LELAKI HARUS QAWWAM
Lelaki diciptakan oleh Allah S.W.T sebagai pemimpin, dibahu mereka terletak tugas amanah dan tanggungjawab yang sangat besar iaitu memelihara wanita sepertimana Firman Allah:
اَلرِّجَالُ قَوَّامُوْنَ عَلَى النِّسَاۤءِ بِمَا فَضَّلَ اللّٰهُ بَعْضَهُمْ عَلٰى بَعْضٍ وَّبِمَآ اَنْفَقُوْا مِنْ اَمْوَالِهِمْ…
“Laki-laki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri), kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (laki-laki) telah memberikan nafkah dari hartanya.” (An-Nisa’, 34)
Apabila Allah menyebutkan di dalam al-Quran “Ar-rijalu Qawwamuna ‘alan Nisa’”, adakah ia bermaksud kedudukan wanita adalah lebih rendah berbanding lelaki? Bahkan tidak. Ia sama sekali tidak menggambarkan kedudukan golongan wanita adalah lebih rendah atau taraf mereka kurang daripada golongan lelaki.
Sebagaimana anggota kepala terletaknya di bahagian atas tubuh badan, tetapi tidaklah kepentingan anggota kaki itu menjadi kurang kerana terletaknya di anggota bawah tubuh badan kerana ia juga mempunyai kerja yang sangat penting. Cuma, kebolehan dan kegunaan keduanya tidak sama. Begitulah analoginya lelaki dan wanita yang tidak sama dari segi fizikal dan biologinya tetapi sama penting antara keduanya.
Adakah Kita Lelaki Qawwam?
Menurut Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-577: Jodoh Tak Lekat, Silap Siapa?, perkataan “Qawwam” bermaksud mengetuai dan memiliki kuasa penentu serta bertanggungjawab menjaganya dengan penuh kesungguhan. Seseorang lelaki yang qawwam hendaklah berterusan prihatin terhadap tangunggannya. Mereka perlu melindungi keselamatan dan maruah keluarganya daripada sebarang bahaya.
Seandainya seorang lelaki tidak memiliki sifat-sifat sebagai pelindung kepada wanita, maka akan binasalah institusi kekeluargaan dan berlakunya kezaliman terhadap isteri dan ahli keluarga. Persoalan disini, bagaimanakah seorang lelaki boleh menjadi qawwam jika dia sendiri yang mendatangkan mudharat kepada anak dan isterinya?
Bagaimana lelaki boleh dianggap qawwam jika makan minum anak isterinya tidak terjaga sedangkan si lelaki masih kuat mencari rezeki, serta adakah qawwamnya lelaki itu jika dia berpoligami, tetapi tidak adil sehingga tidak mahu mengakui anaknya kerana mahu menyembunyikan statusnya yang mempunyai lebih daripada seorang isteri?
Intihanya status Qawwam kepada seorang lelaki bukanlah satu pujian semata-mata, sebaliknya ia datang dengan amanah dan tanggungjawab yang akan sentiasa dipikul oleh kaum lelaki. Berdasarkan Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-371: Nusyuz Bagi Seorang Suami, seseorang isteri hendaklah mengingatkan tanggungjawab suami dan mengadu kepada hakim agar mendapatkan semula haknya jika si suami menganiaya dirinya. Tamsilnya, tidak memberikannya giliran bermalam, nafkah atau mengasarinya dengan perkataan atau perbuatan.
Sebagai menggulung kata-kata di atas, tuntasnya, sedarlah para lelaki bahawa tugas lelaki ini penuh dengan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat kelak dan hendaklah kalian berusaha untuk menjadi insan yang melindungi, membimbing dan menjadi ketua yang bertanggungjawab terhadap ahli keluarganya.