KEBERKATAN UMAT ISLAM ADA PADA WAKTU PAGI.
Usahawan-usahawan yang berjaya dalam dunia perniagaan, mereka mempunyai rahsia di sebalik kejayaan mereka.Antaranya adalah sentiasa memulakan hari baru pada awal pagi.
Dalam bahasa Melayu, waktu pagi juga disebut sebagai waktu siang. Namun, menurut Kamus Dewan, waktu siang lebih bersifat umum memandangkan ia merujuk kepada waktu dari matahari terbit sehingga terbenam.
Sebaliknya waktu pagi pula lebih spesifik iaitu dari matahari terbit kira-kira jam enam hingga 10 pagi. Justeru, perkataan pagi lebih sesuai untuk menggambarkan isu fokus yang cuba diketengahkan kali ini iaitu bermula waktu subuh sehingga ke waktu dhuha.
Selang waktu itu juga merupakan waktu untuk kita meraih keberkatan sebagaimana hadis Nabi tadi.
Dalam ilmu falak, istilah cahaya dalam bahasa Arab juga terbahagi kepada dua bahagian iaitu al-nur dan al-diya’.
‘’ Dalam konteks ini, istilah al-nur merujuk kepada cahaya sinaran matahari yang wujud di langit sebelum terbitnya matahari’’.
‘’ Manakala al-diya’ pula merujuk kepada pancaran cahaya matahari sebaik sahaja terbitnya matahari’’.
Apa Kata Rasulullah?
Sakhr Al-Ghamidi melaporkan, Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘’Ya Allah! Berkatilah umatku dalam masa pagi-paginya. ‘’ Rawi berkata, ‘’Baginda ketika mengirimkan bala tentera, baginda kirimkan pada waktu pagi.Sakhr adalah seorang pedagang, setiap kali dia mengirimkan barang-barang dagangannya, dia kirimkan pada waktu pagi sehingga dia menjadi kaya raya dan banyak harta.
(Hadith di rekodkan oleh Imam At-Tirmizi dalam Sunan Tirmizi, kitab Al-Buyu’ bab Ma Ja Aa Fi At Takbir Bittijarah, no hadith 1212, status hadis sahih.)
Jom Fahami!
Rasulullah s.a.w. sendiri menggalakkan kita bagi memuliakan pekerjaan pada awal pagi. Malah, baginda mendoakan keberkatan untuk umatnya yang berusaha pada awal pagi. Berpagi-pagian melakukan kerja menunjukkan seseorang itu berusaha bersungguh-sungguh mengharapkan hasil yang baik.
Kajian Saintifik
Berdasarkan kajian Dr. Muslim Nathin, bangun awal pagi dapat mengurangkan kecendurungan diserang penyakit kardiovaskular atau gangguan jantung dan pembuluh darah.
Info Menarik!
Pakar pemakanan berpendapat, mengambil sarapan dapat mencerdaskan minda, bersikap positif, dan memiliki daya tumpuan yang lebih baik.
Tip Menarik
1. Rehat secukupnya supaya dapat melakukan kerja dengan lebih berkualiti.
2. Bangun awal solat sunat Tahajud pukul 3.30 pagi setiap hari.
3. Solat sunat Dhuha setiap hari pada pukul 8.00 pagi sebelum memulakan pekerjaan bagi memohon rezeki yang berkat daripada Allah s.w.t.
4. Mulakan pekerjaan pada awal pagi dan jangan melewatkan solat Subuh.
5. Bersarapan setiap pagi semoga dapat memulakan pekerjaan dengan lebih produktif.
Kesimpulannya, berdasarkan kisah di atas sedikit perkongsian yang dapat di ambil ialah Waktu pagi merupakan waktu yang sangat beharga bagi umat islam kerana pada waktu ini terdapatnya pelbagai keberkatan dan Rahmat dari Allah s.w.t. yang melimpah ruah,
Ini kerana kita dapat lihat melalui kisah pada surah Ad-Dhuha yang mana Nabi Muhammad s.a.w. tidak menerima sebarang wahyu sehingga 15 hari, Surah ini juga, menerangkan tentang bimbingan pemeliharaan Allah SWT terhadap Nabi Muhammad SAW:-
1. Isyarat dari Allah SWT bahawa kehidupan Nabi Muhammad SAW dan dakwahnya akan bertambah baik dan berkembang, serta Allah s.w.t sekali-kali tidak akan meninggalkan Nabi Muhammad SAW.
2. Larangan menghina anak yatim dan mengherdik orang-orang yang minta-minta.
3. Perintah menyebut-nyebut nikmat yang diberikan Allah sebagai tanda bersyukur.
Oleh itu kita di galakkan membaca surah ad-Dhuha ketika melakukan solat sunat Dhuha khusus pada rakaat yang kedua manakala rakaat pertama adalah surah Ash-Shams, Namun jika tidak berkemampuan maka boleh membaca mana-mana surah yang terdapat di dalam Al-Qur’an pun boleh. Semoga dengan perkongsian yang sedikit ini dapat memberikan kita sedikit fahaman dalam beramal semoga kita memperoleh keberkatan dalam usaha mencari rezeki.
Sekian.