LGBT GOLONGAN PELAMPAU!
KUMPULAN 1975 baru-baru ini menggemparkan masyarakat Muslim Malaysia selepas tindakan mereka melakukan aksi ciuman di konsert Good Vibes Festival di Litar Sepang. Golongan-golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) ini terang-terangan mempromosikan hak kebebasan dan gaya hidup seks bebas.
Walaupun mereka mendapat kritikan dan kecaman oleh masyarakat, namun tidak kurang juga ada segelintir masyarakat yang menyokong dan bangkit memperjuangkan hak mereka agar golongan ini tidak terus didiskriminasikan. Malah ada aktivis-aktivis yang berdiri di belakang mereka agar hak golongan ini lebih terjamin.
Malah isu ini turut menjadi perbualan hangat di kalangan pengamal undang-undang dan cerdik pandai di Malaysia ini. Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad menyatakan “Apabila hukum syara’ diukur dengan nilai liberal, hak asasi ala-Barat dan apabila hukum syara’ boleh dicabar atas alasan ia tidak munasabah kepada seseorang hakim, termasuk yang bukan Islam, maka hukum syara’ akan sentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkan sebagai tidak sah.”
Pada 8 Oktober 2015, satu keputusan yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan dengan menolak rayuan bagi kes transgender yang mana telah menjadi isu panas malah mahkamah juga menolak rayuan tersebut yang mana pihak responden telah mencabar Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan 1992.
Oleh itu mari kita membaca sedikit cerita tentang perjuangan Nabi Luth dalam memperjuangkan dakwah baginda Selain itu, semoga kisah ini dapat memberi satu kefahaman dan kesedaran kepada kita, betapa ancaman dan amaran Allah SWT amat keras terhadap mereka yang melanggar perintah-perintah Allah SWT.
Nabi Luth AS dan Kaumnya
Nabi Luth AS merupakan putera dari Haran bin Tarah (هَارَان بن تَارَح). Beliau adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim AS. Dengan demikian, Ibrahim dan Haran adalah bersaudara.Nabi Luth beriman dan mengikuti ajaran yang dibawa oleh bapa saudaranya Ibrahim. Berkenaan perkara ini, Allah SWT berfirman:
فَآمَنَ لَهُ لُوطٌ ۘ وَقَالَ إِنِّي مُهَاجِرٌ إِلَىٰ رَبِّي ۖ إِنَّهُ هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Maksudnya: Setelah itu Luth beriman kepadanya dan Nabi Ibrahim pun berkata: “Aku hendak berhijrah kepada TuhanKu, sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.
Surah al-Ankabut (26)
Beliau beriman kepada Nabi Ibrahim AS dan mendapat petunjuk melalui perantaranya, lalu Allah SWT mengutusnya untuk berdakwah kepada penduduk Sadum yang pada saat itu merupakan sebuah kampung di Jordan.
Para pakar sejarah menyebut bahawa kaum Nabi Luth AS adalah kaum besar yang hidup pada zaman Nabi Ibrahim AS. Mereka menetap di sebuah kampung yang bernama Sadum. Ia merupakan kampung terbesar daripada penempatan kaum Nabi Luth berbanding empat kampung yang lain iaitu Shan’a, Shu’ud, Atsrah, dan Duma.
Maksiat Kaum Nabi Luth AS
Antara maksiat yang mereka lakukan ialah perbuatan syirik kepada Allah SWT serta mereka disebut sebagai pelaku pertama perlakuan homoseksual di kalangan lelaki mahupun wanita. Ini sepertimana disebut oleh Imam al-Qurtubi yang menukilkan riwayat daripada Ibn Abbas R.A berkenaan maksiat-maksiat yang mereka lakukan.
Ibn Kathir dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah (1/203) menyebut: “Mereka melakukan dosa yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun dari bani Adam, iaitu seorang lelaki menggauli lelaki dan enggan berkahwin dengan wanita yang Allah jadikan untuk orang-orang soleh.”
Allah SWT menjadikan kisah binasanya kaum Luth akibat perbuatan keji mereka sebagai pengajaran bagi seluruh manusia. Allah SWT menyebutkan kisah mereka dalam beberapa tempat dalam al-Qur’an. Selain dalam Surah al-Ankabut di atas, Allah SWT berfirman dalam surat al-A’raf:
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ ﴿٨٠﴾ إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ ﴿٨١﴾ وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَن قَالُوا أَخْرِجُوهُم مِّن قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ ﴿٨٢﴾ فَأَنجَيْنَاهُ وَأَهْلَهُ إِلَّا امْرَأَتَهُ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ ﴿٨٣﴾ وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًا ۖ فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ
Maksudnya: Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”. Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: “Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri”. Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan. Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.
Surah al-A’raf (80-84)
Pengakhiran Kaum Nabi Luth AS
Nabi Luth AS keluar dari kampungnya bersama keluarganya iaitu kedua anak perempuannya, dan tidak ada seorang pun yang mengikutinya. Ketika matahari menyingsing maka azab pun menimpa kaumnya. Allah SWT berfirman:
فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ ﴿٨٢﴾ مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ ۖ وَمَا هِيَ مِنَ الظَّالِمِينَ بِبَعِيدٍ
Maksudnya: Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu.
Surah Hud (82-83)
Jibril memporak-porandakan tempat tinggal mereka yang berjumlah tujuh kota itu dengan hujung sayapnya. Mereka menyebut bahawa jumlah mereka adalah empat ratus orang. Ada yang mengatakan jumlah mereka empat ribu orang ditambah dengan haiwan-haiwan. Tempat-tempat dan daerah-daerah di sekitar itu juga diporak-porandakan.
Allah SWT berfirman:
فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ
Maksudnya: Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.
Sesungguhnya al-Qur’an menceritakan para nabi-nabi dan umat terdahulu, supaya manusia dapat meneladani akhlak mereka dan bukan sekadar cerita yang diceritakan, bahkan agar si pembaca dan si pendengar dapat mengambil pengajaran, seolah-olah ia memberitahu manusia bahawa dahulu Allah SWT telah memberi balasan kepada orang-orang yang ingkar kerana keingkaran mereka.
Semoga kisah ini menjadikan kita lebih bermuhasabah sebagai seorang mukmin yang taat dan patuh kepada perintah Allah. Marilah sama-sama kita mencari mardhatillah.
Tag:lgbt, ustazustazahcom