MENGAPA AMBIL TAHU SIRAH RASULULLAH?
MENGKAJI riwayat kehidupan Baginda Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- tidaklah sebatas untuk hanya melihat kejadian-kejadian, episod-episod bersejarah mahupun mengetahui cerita-cerita yang indah didalamnya sahaja.
Orang beriman perlu menyedari bahawa, mengetahui serta mengambil tahu tentang sirah Baginda merupakan sesuatu yang sangat penting, dan tidak seharusnya menganggap sirah Rasulullah ini sama seperti sejarah pemerintahan dizaman purbakala.
Matlamat utama daripada pengkajian terhadap sirah Baginda adalah supaya orang-orang Islam dapat memahami, menganggap dan menggambarkan bahawa hakikat zahir dan batin (defakto) Islam semuanya teradun di dalam penghidupan Rasulullah itu sendiri.
Antara tujuan yang dinyatakan oleh Syeikh Sa’id Ramadan al-Buti didalamnya karangannya ialah :
1.Memahami peribadi Nabi Muhammad -صلى الله عليه وسلم- menerusi penghidupan, dan suasana hidup Baginda sendiri.
2.Supaya manusia seluruhnya dapat meniru dan mengikut suatu contoh yang unggul dalam segenap lapangan hidup yang harmoni, dan menjadikannya sebagai dasar-dasar hidup. Hal ini dinyatakan dalam al-Quranul Karim bahawa Allah -سبحانه وتعالى- berfirman :
{ لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِی رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةࣱ لِّمَن كَانَ یَرۡجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلۡیَوۡمَ ٱلۡـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِیرࣰا }
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. [Surah Al-Aḥzāb: 21]
3.Kupasan tentang kehidupan Nabi Muhammad -صلى الله عليه وسلم- diharapkan dapat membantu manusia memahami dan mengecapi isi kandungan al-Quran, kerana ayat-ayat al-Quran banyak dihurai dan ditafsirkan oleh kejadian-kejadian dan peristiwa-peristiwa sejarah hidup Nabi Muhammad -صلى الله عليه وسلم- .
4.Antara tujuan lain, setiap Muslim dapat mengumpulkan banyak perbendaharaan kebudayaan dan pengetahuan Islam yang sebenar, sama ada dari sudut pengetahuan yang berkaitan dengan aqidah kepercayaan, hukum hakam dalam Islam ataupun akhlaknya. Secara tuntasnya, penghidupan Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- adalah satu gambaran dengan dimensi yang jelas bagi prinsip-prinsip dan hukum-hukum Islam.
5.Dengan mempelajari sirah Baginda -صلى الله عليه وسلم- juga, ianya membolehkan para pendidik serta pendakwah Islam mencontohi dan mengajar, mengikut sistem pendidikan dan pengajaran yang baik, kerana Baginda Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- merupakan seorang pendidik, penasihat, guru dan petunjuk yang utama, tidak pernah membuang masa begitu sahaja malah sentiasa mencari dan menyiasat jalan-jalan dan sistem-sistem pengajaran yang terbaik semasa Baginda berdakwah.
Sejarah Rasulullah telah menghidangkan kepada manusia contoh kehidupan yang sempurna, dan contoh utama untuk diikuti sebagai seorang pemuda yang waras, peribadi yang dipercayai orang, seorang manusia yang menyeru manusia lain ke jalan Allah secara lemah-lembut dan bersopan-santun, seorang pejuang yang mengorbankan sepenuh usaha dan tenaga demi menyampaikan seruan Allah, seorang ketua negara yang mendayung bahtera pemerintahan dengan cekap dan pintar, seorang suami yang halus pergaulannya, seorang bapa yang teliti dan bijak menyempurnakan kewajipan terhadap anak dan isteri, seorang ketua turus agung peperangan yang cergas, penuh taktik strategi persediaannya dan seorang Muslim yang waras lagi bijak membahagikan dedikasinya kepada Allah, keluarga, dan sahabat handai -رضي الله تعالى عنهم أجمعين-.
Sesungguhnya mempelajari sirah Baginda ialah memahami semua sudut kemanusiaan.
Ruj: Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti. 2016. Fiqh al-Sirah. Terj: Ustadh Mohd Darus Sanawi Ali. Selangor : Dewan Pustaka Fajar. 1/17-20