SUNNAH SUNNAH AIDIL ADHA
Bulan Zulhijjah merupakan bulan penutup dalam kalendar Islam dimana banyak kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam bulan ini. Antara kelebihan bulan ini seperti mana yang disebut dalam hadis berkenaan 10 hari awal bulan zulhijjah adalah hari-hari yang terbaik. Selain itu, dalam bulan ini jugalah satu-satunya bulan dimana umat Islam menunaikan kewajipan rukan Islam yang kelima iaitu menunaikan haji. Disamping itu, dalam bulan ini juga ada satu perayaan berdasarkan kepada peristiwa besar yang berlaku kepada nabi Allah Ibrahim dan anaknya nabi Ismail iaitu sambutan hari raya aidiladha. Sama juga seperti hari raya aidil fitri, hari raya aidil adha juga seharusnya diraikan dengan membesarkan Allah SWT tambahan pula kita perlu menghayati kisah pengorbanan nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
Tatkala kita meraikan hari raya aidil adha ini, mari sama-sama kita mengambil manfaat keberkatan yang ada dalam bulan ini ditambah pula dalam tempoh meraikannya aidil adha, mari sama-sama kita amalkan sunnah-sunnah baginda sallallahu alaihi wasallam dalam usaha menambah bekalan pahala kita. Antara sunnah-sunnah yang boleh kita lakukan di pagi raya ialah yang pertama mandi sunat hari raya. Said bin al-Musayyib berkata: “Sunat-sunat hari raya ada tiga: “Berjalan ke tempat solat, makan sebelum keluar dan mandi.” Selain itu, antara sunnah yang boleh kita lakukan ialah tidak menjamu makanan sebelum berangkat menunaikan solat sunat aidil adha. Hal ini berdasarkan kepada sebuah hadis “Rasulullah SAW makan terlebih dulu sebelum berangkat (menuju tempat solat) ketika Hari Raya aidil Fitri. Dan untuk Hari Raya aidil Adha, baginda makan setelah selesai solat dan pulang ke rumah.” (HR Tirmidzi, Ibnu Majah & Ahmad).`
Seterusnya, antara sunnah yang boleh dilaksanakan di pagi hari raya aidil adha ialah, bertakbir membesarkan Allah SWT dan perkara ini juga digalakkan dilakukan ketika mana kita berjalan menuju ke tempat solat. Sunnah lain yang boleh diamalkan ialah, menggunakan jalan yang berbeza ketika hendak pergi dan pulang daripada solat sunat aidil adha. Hal ini berdasarkan kepada sebuah hadis daripada Jabir r.a “Pada waktu Hari Raya, Rasulullah SAW menempuh jalan yang berlainan (ketika berangkat dan saat pulang).” (HR Bukhari). Ketika bertemu dengan saudara sesama Islam atau ketika menziarahi sanak-saudara, disunnahkan untuk kita berdoa kepada mereka dengan lafaz “Taqabbalallaahu minnaa wa minkum” yang bermaksud semoga Allah menerima amal kami dan amalan kalian.
Akhir sekali, antara sunnah baginda sallallahu alaihi wasallam yang amat digalakkan dalam meraikan aidil adha ialah melaksanakan ibadah korban. Hal ini juga berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a dimana Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud ““Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Marilah sama-sama kita hidupkan seberapa banyak yang boleh sunnah baginda sallallahu alaihi wasallam terutama apabila meraikan hari raya aidil adha. Mudah-mudahan dengan cara ini kita dapat menambah bekalan pahala kita untuk dibawa ketika bertemu Allah SWT.