian dan lebih mengetahui tempat ini (syurga).
Firman Allah –سبحانه وتعالى- pada ayat yang seterusnya;
﴿فَدَلَّاهُمَا بِغُرُورٍ فَلَمَّا ذَاقَا الشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ وَنَادَاهُمَا رَبُّهُمَا أَلَمْ أَنْهَكُمَا عَنْ تِلْكُمَا الشَّجَرَةِ وَأَقُلْ لَكُمَا إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمَا عَدُوٌّ مُبِينٌ٢٢
Maksudnya : «Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?”» (Surah al-A’raf : 22)
Setelah itu, pada ayat ke 23 Surah al-A’raf, dirakamkan keluarlah doa yang diucapkan oleh Nabi Adam dan Saiyidah Hawa sebagai satu penyesalan atas perbuatan yang sebelum ini,,
قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ٢٣﴾ [الأعراف: 22-23]
«Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”(23)»
Ad-Dahhak bin Muzahim menyatakan, kata-kata itu merupakan kalimat yang diterima oleh Nabi Adam daripada Allah -سبحانه وتعالى- sendiri.
KESIMPULAN
Al-Sa’di dalam tafsirnya menyatakan, “barangsiapa yang menyerupai Adam dengan mengaku, meminta pengampunan, menyesal, dan berhenti daripada dosanya, maka Allah akan memilihnya dan memberi petunjuk kepadanya.
Manakala barang siapa yang menyerupai Syaitan yang jika dosa datang daripada dirinya, dan dia terus menerus melakukan dosa dan bertambah maksiat, maka dia akan bertambah jauh daripada -سبحانه وتعالى-.”
Wallahua’lam.
Ruj:
-Dr Said b Ali b Wahaf al-Qahtani, Syarh al-Dua’ min al-Kitab wa al-Sunnah.
-Ibn Katsir, Bidayah wa al-Nihayah.
-Al-Sa’di, Tafsir al-Sa’di.
-Ibn Katsir, Tafsir al-Quran al-Azim.