MELAMPAU! KAABAH DIJADIKAN PELARIS PRODUK
DATUK Idris Ahmad, Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri menemplak golongan yang gemar menjadikan Kaabah sebagai wasilah pelaris marketing dan produk dengan berkata: “Sebagai ‘tetamu Allah’, jemaah seharusnya memanfaatkan tempoh berada di Tanah Suci untuk menjalankan ibadah haji agar mendapat haji yang mabrur. Tambah beliau lagi, “Sepatutnya fokus kepada ibadah haji lebih-lebih lagi depan Kaabah, tempat mustajab untuk berdoa. Sepatutnya perkara seperti ini (berniaga dan promosi) tidak patut berlaku.”
Penulis sangat menyetujui dengan teguran yang diutarakan oleh Yang Berhormat, Datuk Idris Ahmad. Sudah terang lagi bersuluh, apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini sangat menyedihkan dan mendukacitakan. Hal ini demikian kerana, terkadang kedatangan segelintir masyarakat kita ke Masjidil Haram hanyalah bertujuan untuk mempromosikan produk dagangan mereka dengan menjadikan Kaabah sebagai pelarisnya. Sedangkan berjuta lagi umat manusia menantikan, dan berusaha dengan bersusah payah memerah keringat agar dapat mengumpul duit supaya mampu menjejakkan kaki ke sana melihat Kaabah dengan mata kepala sendiri.
Allah SWT berfirman “Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud”, Surah al-Baqarah: 125.
Menurut Dr Ahmad Sanusi Azmi di dalam tulisannya mengatakan bahawa Sheikh al-Tantawi ketika menghuraikan mengenai ayat ini, menjelaskan bahawa “Kesucian Kaabah dan Masjidil Al-Haram ini haruslah dipelihara dari unsur-unsur kesyirikan. Begitu juga dengan unsur-unsur keduniaan”. Imam Ahmad RA juga menegaskan bahawa, “Sesungguhnya rumah-rumah Allah itu tidak sepatutnya berlaku jual beli di dalamnya.”
Tuntasnya, ingatlah akan amaran yang disabdakan Rasulullah SAW, “Sekiranya kami melihat mereka yang menjual atau diminta untuk jual di dalam masjid, maka katakanlah: Sesungguhnya Allah tidak menjadikan keuntungan buat perniagaan kamu”, Riwayat Abu Daud. Marilah kita bersama-sama menghayati dan memelihara tujuan asal Masjidil Al-Haram itu sendiri dibina adalah sebagai tempat beribadah dan mendekatkan diri kepadaNya. Janganlah kita terikut-ikut hawa nafsu dengan menjadikan Kaabah dan Masjid Nabawi itu sebagai tempat untuk melariskan barang-barangan yang dijual.
Justeru, tekadkanlah niat bagi para jemaah yang dijemput Allah SWT ke tanah suci Kota Madinah dan Masjidil Al-Haram agar niatnya berpaksikan hanya semata-mata untuk mendekatkan diri kepadaNya dan menziarahi makam kekasihNya, Rasulullah SAW. Penulis juga mendoakan agar para jemaah yang akan berangkat ke Tanah Suci dikurniakan Umrah dan Haji yang Mabrur serta Mabrurah kerana sesungguhnya anda telah mendapat jemputan khas dari Allah SWT. Maka, gunakanlah peluang itu dengan sebaiknya dan selayaknya.