MELAZIMI LIDAH & TULISAN DENGAN PERKATAAN YANG BAIK.
Orang-orang yang beriman perlu melazimkan dirinya dengan perkataan yang baik dan doa-doa yang baik, sebagaimana sabda Nabi SAW yang memerintahkan kita agar berkata baik ataupun diam. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Maksudnya: “Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (HR al-Bukhari : 6018)
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat ke 83:
وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا
Maksudnya: “…katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik..”
Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim berkata: “Maksudnya ucapkanlah kepada mereka dengan ucapan yang baik dan sikap yang lembut. Termasuk dalam hal itu adalah amar makruf dan nahi munkar, iaitu menyuruh berbuat yang baik dan mencegah kemungkaran.
Sebagaimana dikatakan oleh Imam al-Hasan al-Basri mengenai firman Allah SWT ini;
“Termasuk ucapan yang baik adalah menyuruh berbuat baik dan mencegah perbuatan munkar, bersabar, suka memberi maaf, serta berkata kepada manusia dengan ucapan yang baik, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT tadi. Iaitu setiap akhlak baik yang diredai oleh Allah SWT.”
Allah SWT menciptakan lidah bagi manusia supaya ia dapat digunakan untuk berzikir, membaca al-Quran, memberi nasihat, menyeru manusia kepada mentaati Allah, mengenalkan mereka apa yang diwajibkan Allah ke atas mereka dengan menjunjung tinggi semua hak-hakNya, dan supaya ia boleh melahirkan segala isi hatinya daripada keperluan-keperluan yang berkait dengan urusan dunia dan akhirat.
Jika seseorang itu menggunakan lidah untuk tujuan yang kerananya lidah dicipta, maka seseorang itu akan tergolong dalam kalangan mereka yang mensyukuri nikmat lidah. Sekiranya seseorang itu menggunakannya untuk perkara yang bertentangan dengan tujuan ia diciptakan, serta membiarkannya bermaharajalela maka tergolonglah ia antara orang-orang yang menganiaya diri sendiri dan yang melanggar perintah.
Oleh itu, sebagai muslim, hendaklah kita berusaha meninggalkan perkataan melalui ucapan dan perkataan melalui tulisan yang buruk,keji mahupun berbaur kelucahan, agar masyarakat kita subur dengan suasana hidup yang baik lagi harmoni.