KESABARAN AHSABUL UKHDUD TIADA TANDINGAN
Pasti acapkali kita mengeluh dan buntu mengenangkan jalan keluar bagi setiap permasalahan yang dihadapi. Kenapa dan mengapalah diri ini kerap kali diuji bertimpa-timpa. Selepas selesai satu perkara, datang pula perkara dan ujian yang lainnya. Akan tetapi, sedarkah kita, ujian itu adalah sebenarnya jalan untuk kita menuju ke syurgaNya.
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”, Surah al-Baqarah, (155).
BAGAIMANAKAH KISAH ASHAB AL-UKHDUD INI?
Ashabul Ukhdud ini bermaksud orang yang menggali parit. Kisah ini mengisahkan keimanan seorang pemuda yang dikurniakan dengan kelebihan yang dapat menyembuhkan pelbagai penyakit seperti kusta, sopak, dan buta atas ketakwaannya kepada Allah SWT.
Setelah sampai berita akan keistimewaan pemuda ini kepada sang raja, raja tersebut memaksa pemuda itu untuk mengiktiraf sang raja sebagai Tuhan. Pemuda tersebut enggan melakukannya dan tetap teguh bersama agama Tauhid.
Disebabkan itu, pemuda tersebut dihujani dengan pelbagai seksaan yang tak mampu difikirkan oleh akal manusia. Dicampakkan dari atas gunung, dihumbankan pula ke dalam laut, tetapi tetap tidak dapat membunuh pemuda tersebut kerana Allah SWT telah mengabulkan doa pemuda tersebut yang berharap agar dijauhkan daripada segala siksaan.
Namun akhirnya, sang raja dapat membunuh pemuda tersebut hanya kerana setelah diberitahu cara untuk membunuhnya sambil disuruh kepada sang raja untuk berkata: “Dengan nama Allah, Tuhan kepada pemuda ini”. Maka, matilah pemuda tersebut setelah dipanah sambil mengucapkan kalimah tersebut.
Kejadian pemuda itu dipanah disaksikan oleh rakyat jelata, lantas kesemuanya mereka beriman kepada Allah SWT asbab kejadian ini. Sang raja menjadi terlalu marah dan memerintahkan pengikutnya untuk menggali parit dan dinyalakan api yang sangat marak di dalamnya.
Tanpa belas kasihan, kesemua rakyatnya yang beriman dicampakkan kedalam parit itu, sehinggalah tiba giliran seorang wanita yang sedang menggendong bayinya, maka wajarlah wanita itu berasa sangsi untuk terjun lantaran kasih sayang ibu terhadap anaknya.
Namun, tidak disangka-sangka, anaknya berkata: “Bersabarlah wahai ibuku, sesungguhnya kamu di jalan yang benar.”
Apakah pengajaran yang boleh kita lihat? Setiap ujian yang dihadapi bukanlah untuk menjauhkan kita dariNya malah ia merupakan wasilah betapa sayangnya Allah SWT terhadap hambaNya dan ingin mengangkat darjat hamba-hambaNya menuju ke syurgaNya yang tertinggi. Oleh itu, bersabarlah seperti pemuda itu dan rakyat yang dihumban ke dalam parit yang dipenuhi api yang marak. Pasti, Allah SWT tidak akan menyia-nyiakan hambaNya yang berusaha mentaati dan bertakwa kepadaNya. Yakinlah pada janji Allah SWT!