MENGENALI RASUL ULUL ‘AZMI
BAGI umat Islam, wajib mempelajari dan mengetahui 25 orang Rasul. Walaupun begitu, terdapat riwayat yang mengatakan terdapat seramai ratusan ribu nabi dan ratusan rasul.
Rasul-rasul ini telah diutuskan oleh Allah SWT untuk memipin umat pada zaman mereka supaya mengesakan Allah, melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya (Amar makruf, nahi mungkar).
RASUL YANG TERPILIH
Namun begitu, daripada 25 orang Rasul yang wajib dipelajari, hanya 5 orang sahaja yang mendapat gelaran Ulul ‘Azmi. Azmi dari segi bahasa bermaksud azam, iaitu tekad yang kukuh dan kesungguhan. Gelaran azmi ini diberikan kepada rasul-rasul tertentu kerana azam mereka menghadapi cabaran yang luar biasa berbanding rasul atau nabi yang lain.
Allah berfirman dalam Surah Al-Ahkaf ayat ke 35:
(Jika demikian orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad SAW) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya rasul-rasul ulul azmi (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) daripada kalangan rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu).
SIAPAKAH 5 ORANG RASUL TERSEBUT?
Sabar merupakan salah satu sifat rasul yang ulul azmi. Al-Quran menggunakan perkataan azmi merujuk kepada rasul-rasul ulul azmi kerana kesabaran mereka. Mereka yang terpilih ialah Nabi Muhammad SAW, Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. dan Nabi Nuh a.s. .
Setiap Rasul Ulul ‘Azmi ini mempunyai amalan, dugaan dan peristiwa yang dihadapi. Banyak sirah tersingkap daripada kisah-kisah Rasul Ulul ‘Azmi ini.
Antara ringkasan dugaan dan peristiwa yang dihadapi oleh Rasul Ulul ‘Azmi ini ialah:
1. Nabi Muhammad SAW
Menghadapi ujian kehilangan ibu dan bapa pada usia yang sangat muda. Baginda SAW juga diuji dengan kehilangan semua anak-anak sepanjang hayatnya kecuali Fatimah az-Zahra. Baginda SAW menghadapi ancaman hebat dari penduduk Mekah dan Baginda SAW juga merupakan seorang pemimpin yang berwibawa.
2. Nabi Ibrahim A.S.
Nabi Ibrahim a.s. mendapat tentangan hebat dari kaumnya termasuk bapanya sendiri. Nabi Ibrahim a.s. telah dihukum bunuh dengan dilemparkan ke dalam api yang marak oleh Raja Namrud namun, dengan izin Allah, api itu menjadi sejuk dan baginda selamat. Baginda juga mempunyai sirah yang masyhur berkenaan penyembelihan anaknya Nabi Ismail a.s. yang dijalankan semata-mata takwa terhadap Allah SWT.
3. Nabi Musa A.S
Walaupun baginda merupakan anak angkat Raja Fira’un yang zalim, baginda tetap menjalankan usaha dakwahnya menegakkan agama Allah. Raja Fira’un memanggil tukang-tukang sihir untuk menundukkan baginda namun baginda dianugerahkan mukjizat apabila tongkat berubah menjadi ular.
4. Nabi Isa A.S.
Bagi Nabi Isa a.s., baginda tetap tabah menghadapi tohmahan masyarakat kerana dilahirkan tanpa bapa oleh ibunya, Maryam. Demikianlah kudrat dan kehendak Allah SWT. Baginda juga mendapat tentangan yang berterusan daripada kaumnya sendiri.
5. Nabi Nuh A.S.
Baginda mendapat tentangan dan dakwahnya tidak diterima oleh anak dan isteri baginda sendiri. Umur baginda melebihi 900 tahun dan kebanyakkannya digunakan untuk mengajar umatnya mentauhidkan Allah. Baginda terus tabah dalam menjalankan usaha dakwah.
Daripada kesemua kisah-kisah ringkas Rasul Ulul ‘Azmi ini, dapat disimpulkan bahawa setiap dari para Rasul mempunyai dugaan tersendiri. Ketabahan dan kesabaran mereka diuji berkali-kali. Namun, para Rasul tetap istiqamah, sabar dan kuat beribadah. Menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT.