GHIBAH: JAGALAH LIDAH KITA
Islam agama Syumul, Islam agama sempurna. Islam merupakan sebuah agama yang amat menjaga kehormatan dan kemuliaan seseorang insan. Maka, kerana itulah Islam mengharamkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti mengadu domba, berbohong dan mengumpat.
Menurut pandangan Imam al-Ghazali di dalam nukilan kitabnya Ihya’ ‘Ulum al-Din, ghibah ialah “…engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya sekiranya sampai perkara itu kepadanya, sama ada kekurangan pada tubuh badannya, keturunannya, akhlaknya, perbuatannya, perkataannya, agamanya, atau dunianya hatta pakaiannya, rumahnya atau haiwannya..”
Senarionya, tidak dinafikan zaman teknologi kini yang segalanya mampu dicapai dengan hanya sekadar menggunakan hujung jari, membuatkan ramai yang sering mengeluarkan komen-komen berbaur negatif dan menjatuhkan maruah seseorang. Setiap ayat yang dikeluarkan kadangkala mengundang dosa ‘ghibah’ yakni mengumpat. Ingatlah bahawa setiap Muslim mempunyai tanggungjawab menjaga lisan dan jari- jemari masing-masing kerana setiapnya akan dinilai di sisi Allah SWT.
Hal ini persis seperti mana yang ditegaskan Allah SWT dalam firmanNya, maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?, Al-Hujurat, 12.
Rentetan daripada itu, Imam al-Maraghi di dalam tafsir al-Maraghi menyatakan pandangannya yakni ghibah diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging.
Sebab Dibolehkan Ghibah.
Antara sebab yang digariskan Islam membolehkan ghibah ini berlaku ialah apabila seseorang membuat aduan dirinya dizalimi kepada sultan atau hakim. Selain daripada itu, ghibah juga dibenarkan apabila seseorang ingin menceritakan perihal orang lain yang telah melakukan dosa secara terang-terangan tamsilnya menyebutkan keburukan orang yang telah meminum arak di hadapan khalayak, merampas harta secara paksa dan sebagainya.
Di samping itu juga, dibolehkan untuk mengumpat apabila kita ingin mencegah umat Islam daripada melakukan sesuatu keburukan seperti menasihati seseorang untuk mengambil sesuatu ilmu daripada ahlinya. Bak kata golongan bijak pandai, “Hanya jauhari mengenal manikam”.
Justeru, marilah kita sebagai seorang Muslim bersifat Rahmah dan penyayang sesama muslim mahupun tidak muslim. Walaupun yang diperkatakan itu betul pada orang tersebut, ia tetap merupakan ghibah atau mengumpat yang diharamkan. Malah, jika yang dibicarakan itu tidak benar, maka ia jatuh kepada fitnah. Oleh itu, berimanlah kita dengan firmanNya, “Maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta”, Surah al-Hajj, 30.
Tuntasnya, sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT perlulah menjaga lidah daripada perkara-perkara yang haram mahupun sia-sia. Hal ini demikian kerana, sifat orang yang beriman adalah sentiasa bercakap perkara yang baik atau mendiamkan diri daripada berkata yang sia-sia. Akhir kalam, bertaqwalah kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT Maha Penerima Taubat.