MALU BENTENG MAKSIAT
Ajaran Islam diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW adalah panduan hidup yang sangat syumul dan lengkap untuk keseluruhan manusia sejagat agar mengenal dan mengakui keesaan Allah Taala. Ia juga bagi memastikan seseorang itu melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumiNya dan menghiasi peribadi dengan akhlak kebaikan.
Sebagai seorang hamba kita perlulah mensyukuri segala nikmat pemberian Allah dengan sentiasa beribadah kepadaNya. Ibadah yang benar akan melahirkan akidah yang kukuh dan seterusnya pasti akan menerbitkan akhlak yang baik lagi mulia. Hal ini demikian kerana, akhlak Islam yang benar adalah pancaran daripada kekuatan akidahnya.
Dalam ilmu akhlak pula terdapat satu sifat yang menjadi teras kepada ajaran Islam sendiri iaitu sifat malu. Sifat malu inilah yang mendorong seseorang manusia untuk tidak melakukan perkara-perkara mungkar yang dilarang agama Islam.
Kepentingan Sifat Malu
Malu bererti menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan yang tercela. Sifat malu adalah sifat terpuji yang akan menjadi benteng masyarakat daripada terjebak ke dalam krisis moral, keruntuhan akhlak dan kebejatan sosial.
Islam amat mementingkan sifat malu kerana ia memandu perlaksanaan ibadah seorang Muslim. Setiap orang perlulah memiliki tanggungjawab untuk membentuk rasa malu ke atas diri mereka sendiri yang menjadi tanggungjawabnya. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Malu dan Iman bergandingan antara satu sama lain. Bila dicabut malu pasti yang lainnya akan mengikuti”.
Sesuatu kemungkaran yang berlaku sebenarnya didasarkan kerana ketiadaan sifat malu dalam diri seseorang manusia. Kehilangan sifat ini akan menyebabkan seseorang berani melakukan maksiat secara terang-terangan baik di khalayak ramai, apatah lagi secara sembunyi-sembunyi seolah-olah Allah tidak mampu melihat segala perbuatan yang dilakukan. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya termasuk perkara yang didapati oleh manusia dari perkataan Nabi yang terdahulu ialah: Jika engkau tidak malu, maka berbuatlah apa yang engkau suka.” Al Bukhari (3483).
Malu adalah landasan akhlak yang menjadi tonggak kepada kebaikan. Siapa yang lebih banyak malunya akan lebih banyak kebaikannya. Siapa yang sedikit rasa malu, sedikitlah akan kebaikannya. Rosaknya nilai, adab dan sesuatu budaya kerana malu telah dibuang dalam kehidupan mereka. Menghidupkan sifat malu merupakan asas acuan Syariah Islam yang amat penting dalam meniti kehidupan seharian kita. Sabda Rasulullah: “Malu itu tidak datang kecuali dengan kebaikan”, Al-Bukhari, 6117.
Justeru akhir kata, seseorang hendaklah beriltizam dengan sifat malu agar terhindar daripada segala bentuk maksiat yang akan menyebabkan kita berada dalam keaiban. Seseorang manusia juga perlulah yakin dengan merasakan Allah sentiasa hadir melihat apa jua perbuatan, ucapan dan perlakuan yang kita lakukan. Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.” (Riwayat Muslim).