SENYUM ITU SEDEKAH, SENYUM ITU MEMBAHAGIAKAN
تَبَسُّمُكَ فِى وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ
“Senyummu di depan saudaramu, adalah sedekah bagimu”, H.R. Tirmidzi, 1956.
Ramai sudah sedia maklum bahawa senyum itu merupakan sedekah. Pernahkah kita terfikir hanya dengan mengukir satu senyuman, ia mampu memberikan ketenangan serta kebahagiaan yang bukan sahaja untuk diri kita, tetapi juga untuk orang lain selain dapat menyalurkan aura yang positif. Jika kita mempunyai masalah, senyumlah agar kita tidak terlalu merasa terbeban dengan masalah yang terjadi di dalam hidup ini.
Senyum itu membahagiakan. Bahkan juga dengan senyuman kita akan menyenangkan hati orang lain. Bukankah patut kita sesama makhluk perlulah saling menghormati dan memudahkan beban orang lain? Inilah antara solusinya. Apabila seseorang memulakan harinya dengan senyuman, pasti hari itu akan dijalani dengan bahagia.
Sudah terang lagi bersuluh, perkara-perkara kebaikan yang dilakukan ini kesemuanya didapati dalam diri pesuruh Allah, Rasulullah saw. Benarlah akhlak Nabi Muhammad saw adalah akhlak Al-Quran. Begitu indah sosok tubuh seorang manusia yang bernama Muhammad ini, Rasulullah saw. Sebagaimana yang disebutkan oleh sahabat yang mulia, Jarir bin Abdullah r.a, “Rasulullah saw tidak pernah melarangku untuk menemui beliau sejak aku masuk Islam, dan beliau saw tidak pernah memandangku kecuali dalam keadaan tersenyum di hadapanku”, al-Bukhari, 5739.
Di samping itu, senyuman sudah pasti dapat mengeratkan sillaturarahim. Ketahuilah bahawasanya orang yang tidak murah dengan senyuman, akan dijauhi oleh orang lain. Murah dengan senyuman, sudah pasti dikelilingi orang yang baik. Persis sabda Rasulullah saw, “Barang siapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi”, HR. Muslim, 2318.
Tuntasnya, marilah kita menjadi seorang hamba Allah swt yang tidak memandang remeh akan salah satu perkara sunnah Rasulullah saw ini. Zahirkan bukti kecintaan kita terhadap Rasulullah saw secara praktikal. MasyaAllah, betapa syumulnya dan indahnya agama Islam ini yang mengambil berat akan sekecil-kecil perkara seperti senyum yang mempunyai seribu satu kebaikannya. Semoga Allah swt sentiasa merahmati kita semua dan hiduplah di atas muka bumi Allah swt ini kerana hanya semata-mata untuk mengejar redhaNya.