KETIKA AKU DI MEKAH & MADINAH
Pada awal bulan Disember tahun 2018 yang lepas, saya bersama keluarga saya telah berpeluang untuk menunaikan umrah bersama beberapa kumpulan jemaah yang lain. Untuk pengetahuan semua, ini merupakan pengalaman dan peluang saya mengerjakan umrah buat pertama kali dalam hidup. Dengan izin-NYA saya dibuka pintu rezeki untuk ke Madinah menziarahi makam Rasulullah SAW dan ke Kota Makkah untuk menunaikan umrah pertama saya. Alhamdulillah ! Yakinlah bahawa rezeki itu datangnya dari ALLAH SWT. Banyakkan berdoa, berusaha dan redha kearahnya.
Pada mulanya rasa kurang bersedia dari segi keyakinan, ilmu dan sebagainya. Tetapi saya bersyukur kerana Allah SWT telah memilih dan membuka pintu rezeki saya untuk menjadi tetamu-Nya. Saya juga yakin bahawa ini adalah peluang yang diberikan kepada saya oleh Allah SWT untuk memperbetulkan diri saya untuk kembali kepada fitrahNya.
Alhamdulillah, segala proses amat mudah dan segalanya diuruskan oleh pihak Andalusia. Semuanya berlaku terlalu cepat, segala urusan passport, visa, suntikan vaksin antarabangsa dan kursus umrah dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan. Semua jemaah akan berkumpul di KLIA pada hari keberangkatan kami ke sana. Tanggal 9 Disember 2018 kami telah bertolak ke Jeddah dengan menaiki Saudi Arlines pada jam 7.30 pm dari KLIA yang memakan masa lebih kurang lapan (8) jam. Sebaik sahaja tiba Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah, kami perlu melepasi pihak berkuasa Arab Saudi (Imigresen dan Kastam) terlebih dahulu sebelum keluar untuk menaiki bas untuk kami terus bertolak ke Kota Madinah.
Memandangkan terlalu teruja untuk ke Masjid Nabawi, selepas taklimat dan selesai urusan bag semua saya telah berusaha sendiri menjejaki dimana lokasi masjid Nabawi dari hotel yang kami inap. Rupa-rupanya ianya berada betul-betul dengan arah pintu 15 Masjid Nabawi. Untuk ke sana tidaklah terlalu jauh, saya hanya perlu berjalan seratus meter sahaja.
Ziarah di Madinah terbahagi kepada dua iaitu ziarah dalam dan ziarah luar. Ziarah dalam adalah menziarahi Masjid Nabawi, makam Nabi Muhammad S.A.W, makam sahabat iaitu Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab. Sampaikan salam kepada Rasulullah S.A.W dan para sahabat ketika menziarahi makam dan ketika di Raudah, banyakkan berdoa di taman syurga itu. Untuk mengenali Raudah, pastikan anda sudah memijak permaidani berwarna hijau muda. Sejurus berada di situ, berdoa dan jika keadaan tidak sesak, bolehlah menunaikan bersolat sunat dua rakaat. Di dalam Masjidil Nabawi ini juga jemaah boleh mendapatkan air zam-zam secara percuma sebanyak mana yang kita suka. Minumlah air zam-zam dengan cara yang betul supaya ianya tidak sia-sia kerana air zam-zam ni banyak khasiatnya. Para jemaah juga dibenarkan untuk membawa botol kosong untuk mengisinya untuk dibawa pulang.
Ziarah Luar pula Merangkumi beberapa lokasi di luar Masjid Nabawi iaitu Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan makam syuhada’ Uhud, dan perkuburan Baqi’. Selain dari lokasi-lokasi ni, ada banyak lagi tempat bersejarah kami lawati termasuk beberapa masjid yang pernah Rasulullah S.A.W singgah dan sembahyang.
Masjid Quba : Masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah S.A.W ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah. Sabda Nabi Muhammad S.A.W bermaksud: “Sesiapa yang pergi ke Masjid Quba’ dari rumahnya dalam keadaan berwuduk dan solat sunat dua rakaat di dalam masjid berkenaan, ganjarannya satu pahala umrah.”
Masjid Qiblatain : Pernah dikenali sebagai masjid Bani Salamah. Namanya ditukar kepada masjid Qiblatain kerana turunnya ayat yang memerintahkan agar Nabi Muhammad S.A.W menghadap ke Kaabah ketika bersolat. Sebelum itu, Rasulullah SAW dan sahabat bersolat menghadap ke Baitul Muqaddis.
Jabal Uhud : Satu-satunya bukit di dunia ini yang akan ada di dalam syurga kelak. Perang Uhud tercetus pada tahun 625 Masihi dengan jumlah Islam 700 orang manakala kafir Quraisy 3,000. Kekalahan pada peperangan itu turut mengorbankan 70 tentera Islam dan Rasulullah mengalami kecederaan serta patah gigi geraham.
Perkuburan Baqi’ : tanah perkuburan penduduk Madinah dan mereka yang meninggal dunia di Madinah. Isteri-isteri dan anak cucu Nabi Muhammad S.A.W disemadikan di situ. Dianggarkan 10,000 sahabat bersemadi di tanah perkuburan berkenaan. Jemaah wanita dikatakan tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan perkuburan ini.
Ladang Tamar : destinasi popular untuk jemaah berbelanja tamar, kekacang dan manisan. Tapi dinasihatkan untuk jemaah bandingkan harga barangan disini dengan kedai yang berada berhampiran dengan hotel jemaah di madinah, ini kerana biasanya disini ladang tamar harganya jauh lebih mahal berbanding di kedai kawasan hotel tempat penginapan kita.
Untuk membeli belah di sekitar hotel dan Masjid Nabawi, jemaah dinasihatkan supaya banyak berjalan untuk membandingkan harga dari kedai ke kedai yang lain. Rata-rata peniaga disana boleh berbahasa Melayu dan Indonesia. Jadi urusan tawar menawar tidak akan jadi satu masalah.
Dari segi makanan pula memang tidak menjadi masalah kerana terdapat pelbagai jenis makanan terjual di sini, daripada selera arab sehingga ke selera malaysia/indonesia. Ada berhampiran dengan penginapan kami sebuah restoran yang diberi nama Rumah Makan Indonesia. Jadi untuk mereka yang rindukan masakan nusantara bolehla ke sini. Kalau tak silap saya, ianya boleh diakses terus dari pintu 17 Masjid Nabawi. Bagi saya ambil pakej tidak termasuk makan lebih menjimatkan kerana makanan sangat mudah didapati dan harganya berpatutan.
Disini kita akan jumpa macam-macam jenis umat manusia, walaupun saling tidak mengenali antara satu sama lain, tapi kita boleh je senyum sesama kita dan bersembang walaupun masing-masing tak faham bahasa hahha, indahkan Islam, kita dah dididik bahawasanya kita semua adalah bersaudara.
Dikarang oleh: Nurul Izzah Mohd Sulur
Disunting oleh: Nur Alifah Ilyana Arifin