SAHIHKAH TRADISI BUBUR ASYURA DI BULAN MUHARRAM
10 MUHARRAM dan Hari Asyura tidak dapat dipisahkan. Apabila tibanya bulan Muharram, masyarakat Melayu terutamanya warga desa yang berada di kampung-kampung pasti akan bergotong-royong memasak bubur Asyura bersama-sama. Bubur Asyura adalah sejenis makanan yang terdiri daripada pelbagai seribu satu campuran bahan beras, tepung, kekacang, lobak merah dan pelbagai ubi-ubian.
Penulis masih teringat akan kemeriahan yang amat dinantikan apabila tibanya hari untuk memasak bubur Asyura di kampung penulis. Satu nostalgia yang pasti tidak akan dilupakan. Waktu itu, tidak pernah terlintas di fikiran penulis sempena apakah dibuat jamuan bubur Asyura. Adakah ia satu amalan keagamaan atau sekadar hanya adat bangsa?
Menurut Bayan Linnas Siri Ke-39: 10 Muharram: Kelebihan & Faktanya, yang ditulis oleh Umar Mukhtar Mohd Noor menyatakan bahawa kisah ini ada disebutkan di dalam kitab semisal Kitab Nihayah al-Zain yang dikarang Syeikh Nawawi al-Bantani. Syeikh Al-Nawawi menukilkan bahawa apabila seusai sahaja kapal Nabi Nuh AS berlabuh di Bukit Juudiy setelah peristiwa banjir besar yang amat dasyat yang menimpa pada kaum Nabi Nuh AS pada hari ‘Asyura, Nabi Nuh AS berkata kepada umatnya:
“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S: “Masaklah sekaliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”.
Namun sejauh manakah kebenaran dan keabsahan akan perisitiwa yang dikaitkan dengan Nabi Nuh AS ini? Setelah diteliti oleh penulis, terdapat banyak laman-laman web yang berautoriti dan dipercayai mengatakan bahawa kisah-kisah seperti ini amat perlu kepada kajian yang lebih mendalam agar kesahihannya dapat dibuktikan dan terdapat juga sarjana-sarjana Islam yang menilai kisah ini sebagai palsu.
Namun demikian, tidaklah salah dan bukanlah bermaksud menghalang orang untuk memasak bubur Asyura tersebut pada bulan Muharram. Memasak pada bila-bila masa sahaja juga dibenarkan Syarak dan niatkanlah memasak bubur Asyura ini sebagai suatu sedekah kerana menjamu orang makan terutamanya kepada golongan-golongan yang kurang berkemampuan. “Tidak akan berkurang harta dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kemuliaan baginya”, (Riwayat Muslim).
Tambahan pula, memasak bubur Asyura ini memerlukan kerjasama yang erat kerana mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan dan mengagihkannya. Hal ini membolehkan orang kampung atau warga taman sekitar untuk saling bertanya khabar dan mengukuhkan ikatan silaturahim antara sesama masyarakat.
Tuntasnya, aktiviti memasak bubur Asyura ini masih boleh dilakukan dan patut diteruskan kepada generasi yang mendatang, akan tetapi janganlah menganggap aktiviti ini sebagai suatu kewajipan untuk dilakukan pada bulan Muharram apatah lagi jika ada yang menyandarkannya dengan Sunnah Rasulullah SAW. Berimanlah kita semua dengan Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka”, Riwayat al-Bukhari, 110.