JADIKAN RAMADAN INI, RAMADAN TERBAIK (1444H)
Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmatNya, sekali lagi buat kesekian kalinya, masih diberi peluang untuk bertemu dan merasai Ramadan. Masya Allah. Bulan yang sangat dinanti-nantikan, bulan yang mengandungi 1001 kebaikan dan ganjaran. Seumpama manusia yang diberi kehidupan digudang emas, dikelilingi intan permata yang tidak ternilai harganya. Namun, bergantung kepada manusia itu sendiri sama ada ingin merasai dan mengambil kesempatan atas gudang itu atau tidak.
Itulah Ramadan. Betapa besarnya nilai ganjaran sepanjang Ramadan. Walaubagaimanapun, bergantung kepada individu tersebut untuk memanfaatkan kebaikan dibulan tersebut atau tidak. Meskipun begitu, jadilah Muslim Rabbani, bukan Muslim Ramadani yang hanya beribadah ketika Ramadan sahaja. Allah itu wujud sepanjang bulan dan sepanjang masa bukan sekadar di bulan Ramadan. Cuma dibuka dan diberi satu peluang keemasan kepada hambaNya untuk memperoleh ganjaran yang melimpah ruah dalam bulan ini. Gali dan kautlah seberapa banyak pahala yang terdapat dalamnya. Jadikanlah Ramadan ini satu permulaan kebaikan dalam diri dan jadikan ia sebagai satu ‘turning point’ untuk kita menjadi seseorang yang lebih baik dari sebelumnya.
Sentiasalah berdoa dan berusaha untuk menjadikan diri versi yang lebih baik selepas Ramadan. Tersangatlah sia-sia bagi mereka yang mengabaikan dan tidak merasai apa-apa disebalik manisnya Ramadan. Kebaikan Ramadan dapat dirasai melalui ibadah dan amalan-amalan baik yang dilakukan. Tidak lupa juga majlis ilmu yang sangat indah kerana dipayungi oleh sayap-sayap malaikat. Inikan pula ketika bulan Ramadan, berkali ganda pahala dan rahmatNya. Semestinya masjid-masjid dan surau-surau akan mengimarahkan masjid/surau sepanjang Ramadan dengan program dan majlis ilmu buat penduduknya. Begitu juga Ustazustazah.com, dengan sokongan Qudwah Group dan kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Rembau), sebuah program Ramadan Terbaik dianjurkan sepanjang bulan Ramadan yang menyasarkan penduduk setempat dari pelbagai peringkat umur.
Antara program harian yang dikelolakan adalah program Taalim & Tadarus yang memfokuskan tadarus Al-Quran dan pengajian agama dalam bab Al-Quran. Tauhid dan Hadis. Iftar, sahur dan moreh harian juga diadakan bagi meneruskan kebaikan dengan memberi sedekah makanan kepada mereka yang berpuasa. Bagi golongan yang memerlukan, juga disediakan Gerobok Rezeki yang mengumpulkan pelbagai barangan keperluan asas masak seperti beras, susu, gula, tepung, biskut dan sebagainya. Bagi menarik minat anak-anak, sebuah program khas diadakan iaitu Ramadan Warrior yang memberi galakan dan saguhati kepada anak-anak yang hadir berjemaah ke surau. Pelbagai pertandingan juga diadakan seperti Pertandingan e-sport Belia 2.0 dan Pertandingan Hafazan Al-Quran Sekolah Rendah yang merupakan kesinambungan bagi program Ramadan tahun lalu memandangkan sambutan amat menggalakkan dan ingin menarik minat remaja ke majlis ilmu dan berjemaah di surau.
Program mingguan pula ialah antara yang teristimewa yang dianjurkan iaitu Malam Cinta Ilmu Edisi Ramadan dan Qiamullail. Seramai lebih daripada 8 orang asatizah yang dibawakan khas khusus sempena Ramadan Terbaik di Surau Kg Sri Melenggang, Astana Raja, Rembau. Antaranya ialah Ustaz Ahmad Tarmizi, Ustaz Fakhrul UNIC, Ustazah Farhatul Fairuzah, Ustaz Tariq, Dato’ Dr Sharhan Shafie, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin, Ustaz Rozie Rejab, Ustaz Syed Norhisyam, Ustaz Uda Kassim, Ustaz Hanafiah Malek dan ikon Ustazustazah.com Ustaz Nazrey Johani.
Dengan pelbagai aktiviti dan majlis ilmu, semoga ianya dapat terus menyuburkan semangat Ramadan dalam diri masyarakat dan mencintai majlis ilmu. Semoga Ramadan ini menjadi Ramadan Terbaik bagi setiap insan dan lebih baik berbanding tahun-tahun lalu.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan majlis ilmu dan aktiviti di Surau Kg Sri Melenggang setiap hari dan mengikut ketetapan seperti poster berikut.