Permulaan Kemunculan Orang Munafik.
Dari segi bahasa, munafik berasal daripada perkataan nafaqa yang bermaksud berpura-pura. Dari segi istilah pula, munafik bermaksud orang yang berpura-pura sebagai orang Islam sedangkan dalam hatinya sungguh benci kepada Islam. Maknanya, dari segi luaran, dia solat, dia berpuasa, dan sebagainya. Tetapi, hakikatnya dalam hati dia menentang Islam. Mereka mengaku beriman, sedangkan dalam hatinya mereka menolak agama Islam. Hal ini berlaku kerana beberapa faktor termasuklah untuk menjatuhkan Islam dari dalam.
Nifaq atau kemunafikan merupakan salah satu dari empat jenis kekufuran, sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Al-Baghawi di dalam tafsirnya Ma’alimut Tanzil ketika menafsirkan Surah Al-Baqarah ayat 6. Selain kufur nifaq, beliau juga menyebutkan bahawa kufur juga terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu kufur ingkar, kufur juhud, dan kufur inad. Kufur nifaq adalah kekufuran bagi orang yang mengikrarkan Islam secara lisan, tetapi batinnya tidak mengakuinya. Golongan yang termasuk dalam kategori kufur ini adalah sebahagian dari kelompok Aus, Khazraj, dan sebahagian besar Yahudi di Madinah, sepertimana yang diterangkan dalam surah Al-Baqarah ayat 8 dan seterusnya. Kerana termasuk ke dalam kategori kufur atau kafir, maka orang munafik diancam dengan siksaan yang penuh dengan azab di akhirat kelak akibat kekufuran yang mereka lakukan di atas dunia ini. “Orang yang mati dalam keadaan salah satu dari keempat jenis kafir ini tidak akan diampuni.” (Al-Baghawi).
Permulaan Kemunculan Orang Munafik.
Imam Ibnu Katsir dalam kitabnya Tafsirul Qur’anil Azhim, menceritakan bahawa berbelas ayat di awal Surah Al-Baqarah menceritakan berkenaan sifat-sifat orang munafik sewaktu di Madinah. Sedangkan ketika di Mekah, tidak ada orang munafik. Justeru sebaliknya, sebahagian orang yang beriman menyatakan kekufuran kerana terpaksa. Namun, mereka tetap beriman di dalam batin hati mereka. Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, di sana terdapat satu kelompok golongan Ansor yang terdiri daripada suku Aus dan Khazraj, di mana mereka ini semasa zaman jahiliyah juga menyembah berhala sebagaimana kaum musyrikin di Mekah.
Adapun Yahudi Ahlul Kitab yang mengikuti jalanan salaf pemuka agama, mereka ini terdiri di atas tiga qabilah (suku), iaitu Bani Qainuqa’, Bani Nadhir, dan Bani Quraizhah. Dari sinilah sejarah kemunafikan bermula. Ketika Rasulullah SAW tiba di kota Madinah, ramai dikalangan suku Aus dan Khazraj yang memeluk Islam. Dan sebilangan kecil sahaja dari kalangan Yahudi yang memeluk Islam, iaitu Abdullah bin Salam. Ketika itu belum ada kemunafikan kerana umat Islam belum memiliki kuasa yang perlu ditakuti. Rasulullah SAW bahkan berdamai dengan Yahudi serta kabilah-kabilah perkampungan masyarakat Arab di sekitar Madinah. Ketika berlakunya peperangan Badar di antara umat Islam Madinah dan Musyrikin Mekah, Allah SWT memberikan kemenangan pada umat Islam. Dan kemenangan ini berpihak di tangan orang beriman Madinah. Abdullah bin Ubai bin Salul berkata, “Situasi ini sudah tertuju pada kemenangan Muhammad).”
Bin Salul adalah merupakan tokoh masyarakat Madinah yang disegani oleh masyarakat suku Aus. Beliau merupakan pemimpin bagi kedua suku iaiyu aus dan khazraj di era jahiliah dan hampir diangkat sebagai raja oleh masyarakat Madinah. Akan tetapi situasi berubah ketika baginda Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya berhijrah dari Mekah ke Madinah. Penduduk setempat memeluk Islam dan mengabaikan Abdullah bin Ubai, sehingga tinggallah ia dan keluarganya bersendirian. Ketika berlakunya peristiwa peperangan Badar, Abdullah bin Ubai menyatakan keislaman secara munafik yang kemudiannya diikuti oleh sejumlah kabilah Arab dan sebagian besar kelompok Yahudi dengan keislaman seperti Abdullah bin Ubai. Bertitik tolak dari sinilah berlakunya peristiwa pertama dalam sejarah kemunafikan oleh bangsa Arab di tengah masyarakat Madinah dan sekitarnya.
Adapun kelompok muhajirin yang berasal dari kota Mekah tidak ada seorang pun yang mengikuti jalan kemunafikan seperti kelompok Abdullah bin Ubai bin Salul, kerana tiada satu pun dari mereka yang berhijrah kerana terpaksa. Mereka berhijrah, meninggalkan harta, anak, dan tanah mereka kerana mengharap ridha Allah. Allah mengingatkan dan menceritakan pada kita berkenaan sifat-sifat orang munafik, agar orang beriman tidak terpedaya oleh sikap lahiriyah dan pernyataan keimanan mereka sehingga orang beriman tidak terjatuh dalam mafsadat kerana tidak waspada.
Orang munafik hakikatnya adalah orang kafir, kekufuran jenis nifaq ini perlu diambil berat oleh kita, di mana orang-orang jahat itu dianggap sebagai orang baik. Mereka melafazkan kalimah keimanan seolah-olah tidak memiliki kepentingan yang lain di sebalik itu. Sedangkan mereka melafazkan kalimah tersebut hanya ketika saat menemui baginda Nabi Muhammad SAW sepertimana yang diceritakan dalam Surah Al-Munafiqun ayat 1. Orang munafik adalah kelompok yang terombang-ambing dan memiliki sikap mendua atas konflik kubu orang beriman Madinah dan kubu orang kafir Mekkah kerana kecintaan mereka pada dunia dan kekufuran meraka terhadap akhirat. Mereka menanti dalam kekhawatiran atas nasib mereka yang manakah kubu yang akhirnya akan menang dalam konflik tersebut. (Ibnu Katsir, Tafsirul Qur’anil Azhim)