KETURUNAN YANG MULIA DAN TERPELIHARA
Hikmah pengutusan Rasul
Allah -سبحانه وتعالى- mengutuskan para Rasul di atas muka bumi ini sebagai pembawa risalah yang memandu manusia kepada kebenaran. Allah -سبحانه وتعالى- mengutus para Rasul daripada kalangan hamba-hamba Nya, kemudian diberikan wahyu yang mengandungi syariat dan hukum hakam, serta memerintahkan para Rasul untuk menyampaikan wahyu kepada para makhluk. Ianya berisi segala perintah Nya, larangan-larangan Nya, peringatan tentang perkara yang dimurkai Allah -سبحانه وتعالى- , siksaan Nya, dan mengajarkan mereka cara untuk menyembah Allah agar mendapatkan keredaan serta pahala daripada Nya.[1]
Para Rasul yang terpilih ini memiliki ciri dan syarat yang tertentu, iaitu utusan Allah terdiri daripada lelaki yang sempurna akal, cerdik, pandai, memiliki kekuatan rasional, nasab yang terhormat dan selamat daripada segala perkara yang menyebabkan orang ramai melarikan diri daripada mereka seperti bersifat keji, keturunan zina, penyakit kusta, lepra, gila dan pengsan yang lama.[2]
Keturunan Rasulullah
Allah -سبحانه وتعالى- telah mengutuskan seorang Rasul yang menjadi penutup bagi sekalian para Rasul. Baginda ialah seorang Nabi dan Rasul terakhir yang dibangkitkan dalam kalangan umat ini, yang mana tidak akan ada lagi kelahiran Nabi dan Rasul setelah Baginda. Baginda bernama Muhammad -صلى الله عليه وسلم- . Tempat kelahiran Baginda adalah di Mekah, iaitu di rumah Abu Talib yang terletak didalam perkampungan Bani Hashim.
Kelahiran Baginda disambut oleh seorang wanita yang bernama al-Syifa’, iaitu ibu kepada Abdul Rahman bin ‘Auf. Nama Baginda -صلى الله عليه وسلم- diberikan oleh datuk Baginda, iaitu Abdul Mutalib melalui ilham daripada Allah -سبحانه وتعالى- . Baginda dilahirkan pada tahun Gajah, iaitu tahun ketika berlakunya pencerobohan tentera bergajah Abrahah al-Ashram terhadap Mekah.[3] Kisah tentang kebinasaan tentera bergajah ini telah Allah -سبحانه وتعالى- khabarkan kepada kita di dalam Surah al-Fil.
Hasil kajian yang dilakukan oleh al-marhum Mahmud Basya al-Falaki, Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- lahir pada tanggal 9 Rabiul Awwal yang bersamaan dengan 20 April tahun 571M.
Menurut Kitab Sirah Nurul Yaqin, Pengasuh Baginda yang pertama seperti yang dinyatakan ialah Ummu Aiman, manakala ibu susuan Baginda yang pertama ialah Tsuwaibah, sebelum Baginda diserahkan kepada Halimah al-Sa’diah.
Nasab Keturunan Yang Mulia
Nasab keturunan Baginda -صلى الله عليه وسلم- merupakan nasab keturunan yang paling mulia dalam masyarakat ketika itu, datuk nenek Baginda terdiri daripada orang-orang yang menjaga kesucian diri dan keturunan Baginda berpindah daripada tulang-tulang sulbi mereka kepada rahim-rahim yang suci, dengan jalan perkahwinan serta tidak pernah dicemari dengan perbuatan kotor (zina).
Allah -صلى الله عليه وسلم- telah memilih Nabi Muhammad sebagai pembawa petunjuk, dan Nabi Muhammad adalah daripada kalangan mereka yang paling tinggi kedudukannya, terhormat dan disegani dalam kalangan masyarakat ketika itu, iaitu kabilah Quraisy.
Nasab keturunan Nabi -صلى الله عليه وسلم- adalah bersambung dengan Nabi Ibrahim -عليه السلام-. Para ulama bersepakat menyatakan bahawa nasab Baginda ialah : Muhammad bin ‘Abdullah bin Abdul Mutalib (Syaibah al-Hamd) bin Hashim bin Abdul Manaf (al-Mughirah) bin Qusay (Zaidan) bin Kilab bin Murah bin Ka’ab bin Luai bin Ghalib bin Fihr (Quraisy) bin Malik bin Nadr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nazzar bin Mu’id bin Adnan.[4] Silsilah keturunan ini adalah silsilah yang disepakati oleh ahli sejarah dan ahli hadis, adapun silsilah selepas Adnan , terdapat percanggahan pendapat mengenainya.
Sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikh Sa’id Ramadan dalam Fiqh al-Sirah, antara pengajaran dan renungan yang boleh diambil daripada keputeraan Baginda Nabi -صلى الله عليه وسلم- adalah, konsep kasih kepada Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- ialah kasih kepada kaum yang dalam kalangan mereka lahirnya Rasulullah -صلى الله عليه وسلم-, dan juga kasih kepada qabilah yang dalam kalangan mereka diputerakan Baginda. Meskipun tidak dapat dinafikan bahawa adanya keburukan pada orang-orang ‘Arab atau Quraisy itu kerana penyimpangan mereka dari jalan Allah -سبحانه وتعالى-, atau menyeleweng dari garis-garis panduan yang telah dipilih oleh Allah untuk hamba-hambanya, namun penyimpangan dan pemesongan dari garis panduan tersebut bererti tersingkir terputus daripada hubungan dengan Rasulullah -صلى الله عليه وسلم-.[5]
[1] Ayman al-Akiti. 2019. Akidah Ahli Iman. Cet 2. Selangor : Galeri Ilmu Sdn Bhd. 20
[2] Ayman al-Akiti. 2019. Akidah Ahli Iman. Cet 2. Selangor : Galeri Ilmu Sdn Bhd. 22
[3] Muhammad Khudhari Bik. (terj : Mohd Asri Hj Hashim). 1998. Kitab Sirah Rasulullah S.A.W. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn Bhd. 22.
[4] Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti. 2016. Fiqh al-Sirah. Terj : Ustadh Mohd Darus Sanawi ‘Ali. Selangor : Pustaka Fajar (DPF). 1/55. Muhammad Khudhari Bik. (terj : Mohd Asri Hj Hashim). 1998. Kitab Sirah Rasulullah S.A.W. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn Bhd. 16-19
[5] Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti. 2016. Fiqh al-Sirah. Terj : Ustadh Mohd Darus Sanawi ‘Ali. Selangor : Pustaka Fajar (DPF). 1/58.