Cara Urus Jenazah Saat Banjir
“Ustaz baru-baru ini ada kenalan saya meninggal dunia akibat banjir, tapi kami semua tak tahu cara menguruskannya boleh ustaz jelaskan?”
Menguruskan jenazah banjir adalah satu kewajipan dan ia termasuk dalam fardhu kifayah bagi masyarakat di sesuatu tempat. kewajipan itu hanya akan terangkat apabila ada sebahagian daripada masyarakat menunaikan tanggungjawab tersebut.
Ijma’ Ulama bersepakat bahawa setiap individu yang TIDAK mati dalam keadaan syahid atau berada dalam ihram WAJIB bagi mereka diuruskan dengan empat perkara ini:
1) Dimandikan
2) Dikafankan
3) Disolatkan
4) Dikebumikan
PENGURUSAN JENAZAH KETIKA BANJIR.
1) MEMANDIKAN JENAZAH
Dalam situasi banjir, DIBOLEHKAN bagi seseorang menggunakan air banjir untuk memandikan jenazah. Urusan memandikan jenazah lebih utama diuruskan oleh orang yang sama jantinanya, jika tidak ada maka diharuskan yang berlainan jantina menguruskannya.
Sekiranya pusat penempatan banjir tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi atau air hanya cukup untuk keperluan asas sahaja seperti air minum, jenazah boleh ditayammumkan bagi menggantikan kefarduan mandi jenazah. Orang yang menguruskan jenazah itu perlulah menekap atau menepuk tanah dengan tangannya, kemudian menyapu ke bahagian muka dan kedua tangan jenazah tersebut.
Permasalahan ini disebut di dalam kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili yang bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah iaitu:
الْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ
Maksudnya: “Kesusahan akan membawa kepada kemudahan.”
Keadaan darurat dan situasi sulit seperti banjir yang menyebabkan simpanan air bersih perlu digunakan untuk keperluan-keperluan asas yang lain seperti air minum menjadikan tayammum dijadikan rukhsah atau keringanan oleh syara’.
Firman Allah SWT :
وَإِن كُنتُم مَّرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيداً طَيِّباً فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ
Maksudnya: “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu).”
(Surah al-Maidah: 6)
2) MENGKAFANKAN JENAZAH
Kafan yang dituntut oleh syarak adalah kain putih yang mencukupi untuk menutup aurat jenazah. Sunat 3 lapis kain putih bagi jenazah lelaki dan 5 lapis kain putih bagi wanita. Sekiranya menghadapi kesukaran menyediakan kain kafan yang mencukupi atau yang berwarna putih ketika di dalam situasi banjir, DIBOLEHKAN untuk mengkafankan jenazah sekadar untuk menutup jenazah sahaja.
Daripada Ibn Abbas r.anhuma Rasulullah SAW bersabda :
الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ، فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ
Maksudnya: “Pakailah pakaian kamu yang berwarna putih kerana ia adalah sebaik-baik pakaian dan kafankanlah yang mati di kalangan kamu dengannya.”
(HR Tirmizi)
3) SEMBAHYANG JENAZAH
Daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW bersabda :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى لِلنَّاسِ النَّجَاشِيَ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ فَخَرَجَ بِهِمْ إِلَى الْمُصَلَّى
وَكَبَّرَ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ
Maksudnya: “Rasulullah SAW bersabda atas kematian al-Najasyi lalu baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali takbir.”
(HR Muslim )
Jenazah yang telah dikafankan, wajib disolatkan sama ada secara sendirian atau berjemaah mengikut keadaan.
4) MENGEBUMIKAN JENAZAH
Jenazah yang sudah disolatkan WAJIB dikebumikan di kawasan perkuburan yang telah disediakan oleh pihak berkuasa. Sekiranya tidak dapat diuruskan, dinasihatkan untuk menghubungi pihak yang bertanggungjawab bagi menguruskannya. Sekiranya tidak berjaya, maka perlu dilakukan perkara-perkara berikut:
- Dikebumikan di mana-mana kawasan atau tanah yang boleh didapati. Setelah banjir surut, jenazah tersebut perlu dipindahkan oleh pihak berkuasa agama negeri ke tanah perkuburan yang disediakan sekiranya diperlukan. Atau;
- Menyimpan jenazah di tempat yang sesuai dalam suatu tempoh yang dirasakan tidak akan membusuk sehingga banjir reda dan dikebumikan setelah itu. Atau;
- Menghanyutkan jenazah dengan harapan agar ada orang yang menguruskan jenazah itu ketika menemuinya. Atau;
- Melakukan apa-apa alternatif untuk mengelakkan bau yang tidak menyenangkan dan memudaratkan orang awam.
Wallahua’lam
Tag:fiqhbanjir, jenazah, ustazustazahcom