REMAJA DAN HIBURAN: PERANAN PENDAKWAH
Sudah menjadi fitrah bagi golongan muda untuk berseronok dan berhibur dalam meniti tempoh usia sebagai remaja kerana sesuai dengan jiwa muda mereka yang sedang mencari identiti diri. Tatkala mencari identiti muncul satu sifat dalam diri mereka yang mampu menjerumuskan mereka ke lembah kebinasaan. Sifat yang dimaksudkan ialah sifat ingin tahu dan sifat ingin mencuba sesuatu yang baharu. Keruntuhan akhlak remaja pada hari ini banyak disebabkan oleh terlalu asyik berhibur tanpa had sehingga mereka terjebak kepada masalah gejala sosial seperti minum arak, seks bebas, pengambilan dadah dan sebagainya. Istilah lain bagi permasalahan lain adalah budaya Hedonisme yang meresap masuk kedalam jiwa remaja pada hari ini. Hedonisme ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Tanpa pegangan agama yang kukuh sudah pasti golongan remaja akan terus hanyut dibawa arus budaya hedonisme.
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan remaja terpengaruh dengan budaya hedonisme ini. Media massa menjadi penyumbang utama yang menyebabkan remaja terjebak dengan budaya ini disamping pengaruh rakan sebaya dan juga keruntuhan institusi kekeluargaan.
PERANAN PENDAKWAH KEPADA REMAJA
Remaja merupakan aset paling bernilai bagi agama, bangsa dan negara. Mereka adalah tonggak utama yang menjadi tunjang kepada kemajuan sesebuah negara dan juga menjadi pewaris dakwah baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dalam menyebarkan dakwah Islamiah kepada manusia. Pemuda dan remaja pada hari ini perlulah dilengkap dan dipersiapkan ilmu agama yang luas bagi menjamin kualiti pemuda yang bakal mewarisi kepimpinan agama dan negara. Maka sudah menjadi tangunggjawab semua pihak dalam memastikan remaja yang kita miliki hari ini adalah mereka yang berada di landasan terbaik untuk masa depan agama, bangsa dan negara.
Pendakwah hari ini bukan sahaja perlu berdakwah kepada bukan Islam sahaja, malah golongan remaja pada hari ini juga perlu diberikan perhatian dalam kerja-kerja dakwah. Remaja pada hari ini banyak terdedah kepada gejala gejala sosial yang menyebabkan mereka terus alpa dibuai hiburan dunia. Sudah semestinya menjadi tugas para pendakwah dalam menyedarkan anak-anak muda pada hari ini betapa pentingnya mereka untuk masa depan agama dan negara. Namun, dalam meniti dakwah kepada remaja para pendakwah perlu sedar bahawa tidak mudah untuk remaja hari ini menerima dakwah yang disampaikan. Justeru itu, para pendakwah perlu menggunakan pendekatan yang terbaik bagi memastikan dakwah yang diberikan kepada golongan remaja dapat diterima dan diamalkan dengan sebaik mungkin.
Golongan remaja adalah bukan golongan yang boleh dipaksa atau digunakan cara kekerasan dalam apa juga yang ingin disampaikan. Pendakwah perlu berdakwah kepada remaja dengan penuh lemah lembut dan penuh kasih sayang. Aspek ini yang disebut sebagai dakwah dengan hikmah. Antara elemen dakwah kepada remaja yang boleh digunakan oleh pendakwah adalah elemen tarbiyah. Berteraskan kepada elemen tarbiyah ini, ia dapat dizahirkan dengan dua pendekatan, iaitu melalui menunjukkan suri teladan yang baik untuk ditunjukkan, dan dengan memberikan nasihat yang baik kepada golongan sasaran. Seterusnya, pendakwah juga boleh menggunakan pendekatan al- Atifi yang membawa maksud pendekatan yang sangat berkait rapat dengan emosi pada diri remaja. Sikap remaja pada hari ini banyak dipengaruhi oleh emosi mereka. Emosi seorang remaja bukanlah emosi yang stabil kerana mereka masih lagi mencari cari indentiti diri mereka yang sebenar. Pendekatan dakwah yang melibatkan perasaan jiwa boleh dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan yang telah digunakan oleh al-Quran agar dapat mengukuhkan lagi jati diri dan motivasi remaja.
Akhir sekali, antara pendekatan terbaik yang boleh digunakan oleh pendakwah dalam dakwah kepada remaja ialah pendekatan menggunakan akal remaja. Asasnya pendekatan ini bermaksud mengetahui hakikat sesuatu dengan cara memikirkan perkara-perkara tertentu. Pendekatan ini mengajak remaja untuk berfikir setiap perkara yang berlaku pada diri mereka dan juga disekeliling mereka dengan pandangan pandangan yang membesarkan kekuasaan-Nya. Pendekatan akal yang menjurus kepada pergerakan minda dan mendorong kepada proses berfikir, pemerhatian dan mengambil ikhtibar amat sesuai digunakan kepada remaja untuk proses dakwah kerana golongan ini mempunyai potensi berubah melalui potensi akal yang dimiliki mereka.
Kesimpulannya, remaja merupakan aset agama dan negara yang sangat bernilai dan perlu dijaga sebaiknya. Remaja adalah pewaris agama dan kepimpinan negara pada masa akan datang. Jika ingin lihat kemajuan agama dan negara pada masa akan datang, maka lihatlah kualiti remaja yang kita miliki pada hari ini. Sudah menjadi tanggugjawab pendakwah khususnya untuk mendekati para remaja dalam kerja kerja dakwah mereka. Remaja hari ini perlu bimbingan dan nasihat yang baik bagi memastikan mereka tidak terjerumus dalam perkara perkara yang mampu merosakkan diri mereka. Arus pemodenan yang semakin tinggi pada hari ini menyebabkan ramai remaja yang semakin jauh daripada pegangan prinsip agama. Maka kerja kerja dakwah dan tarbiyah kepada remaja ini perlu dikerahkan lagi pada masa masa mendatang.