BAGAIMANAKAH PENENTUAN KADAR MUTA’AH ISTERI ??
Jumhur fuqaha berpendapat pihak isteri berhak setelah diceraikan oleh suami tanpa sebab yang munasabah atau patut maka si isteri boleh menuntut mutaah iaitu mendapatkan bayaran saguhati atau pampasan iaitu mutaah. Walaubagaimanapun mereka berbeza pendapat mengenai hukum mut’ah samada wajib atau sunat serta penaksiran dari segi jumlahnya.
Melalui peruntukan Seksyen 58 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 merupakan satu-satunya peruntukan berkaitan mutaah atau pemberian saguhati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut. Peruntukan berkenaan hanya menyatakan hak isteri yang diceraikan terhadap mut’ah atau pemberian saguhati daripada suaminya. Bagaimanapun kadar mutaah atau pembayaran tersebut tidak dinyatakan secara khusus tetapi merujuk kepada bentuk wang dalam jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Secara umumnya dasar mutaah adalah keredhaan kedua-dua pihak tetapi jika tidak mencapai persetujuan maka penentuan perlu dibuat oleh kadhi atau hakim.
Tidak ada penentuan nas atau dalil tentang kadar atau jumlah mutaah. Oleh itu hakim perlu berijtihad mengenai dengan kadarnya. Jika sekiranya suami isteri bertikai mengenai kadar jumlah bayaran mutaah maka Qadhi atau Mahkamah boleh menentukan kadar dengan ijtihadnya berdasarkan apa yang sesuai dengan kedudukan atau taraf suami isteri. Andainya persetujuan tidak dicapai, hakim di Mahkamah berkuasa menentukan sendiri berdasarkan ijtihad dengan mengambilkira empat perkara seperti berikut seperti kemampuan suami (kaya atau miskin), keadaan keluarga atau keturunan pihak isteri, sifat perwatakan isteri samada selalu menyumbangkan tenaga dan lain-lain dalam rumahtanggan dan juga kepuashatian hakim mahkamah bahawa jumlah itu wajar dan patut mengikut hukum syarak.
Dalam Kitab “Mughni al-Muhtaj’, juzuk 3 muka surat 249, “maka apabila bertelingkah kedua pihak tentang kadar, Qadhi hendaklah menentukan mengikut budi bicaranya dan mengambilkira apa yang sesuai dengan keadaan kedua-duanya baik dari sudut kekayaan suami dan kesusahan dan keturunan perempuan dan sifatnya” Ini selari dengan Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 236 yang bermaksud
“Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan”. Oleh itu melalui ayat ini sudah dinyatakan kewajipan oleh syarak untuk membayar mutaah kepada isteri yang telah diceraikan. Nas tersebut juga secara umumnya menetapkan bahawa kadar yang ingin ditetapkan tersebut perlulah mengambilkira faktor kemampuan suami atau defendan samada tergolong dalam golongan senang atau susah.