MASYA-ALLAH, BESARNYA FADHILAT ZULHIJJAH!
JIKA Ramadan dikenali dengan kelebihan Lailatul Qadar di sepuluh malam terakhirnya, bulan Zulhijah pula dikenali dengan kelebihan menggandakan amalan pada sepuluh hari awalnya. Bulan Zulhijjah adalah suatu bulan yang penuh dengan pelbagai fadhilat yang mana keistimewaannya amat hebat dan besar khususnya pada 1 sehingga 10 Zulhijjah.
“Tidak ada hari yang mana amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh Allah daripada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah).” Mereka berkata; Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan Allah? Baginda SAW berkata: “Tidak juga berjihad di jalan Allah melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun”, Riwayat Abu Daud, 2438.
Antara amalan yang amat disunatkan apabila masuknya bulan Zulhijjah adalah seseorang itu hendaklah memperbanyakkan Bertakbir (Allahu Akbar), Bertahmid (Alhamdulillah) dan juga Bertahlil (La Ilaha Illa Allah). Sabda Baginda SAW, “Tiada hari-hari yang lebih agung dan disukai oleh Allah untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, perbanyakanlah tahlil, takbir, dan tahmid padaNya”, Imam Ahmad, 6154.
Selain itu, jika seseorang itu mampu daripada segi kesihatan dan juga kewangannya, amatlah digalakkan baginya untuk menunaikan Haji di Baitullah. Hal ini demikian kerana, amalan ini merupakan Rukun Islam yang kelima serta pada bulan Zulhijjah sahajalah Haji akan ditunaikan yang tidak ada pada bulan-bulan yang lainnya. Haji bermula pada hari ke-8 Zulhijjah dan berakhir pada hari ke-13 Zulhijjah. “Seorang lelaki berkata, ‘Wahai Rasulullah, apakah amalan yang afdal, ‘Baginda menjawab, “Beriman dengan Allah dan Rasul-Nya.” Kemudian dia berkata, “Selepas itu , apa?” Baginda menjawab, “Jihad dijalan Allah.” Dia berkata lagi, “Seterusnya, apa?” Baginda menjawab, “Haji yang mabrur”, Riwayat al-Bukhari, 26.
Di samping itu, puasa sunat Hari Arafah yang jatuhnya pada 9 Zulhijjah juga merupakan salah satu amalan yang digalakkan dilakukan pada bulan ini. “Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun sesudahnya.” Sunan al-Tirmizi, 680. Rasulullah SAW juga pernah bersabda “Bahawa Nabi SAW tidak meninggalkan puasa pada hari Asyura, 10 hari (terawal Zulhijjah), dan tiga hari setiap bulan”, Riwayat Imam Ahmad (6/287). Berpuasa pada hari ke-9 Zulhijjah ini juga hanyalah disunatkan bagi orang yang tidak mengerjakan Haji sahaja.
Selanjutnya, amalan sunat di bulan Zulhijjah juga adalah dengan beribadah Qurban Haiwan pada 10 Zulhijjah. Hal ini demikian kerana, amalan Qurban dapat memberikan suatu contoh teladan yang baik kepada masyarakat agar dapat mencontohi ketaatan Nabi Ibrahim A.S yang sanggup menyahut perintah Allah SWT untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail A.S. Selain itu, hikmah Qurban juga dapat menghiburkan hati para fuqara, golongan miskin dan yang tidak berkemampuan dalam menikmati agihan Qurban buat keluarga dan anak-anak kecil mereka. “Angkatlah setinggi-tinggi suara ketika bertakbir, dan tumpahkanlah darah binatang korban sebanyak-banyaknya.” Al-Tirmizi, 827 & Ibnu Majah, 975.
Tambahan pula, disunatkan bagi orang yang ingin berqurban agar tidak memotong rambut, mencabut serta mencukur bulu di badan mereka apabila sudah masuknya 1 Zulhijjah. Hikmah di sebalik larangan ini adalah agar anggota-anggota yang terdapat pada badannya itu kesemuanya akan dibebaskan daripada api neraka kelak. Maksudnya: “Barangsiapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.” HR Muslim, 1977.
Dalam pada masa yang sama, tidak terkecuali juga antara amalan yang digalakkan ketika sudah memasuki bulan Zulhijjah adalah untuk tidak berpuasa pada hari-hari Tasyrik iaitu pada hari yang diharamkan Syara’ untuk berpuasa. Maksudnya, “Hari Arafah, Hari Raya Korban, dan hari tasyrik adalah kesemuanya hari raya bagi umat Islam, ia merupakan hari makan dan minum.” Riwayat al-Tirmizi, 773.
Akhir kata, rebutlah peluang yang diganjarkan fadhilatnya pada 10 terawal Zulhijjah ini kerana ganjarannya sangat besar di sisi Allah SWT. Semoga Allah SWT memberi kita petunjuk dalam melaksanakan perkara ketaatan kepadaNya dan melayakkan kita masuk ke dalam SyurgaNya. Baginda SAW bersabda, “Tidak ada hari-hari yang besar ganjarannya di sisi Allah dan yang paling Dia sukai agar seseorang mengerjakan amal kebaikan padanya, melainkan 10 hari ini”, Riwayat Imam Ahmad (5446). Jom, lakukanlah apa sahaja amalan dengan ikhlas demi mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.