KAUM TSAMUD YANG BINASA. SIRI 2
GOLONGAN ELIT YANG ANGKUH TERHADAP NABI DAN ORANG BERIMAN
Dalam proses dakwah Nabi Soleh -عليه السلام- terhadap kaumnya, terdapat tentangan daripada golongan berpengaruh diantara mereka. Mereka berlagak sombong dan angkuh terhadap orang-orang beriman dan yang mengikuti Nabi Soleh -عليه السلام- .
Orang-orang yang sombong angkuh itu turut meminta kepada Nabi Soleh -عليه السلام- agar mendatangkan suatu tanda kekuasaan Allah untuk membuktikan kebenaran Baginda – عليه السلام -. Kaumnya mengusulkan agar Allah mengeluarkan seekor unta betina yang sedang hamil daripada sebongkah batu besar yang keras, iaitu satu-satunya batu besar yang terletak di sisi Hijr. Nama batu tersebut ialah al-Katibah.[1]
JANJI KAUM NABI SOLEH TERHADAP BAGINDA
Nabi Soleh – عليه السلام- kemudiannya mengikat perjanjian dengan kaumnya, iaitu sekiranya Allah mengabulkan permintaan mereka, mereka akan beriman. Kaumnya bersumpah dan berjanji kepada Nabi Soleh – عليه السلام- berkenaan perkara itu.
Lalu Nabi Soleh – عليه السلام- mengerjakan solat dan berdoa kepada Allah, kemudian batu tersebut bergetar lalu retak, dan keluarlah seekor unta betina seperti yang diminta. [2]
Nabi Soleh – عليه السلام- berkata kepada mereka sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah – سبحانه وتعالى- :
﴿قَالَ هَذِهِ نَاقَةٌ لَهَا شِرْبٌ وَلَكُمْ شِرْبُ يَوْمٍ مَعْلُومٍ١٥٥﴾ [الشعراء: 155]
Maksudnya : «Nabi Soleh berkata: “Ini adalah seekor unta betina, (di antara cara-cara hidupnya ialah) air kamu hendaklah menjadi bahagian minumnya sehari, dan bahagian kamu sehari, menurut giliran yang tertentu(155)»
Dalam Surah al-Qamar turut dijelaskan berkenaan hal ini, iaitu firman Allah – سبحانه وتعالى – :
﴿إِنَّا مُرْسِلُو النَّاقَةِ فِتْنَةً لَهُمْ فَارْتَقِبْهُمْ وَاصْطَبِرْ٢٧ وَنَبِّئْهُمْ أَنَّ الْمَاءَ قِسْمَةٌ بَيْنَهُمْ كُلُّ شِرْبٍ مُحْتَضَرٌ٢٨﴾ [القمر: 27-28]
Maksudnya : «Sesungguhnya Kami menghantarkan unta betina (yang menjadi mukjizat) sebagai satu ujian bagi mereka. Lalu (Kami perintahkan Rasul Kami): Tunggulah (apakah yang mereka akan lakukan) serta bersabarlah (terhadap tentangan mereka)(27) Dan khabarkanlah kepada mereka, bahawa sesungguhnya air (telaga mereka) terbahagi di antara mereka dengan unta itu, tiap-tiap bahagian air itu dihadiri oleh yang berhak mengambilnya (pada hari gilirannya)(28)»
UNTA MUKJIZAT
Unta betina itu dibiarkan bebas berkeliaran di beberapa tempat di lembah tersebut. Allah memerintahkan mereka agar tidak menyentuhnya dengan kejelekan apa pun, dan membiarkannya makan di bumi Allah.
Nabi Soleh terus berusaha untuk mengingatkan kaumnya dengan nikmat-nikmat Allah kepada mereka dan melarang mereka daripada berbuat kerosakan di bumi. Namun kaumnya terus sombong untuk beriman, meremehkannya, menentangnya dan angkuh terhadap perintah Tuhan.
Kaumnya ingin membunuh unta mukjizat itu supaya mereka dapat memonopoli air pada setiap harinya. Akhirnya, mereka menyembelih unta tersebut. Firman Allah – سبحانه وتعالى- :
﴿فَعَقَرُوا النَّاقَةَ وَعَتَوْا عَنْ أَمْرِ رَبِّهِمْ وَقَالُوا يَا صَالِحُ ائْتِنَا بِمَا تَعِدُنَا إِنْ كُنْتَ مِنَ الْمُرْسَلِينَ٧٧﴾ [الأعراف: 77]
Maksudnya : «Maka mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka, sambil berkata: “Hai Soleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus (oleh Allah)”(77)»
Dalam Surah yang lain Allah – سبحانه وتعالى- berfirman :
﴿وَمَا مَنَعَنَا أَنْ نُرْسِلَ بِالْآيَاتِ إِلَّا أَنْ كَذَّبَ بِهَا الْأَوَّلُونَ وَآتَيْنَا ثَمُودَ النَّاقَةَ مُبْصِرَةً فَظَلَمُوا بِهَا وَمَا نُرْسِلُ بِالْآيَاتِ إِلَّا تَخْوِيفًا٥٩﴾ [الإسراء: 59]
Maksudnya : «…dan di antaranya Kami telahpun memberikan kepada kaum Thamud unta betina sebagai mukjizat yang menjadi keterangan yang nyata, lalu mereka berlaku zalim kepadanya; dan biasanya Kami tidak menghantar turun mukjizat-mukjizat itu melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya kalau mereka tidak beriman)(59)»
JANJI AZAB DALAM 3 HARI
Dalam Surah al-A’raf ayat ke 77 di atas, Allah – سبحانه وتعالى- berfirman : ( فَعَقَرُوا النَّاقَةَ) “Maka mereka pun menyembelih unta itu”. Menurut Imam Ibnu Katsir, penisbahan perbuatan tersebut adalah kepada seluruh kabilah. Ia menjadi bukti bahawa mereka semua telah menyutujui hal tersebut.
Berita penyembelihan unta mukjizat tersebut sampai ke pengetahuan Nabi Soleh – عليه السلام- . Nabi Soleh lalu mendatangi mereka dan menangis. Baginda berkata sebagaimana firman Allah – سبحانه وتعالى- :
﴿.. فَقَالَ تَمَتَّعُوا فِي دَارِكُمْ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ ذَلِكَ وَعْدٌ غَيْرُ مَكْذُوبٍ٦٥﴾ [هود: 65]
Maksudnya : «… lalu berkatalah Nabi Soleh kepada mereka: Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari; tempoh yang demikian itu, ialah suatu janji yang tidak dapat didustakan”(65)»
RENCANA JAHAT INGIN MEMBUNUH NABI & ORANG BERIMAN
Kaumnya bukan sahaja mengingkari keimanan dan membunuh unta mukjizat yang dikirim Allah kepada mereka, bahkan mereka juga turut merencanakan pakatan untuk membunuh Nabi Soleh – عليه السلام-. Allah – سبحانه وتعالى- berfirman dalam Surah al-Naml ayat 49-51 :
﴿قَالُوا تَقَاسَمُوا بِاللَّهِ لَنُبَيِّتَنَّهُ وَأَهْلَهُ ثُمَّ لَنَقُولَنَّ لِوَلِيِّهِ مَا شَهِدْنَا مَهْلِكَ أَهْلِهِ وَإِنَّا لَصَادِقُونَ٤٩
Maksudnya : «Mereka berkata (sesama sendiri): “Hendaklah kamu masing-masing bersumpah dengan nama Allah, bahawa sesungguhnya kita akan membunuh Soleh dan pengikut-pengikutnya secara mengejut pada waktu malam, kemudian kita akan berkata kepada warisnya: ` Kami tidak hadir (di tempat) pembunuhan (Soleh apalagi membunuhnya atau membunuh) pengikut-pengikutnya, dan sesungguhnya kami adalah berkata benar ‘. “(49)»
وَمَكَرُوا مَكْرًا وَمَكَرْنَا مَكْرًا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ٥٠
Maksudnya : «Dan (dengan demikian) mereka telah merancangkan rancangan jahat, dan Kami pula rancangkan balasannya dengan seburuk-buruk balasan, sedang mereka tidak menyedarinya(50)»
فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ مَكْرِهِمْ أَنَّا دَمَّرْنَاهُمْ وَقَوْمَهُمْ أَجْمَعِينَ٥١﴾ [النمل: 49-51]
Maksudnya : «Maka lihatlah bagaimana akibat rancangan jahat mereka, iaitu Kami telah hancurkan mereka dan kaum mereka semuanya(51)»
DATANGNYA AZAB YANG MEMBINASAKAN
Menurut Tafsir Ibnu Katsir dan Tafsir al-Munir, peristiwa penyembelihan unta dilakukan oleh Kaum Tsamud pada hari Rabu, dan azab turun kepada mereka pada hari Sabtu. Pada hari ketiga tersebut, wajah-wajah kaum yang ingkar tersebut berubah warna menjadi hitam yang kemudiannya datang suara keras dari langit dan gempa yang sangat dahsyat menyerang dari bawah mereka sehingga mereka binasa kesemuanya.[3]
Demikianlah kisah yang terdapat dalam al-Quran. Semoga kita mengambil iktibar daripada kisah yang diceritakan melalui al-Quran, dan menjadikannya sebagai pedoman kehidupan. Wallahua’lam.
[1] Ibnu Katsir. 2023. Tafsir Ibnu Katsir. Jakarta : Pustaka Imam Asy-Syafi’i. 3/557
[2] Ibnu Katsir. 2023. Tafsir Ibnu Katsir. Jakarta : Pustaka Imam Asy-Syafi’i. 3/557
[3] Wahbah az-Zuhaili. 2005. Tafsir al-Munir Aqidah Syari’ah Manhaj. Jakarta : Gema Insani.