HATI YANG TERSAKITI : DENGAN MAKSIAT
Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, maksiat bermaksud perbuatan yang melanggar perintah Allah swt, serta perbuatan yang berdosa dan keji[1] . Manakala jika dilihat dari sudut Bahasa Arabnya, maksiat adalah kata terbitan daripada perkataanعَصَى yang membawa maksud menyalahi perintah Allah swt, iaitu melakukan perkara yang haram atau meninggalkan perkara yang wajib[2].
MAKSIAT HATI
Diantara maksiat hati adalah riak dalam melakukan perbuatan-perbuatan baik, u’jub, ragu-ragu pada kewujudan Allah, berasa aman daripada seksaan Allah, berputus asa daripada rahmat Allah, takbur terhadap hamba-hamba Allah, berdendam, hasad, mengungkit-ungkit sedekah yang telah diberikan, berterusan dalam melakukan dosa, bersangka buruk terhadap Allah dan terhadap hamba-hamba Allah, mendustakan takdir Allah, berasa gembira dengan maksiat yang dilakukan atau yang dilakukan oleh orang lain, melakukan pengkhianatan, tipu muslihat, membenci para sahabat Nabi, ahli keluarga Baginda dan orang-orang soleh, kedekut, tamak haloba, memandang hina perkara yang dibesarkan oleh Allah dan memperkecilkan perkara yang dibesarkan oleh Allah iaitu seperti perkara yang terdiri daripada ketaatan, kemaksiatan, al-Quran, ilmu agama, syurga atau azab neraka.[3]
MAKSIAT ANGGOTA
Manakala di antara maksiat yang dilakukan oleh anggota yang tujuh ialah memakan riba, merompak, merampas dan makan hasil rampasan, mencuri dan makan hasil pencurian, minum arak, memakan apa sahaja yang memabukkan, perkara yang menjijikkan, memakan harta anak yatim, atau harta wakaf yang menyalahi apa yang disyaratkan pewakafnya, mengambil pemberian yang diberikan bukan dengan kerelaan pemberinya, mengambil dan memberi rasuah, memukul seseorang tanpa hak, melihat wanita ajnabiyyah dengan syahwat, begitu juga bagi perempuan melihat aurat lelaki dan melihat aurat-aurat orang lain, mengumpat, mengadu domba, berdusta, sumpah palsu, berfatwa tanpa ilmu, menipu dalam jual beli, mendedahkan aurat, menyentuh wanita ajnabiyyah secara sengaja tanpa berlapik atau berlapik dengan syahwat walaupun dengan kaum sejenis atau dengan mahram, berzina, liwat, beronani, serta berkhalwat, lelaki menyerupai wanita ataupun sebaliknya, dan lain-lain lagi.[4]
HATI YANG TERSAKITI DENGAN MAKSIAT
Maksiat boleh mendatangkan kesan buruk terhadap harta, jasad, hati mahupun jiwa. Di dalam penulisan kali ini, Kesan maksiat akan dikupas dari sudut kesannya terhadap kesejahteraan hati.
Kesan maksiat terhadap hati seseorang adalah ibarat racun yang terkena kepada badan. Sebagaimana racun boleh membunuh jasad atau menyebabkannya menjadi sakit, begitulah dosa dan maksiat, boleh membunuh hati ataupun menjadikannya menjadi sakit.[5]
Oleh itu, kita perlu berusaha menjaga hati dengan menjauhi maksiat. Sabda Nabi -sallallahu’alaihiwasallam- :
أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” (Riwayat al-Bukhari : 52).
Kesejahteraan seseorang manusia itu bergantung kepada kesejahteraan hatinya. Kesejahteraan hatinya ialah jalan menuju kepada kejayaan didunia dan akhirat.[6] Sebagaimana firman Allah -subhaanahuwaTaala :
﴿يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ٨٨ إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ٨٩﴾ [الشعراء: 88-89]
Maksudnya : «”Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun(88) “Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);(89)»
KESAN MAKSIAT & DOSA TERHADAP HATI.
Firman Allah swt dalam Surah al-Mutaffifin ayat ke 14 :
﴿كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ١٤﴾ [المطففين: 14]
Maksudnya : «Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan»
Menurut tafsir fi Zilal, ayat ini menceritakan berkenaan golongan manusia yang menderhaka dan mereka diancam keras dengan azab dan kebinasaan. Mereka diazab dengan dihijabkan daripada rahmat Allah swt sebagaimana hati mereka dihijabkan oleh perbuatan-perbuatan dosa mereka semasa didunia. Hati para pendosa itu telah ditutupi dengan dosa dan maksiat yang dilakukan.
Apabila hati telah terbiasa dengan kerja-kerja dosa maksiat, maka cahaya hati itu akan menjadi kelam dan suram, gelap dan kemudian diliputi oleh karat yang tebal dan tidak dapat lagi ditembusi oleh cahaya hidayah. Sifat kepekaannya perlahan-lahan akan hilang yang akhirnya menjadi lemah dan terus mati.[7]
Maksiat dan dosa yang dilakukan oleh seseorang boleh menggelapkan hati sebagaimana sabda Nabi -sallallahu’alaihiwasallam- :
Sabda Nabi ` :
إنَّ العبدَ إذا أخطأ خطيئةً نُكِتت في قلبِه نُكتةٌ سوداءُ فإن هو نزع واستغفر صُقِلت فإن عاد زِيد فيها حتَّى تعلوَ قلبَه فهو الرَّانُ الَّذي ذكره اللهُ تعالَى { كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ } [8]. (رواه الترمذي)
Maksudnya : Sesungguhnya jika seorang hamba melakukan suatu perbuatan dosa, maka akan muncul dalam hatinya satu noda hitam. Jika dia bertaubat daripada perbuatan itu, maka hatinya akan menjadi jernih, tetapi jika dia menambah perbuatan itu, maka akan bertambah pula noda itu.” Dan itulah makna firman Allah :
{ كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ } «Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan». (HR Tirmizi : 3334)
Menurut Hasan al-Basri, “Noda hitam itu adalah tompokan dosa atas dosa sehingga menutupi seluruh bahagian hati yang akhirnya membuat hati itu mati.”[9]
KEHIDUPAN TERASA SEMPIT.
Antara lain, dosa yang dilakukan oleh seseorang itu adalah antara sebab tidak merasa bahagia dan menyebabkan kehidupan terasa sempit.[10] Firman Allah -subhaanahuwaTaala- dalam Surah Taha ayat ke 124 :
﴿وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى١٢٤﴾ [طه: 124]
Maksudnya : «”Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”»
MENDATANGKAN AZAB
Maksiat dan dosa juga boleh menyebabkan datangnya azab dan musibah ketika didunia lagi, sebelum azab siksaan di akhirat. Firman Allah – subhaanahuwaTaala- dalam Surah al-Sajdah ayat ke 21 :
﴿وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِنَ الْعَذَابِ الْأَدْنَى دُونَ الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ٢١﴾ [السجدة: 21]
Maksudnya: «Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat»
Dalam kitab Atsar al-Zunub wal Ma’asi turut menyenaraikan kesan-kesan buruk daripada perbuatan maksiat. Antaranya juga adalah maksiat boleh menyebabkan hilangnya rasa malu dalam diri, selain menyebabkan berbolak baliknya hati iaitu melihat sesuatu kebenaran sebagai kebatilan dan melihat kebatilan sebagai sesuatu yang benar. Maksiat juga dapat memberi kesan buruk terhadap agama dalam diri seseorang.[11]
Semoga kita menjadi hamba Allah yang sentiasa bertaubat, bermuhasabah dan membersihkan hati dengan meninggalkan perkara yang boleh mengheret diri kepada terjatuh dalam maksiat, berusaha mengisi masa dengan perkara-perkara berfaedah serta sentiasa memperbanyak zikrullah dan amalan ketaatan agar hati kita disibukkan mengingat Allah daripada mengingat jalan-jalan menuju maksiat dan kemungkaran. Wallahua’lam.
[1] Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM V2.0) Dewan Bahasa Dan Pustaka Malaysia. https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=maksiat. Diakses pada 28 September 2022.
[2] Qamus wa Mu’jam al-Ma’ani Muta’addid al-Lughat wa al-Majallat. https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/%D9%85%D8%B9%D8%B5%D9%8A%D8%A9/ . Diakses pada 28 September 2022.
[3] Abdullah al-Harari. 2017. Mukhtasar Abdullah al-Harari al-Kafilu bi ilmi al-Din al-Doruri ‘ala mazhabi al-Imam al-Syafie. Beirut : Syarikah Dar al-Masyari’ littiba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’. 99-102.
[4] Abdullah al-Harari. 2017. Mukhtasar Abdullah al-Harari al-Kafilu bi ilmi al-Din al-Doruri ‘ala mazhabi al-Imam al-Syafie. Beirut : Syarikah Dar al-Masyari’ littiba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’. 103-121.
[5] Al-Sayyid Askar.1997. Atsar al-Ma’asi wa al-Zunub. Tanta : Dar al-Basyir li al-Tsaqafah wa al-Ulum. 19.
[6] Al-Sayyid Askar.1997. Atsar al-Ma’asi wa al-Zunub. Tanta : Dar al-Basyir li al-Tsaqafah wa al-Ulum. 19.
[7] Sayyid Qutb. 2003. Fi Zilal al-Quran. Kaherah : Dar Shorouk. 30/3857-3858. Yusof Zaki. Terj: Tafsir fi Zilal al-Quran. 30/281. https://tafsirzilal.files.wordpress.com/2015/04/al-mutaffifin-melayu.pdf.
[8] Al-Tirmizi. Abu Isa Muhammad bin Isa bin Tsaurah bin Musa bin al-Dhahhak. 1998. Al-Jami’ al-Kabir – Sunan al-Tirmizi. Tah : Basysyar Awad Ma’ruf. Beirut : Dar al-Gharb al-Islami. 5/291.
[9] Abdullah bin Muhammad bin Abdurahman bin Ishaq al-Syeikh. 2005. Lubaabut Tafsiir Min Ibni Katsiir. Terj: M.Abdul Ghoffar EM. Abu Ihsan al-Atsari. Bogor : Pustaka Imam al-Syafie . 8/424.
[10] Jabatan Mufti Perlis. 2021. Kesan Dosa Terhadap Diri. Teks Khutbah Jumaat Khas PKP 20/8/2021.
[11] Umar Muhammad Adil. T.th. Atsar al-Zunub wa al-Ma’asi ala al-Afrad wa al-Jamaah. T.tp : t.pt. 2-3