SAMA TAPI BEZA !
Ramadan adalah bulan pesta Ibadah semua yang mengaku beriman kepada Allah SWT. Bahkan keindahan bulan ramadan ini hanya benar-benar akan dirasai didalam jiwa bagi mereka yang betul-betul memanfaatkan sebaik mungkin ruang dan peluang yang diberikan oleh Allah untuk bertemu dengan bulan mulia ini. Tahap perasaan itu
tidak sama, berdasarkan tidak samanya kadar ibadah antara kita. Semakin banyak amalan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan, semakin manislah keindahan ramdan yang dirasai oleh seseorang. Sebagaimana bezanya amalan setiap orang itu, begitu jugalah bezanya pahala yang diterima. Bahkan, meskipun satu ibadah yang sama tetapi dilakukan oleh dua individu yang berbeza, ganjaran pahala yang diterima boleh jadi tidak sama.
Bagaiman perbezaan ini berlaku? Maka disinilah dimana tahap keikhlasan, kekhusyukan, kepayahan yang dihadapi oleh seseorang itu diambil kira. Seseorang yang ikhlas beribadah akan mendapat lebih pahala berbanding mereka yang tiada keikhlasan. Seseorang yang beribadah dalam penuh cabaran, pastinya akan mendapat pahala yang lebih berbanding mereka yang beribadah dalam keadaan yang lapang. Sebagai contoh, orang yang berpuasa dalam keadaan dia bekerja dibawah terik matahari akan mendapat pahala yang lebih berbanding mereka yang berpuasa namun sekadar duduk di rumah. Begitulah juga perbezaanperbezaan yang lain. Allah Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNya.
Perkara ini juga ada dihuraikan oleh ulama usul seperti Imam Izzu al-Din bin Abd Al-Salam dalam kitabnya Qawaid Al-ahkam. Beliau menyatakan bahawa “perbezaan pahala dua amalan yang serupa itu bukanlah perbezaan pahala amalan itu
sendiri, sebaliknya tambahan pahala itu diperolehi disebabkan kesusahan yang ditanggung oleh seseorang itu”. Ini lah yang dikatakan bagaimana satu amalan yang sama dilakukan namun pahala yang diterima oleh setiap orang berbeza-beza. Dalam bab berpuasa ini, itulah perkara yang sama berlaku. walaupun dari segi puasa, tujuan sama. Juga syarat, rukun dan sunnah yang dilaksanakan itu sama. Namun, pahala itu berbeza bukan disebabkan perbezaan pahala puasa, tetapi perbezaan disebabkan oleh bebanan yang ditanggung oleh seseorang yang melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Maka, memandangkan kita sudah berjaya menempuh separuh daripada bulan Ramadan ini, marilah sama-sama kita kuatkan semangat, sentiasa ikhlaskan diri dalam beribadah kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita mampu menjadi hamba Allah yang beriman dan bertakwa.