ALHAMDULILLAH, KAMI DAPAT BELAJAR AL-QURAN
“Sesungguhnya Kami-Lah Yang Menurunkan Al-Qur’an, Dan Kamilah Yang Memelihara Dan Menjaganya.”
(Al-Hijr: 15:9)
Al-Quran atau dikenali sebagai Furqan atau Kalamullah (kata-kata Allah) adalah wahyu yang diturunkan dari langit oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibril A’s. Sejarah penurunannya selama 23 tahun secara beransur-ansur telah memberi kesan yang sangat besar dalam kehidupan seluruh manusia. Di dalamnya terkandung pelbagai ilmu, hikmah dan pengajaran yang tersurat mahupun tersirat. Sebagai umat islam, kita haruslah berpegang kepada Al-Qur’an dengan membaca, memahami dan mengamalkan serta menyebar luas ajarannya. Bagi mereka mencintai dan mendalaminya, akan mengambil iktibar serta pengajaran, lalu menjadikan sebagai panduan dalam meniti dunia menuju akhirat yang kekal abadi.
Berteraskan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”
Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)
Hadis diatas merupakan teras yang dipegang oleh Ustazustazah.com dalam merencanakan program dan aktiviti-aktiviti. Biar sedikit, tetapi memberi manfaat dan impak kepada invididu, komuniti dan masyarakat setempat. Program Nadi Al-Quran merupakan sebuah program yang menubuhkan sebuah pusat pengajian Al-Quran secara percuma. Pusat pengajian ini juga menerap dan menekankan aspek akhlak dan asas fardhu ain.
Pusat pengajian Nadi Al-Quran pertama dibuka di Kg Bahagia, Batu Sapi, Sandakan Sabah iaitu sebuah perkampungan atas air yang pertama Ustazustazah.com jejaki. Semangat dan keinginan mahu belajar mengaji yang tinggi dalam kalangan anak-anak disini yang menjejak ribuan orang membuatkan tercetus dan wujudnya Nadi Al-Quran di Sabah. Anak-anak bukan sahaja diajar mengaji bahkan, menitikberatkan soal solat, wuduk dan doa-doa harian.
Menurut perkongsian Ustaz Akmarul yang merupakan tenaga pengajar di sana, impak yang diberi kepada anak-anak ini sehingga mereka sendiri mengajak ibu bapa mereka membaca doa sebelum makan, tidur dan mempraktikkan apa yang telah dipelajari dipusat pengajian tersebut. Ini merupakan satu contoh baik yang membuktikan pusat pengajian ini bukan sekadar mengaji. Ianya memberi nilai yang lebih dalam diri anak-anak ini. Peluang yang dibuka dan diberi buat mereka sangat dihargai dan dimanfaatkan sebaiknya. Lokasi sekolah yang jauh, bilangan kanak-kanak yang ramai serta status kewarganegaraan menyebabkan ramai dalam kalangan anak-anak ini ketinggalan dalam pelajaran terutamanya pengajian Al-Quran.
Rentetan itu, Ustazustazah.com hadir dan bawakan ‘sekolah’ buat mereka. Membuka ruang dan peluang buat mereka untuk menuntut ilmu. Kerana anak-anak inilah penyambung legasi akan datang. Pemuda yang bakal bangkit dan mempertahankan agama. Pusat pengajian ini merupakan permulaan jati diri mereka disamping menjadi insan yang soleh solehah serta berguna buat keluarga, masyarakat, bangsa dan agama.
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Tiada ucapan yang lebih bernilai dari mengucapkan kesyukuran kepada Allah yang memberi kudrat, peluang dan rezeki buat kita semua untuk bersama-sama menjayakan program ini. Bermanfaat buat anak-anak, bekalan dan saham akhirat buat kita semua.
Terima kasih Ya Allah.