LARANGAN MEMAKAN HARTA SECARA BATIL
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.
Ayat ini merupakan perintah jelas kepada semua hambanya yang beriman untuk menjauhi segala jenis harta yang diperoleh daripada jalan yang salah. Apa yang pasti diawal ayat Allah berfirman dengan lafaz yang bermaksud “Wahai Orang Beriman” dimana secara tidak langsung bagi sesiapa yang memakan harta melalui jalan yang salah bukan lah tergolong dalam golongan mereka yang beriman. Al-Imam Az-Zahabi juga memasukkan dosa memakan harta secara batil ini dalam kitabnya iaitu Al-Kabair yang menjelaskan mengenai dosa-dosa besar yang dilakukan oleh manusia. Pelbagai jenis harta yang dikategorikan daripada sumber yang batil atau haram, antaranya mencuri, merompak, rasuah, riba’, menipu dalam timbangan, mengambil harta orang lain secara paksa, merubah batas tanah.
Apabila urusan mengenai harta ini melibatkan sesama manusia, maka kerelaan bagi setiap pihak amat perlu. Kerelaan ini untuk mengelakkan daripada berlakunya penindasan satu pihak kepada pihak yang lain. Secara asasnya, semua harta yang melibatkan sesama manusia yang terhasil daripada kerelaan adalah halal melainkan hasil harta yang sudah diisyaratkan oleh Allah dan Rasul akan keharamannya. Sebagai contoh rasuah dimana meskipun kesemua pihak memberi dan mendapatkan kerelaan, namun ianya tetap haram. Hal ini sama juga seperti berjudi, tidak amanah semasa menjalankan tanggungjawab.
Banyak dalil-dalil dari Al-Quran dan hadis Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang memberikan ancaman kepada mereka yang memakan harta melalui jalan yang batil. Antaranya seperti firman Allah SWT dalam surah As-Syura ayat 42 yang bermaksud:
“Sesungguhnya jalan hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya”
Dalam sebuah hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:
“ Sesiapa yang mengambil hak seorang Muslim dengan sumpahnya, maka sungguh Allah telah mewajibkan neraka baginya. “Ditanyakan kepada baginda “Ya Rasulullah, “ sekalipun sesuatu yang sediki?” Baginda menjawab, “Sekalipun hanya ranting kecil dari kayu arak yang biasa digunakan untuk bersiwak” (Riwayat Muslim)
Terdapat juga sebuah hadis daripada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang menceritakan taraf bagi manusia yang memakan harta secara batil. Daripada Jabir r.a bahawasanya Nabi sallallahu alaihi wasallam kepada Ka’ab bin Ujrah yang bermaksud:
“ Tidak akan masuk syurga daging (tubuh) yang tumbuh dari harta haram, neraka adalah lebih utama baginya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hindari perbuatan mengambil harta secara batil. Takutlah akan ia kerana dari situ jugalah kita menyara diri dan keluarga, memberi makan dan menyediakan segala keperluan untuk mereka. Perkara ini mampu memberikan kesan yang sangat buruk sama ada rohani dan jasmani bukan semata sipelaku malah ahli keluarga. Semoga kita semua dijauhkan dari tergolong dalam golongan mereka yang memakan harta secara batil.