MAHAR HAK EKSLUSIF ISTERI
Definisi Mahar
Mahar merupakan sebuah perkataan daripada bahasa Arab. Pengertian mahar adalah suatu pemberian wajib suami yang diberikan kepada isterinya sama ada berbentuk barang atau sesuatu yang bermanfaat kepada isterinya setelah akad nikah. Sekiranya berlaku penceraian di antara suami isteri sebelum melakukan persetubuhan, suami wajib membayar separuh kepada isterinya. Isteri berhak mendapat mas kahwin apabila akad nikahnya sah. Pemberian mas kahwin akan menjadi hak sepenuhnya isteri. Suami mahupun keluarga tidak boleh mengambil sedikit pun bahagian daripada mas kahwin tersebut melainkan sekiranya dibenarkan isteri. Mahar adalah lambang kejujuran, tanda persetujuan dan pemberian wajib yang tidak mengharapkan balasan. Ia merupakan antara rangkuman nilai di sebalik pengertian mahar. Mahar bukanlah sekadar hadiah pemberian wajib kepada isteri, tetapi lebih cenderung kepada pemberian yang bernilai dan berpotensi sebagai jaminan sosio-ekonomi wanita, kerana mahar pada dasarnya mestilah dengan sesuatu yang berharga dan mestilah mempunyai nilai.
Mengapa Mahar Patut Diberikan ?
Mahar bukanlah syarat sah atau rukun nikah, sebaliknya merupakan kesan dan tanggungjawab yang lahir setelah sahnya akad pernikahan. Justeru, ia wajib ditunaikan oleh suami sepertimana suami wajib memberikan nafkah yang juga merupakan kesan daripada akad pernikahan yang sah. Menyebut dan memperjelaskan mahar ketika akad bukanlah menjadi satu kewajipan, namun ia digalakkan untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang pertikaian pada masa akan datang. Sekiranya mahar tidak disebutkan dalam akad, pernikahan tetap sah di sisi syara sementara mahar tetap wajib ditunaikan dan akan menjadi hutang suami. Begitu juga sekiranya terjadi musibah dalam rumahtangga seperti kematian suami sebelum pemberian mahar, mahar tersebut tetap menjadi hutang yang mesti dilunaskan oleh warisnya (keluarga suami). Mahar yang tetap menjadi hutang suami atau warisnya (sebagaimana dalam dua keadaan yang tersebut) menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf mahar sebagai pemberian yang sangat penting kepada wanita. Pensyariatan mahar yang bertujuan memberi hak pemilikan harta kepada wanita menunjukkan bahawa mahar adalah harta atau aset yang produktif dan bernilai tinggi kepada wanita.
Hak Mahar dalam Perundangan
Berikutan itu, wali yang sebelum ini mempunyai hak ke atas pemilikan mahar tidak berhak lagi menganggap mahar tersebut sebagai hak milik mereka kerana mahar yang disyariatkan Islam menjadi hak ekslusif isteri. Suami juga tidak berhak memaksa isterinya (yang telah disetubuhi) untuk memulangkan mahar yang telah diberikan sekiranya berlaku perceraian. Islam juga tidak menganggap bahawa mahar sebagai bayaran kepada nilai dan harga diri bagi seorang wanita, sebaliknya sebagai pemberian yang bertujuan memberi penghormatan dan perlindungan kepada wanita.
Sebenarnya adalah tiada beza diantara mahar dan mas kahwin. Hai ini kerana ia merupakan perkara yang sama namun penggunaan istilah yang berbeza. Ia merupakan hak mutlak isteri dan turut menjadi satu tanda perakuan kasih dan tanggungjawab seorang suami kepada isterinya tetapi jika suami ingin menggunakan duit mahar isteri, isteri boleh membenarkannya. Namun, suami wajib untuk menggantikannya semula. Firman Allah swt dalam Surah An-Nisaa yang bermaksud “Berikahlah kepada orang-orang perempuan itu mas kahwin mereka.” Manakala sabda Rasulullah saw dalam hadith yang diriwayatkan Riwayat Bukhari yang bermaksud carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi.
Islam Menggalakkan Mahar Diberikan Secara Tunai
Namun, kadar mas kahwin ini adalah mengikut negeri. Perundangan syariah di negara kita juga adalah di bawah bidang kuasa setiap sultan di setiap negeri seperti yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Maka ini bermakna perkara berdasarkan perkahwinan adalah berlainan di negeri-negeri di Malaysia. Syariat Islam sangat mengambilkira keadaan dan situasi semasa masyarakat, begitu juga dengan pensyariatan mahar. Islam memberi kemudahan dan keringanan kepada lelaki yang tidak mampu untuk memberikan mahar secara tunai samada keseluruhan atau sebahagiannya, untuk memberikannya secara hutang atau bertangguh ke satu masa yang ditetapkan atas persetujuan dan keredhaan bersama. Namun, Islam menggalakkan mahar diberikan secara tunai bagi mereka yang mampu.