SIAPAKAH CONTOH IKUTAN TERBAIK?
RAMAI dalam kalangan umat Islam pada hari ini terkapai-kapai dalam arus akhir zaman. Umat dikaburkan dengan pelbagai kelalaian serta budaya-budaya hedonisme yang merosakkan. Pandangan mereka ditutup daripada memandang kebenaran dan dialihkan supaya terus hanyut berhibur dengan dunia.
Bagi umat Islam yang bersih mata hatinya, terus tekun mengikuti jalan Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- dan sentiasa menjadikan Baginda sebagai contoh ikutan terbaik bagi mengharungi dunia ini dengan selamat menuju akhirat.
Dalam Surah al-Ahzab ayat ke 21, Allah -سبحانه وتعالى- berfirman :
﴿ لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا٢١ ﴾ [الأحزاب: 21]
Maksudnya : «Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)(21)»
Ayat 21 surah al-Ahzab ini sekiranya dilihat dalam Kitab Tafsir al-Munir, ianya termasuk dalam kumpulan ayat yang menceritakan berkenaan dengan peperangan Ahzab atau Khandaq, dan Bani Quraizah.[1]
Imam Ibnu Katsir turut menyatakan dalam tafsirnya, Allah -سبحانه وتعالى- mengingatkan orang-orang yang tergoncang jiwanya, gelisah, gusar serta bimbang ketika menghadapi peristiwa Ahzab agar mengambil contoh teladan seperti yang ditunjukkan oleh Nabi -صلى الله عليه وسلم-.
Berkenaan ayat ini, Tafsir fi Zilal turut menyatakan; meskipun para sahabat Baginda -صلى الله عليه وسلم- berada dalam suasana yang sangat mencemaskan, susah, letih dan lesu, namun Rasulullah tetap menjadi sumber keamanan, keyakinan, harapan dan ketenangan kepada kaum Muslimin.[2]
Mengkaji sikap Rasulullah dalam menghadapi peperangan Ahzab yang mencabar ini sepatutnya dijadikan sebagai pedoman bagi setiap pemimpin. Baginda menjadi contoh teladan yang baik kepada mereka yang mengharapkan keredaan Allah dan balasan yang baik pada hari akhirat, dan Baginda juga menjadi tauladan kepada mereka yang mencari contoh yang baik dan mengingati Allah tanpa melupakannya.
Ayat ini merupakan satu perintah daripada Allah -سبحانه وتعالى- supaya mencontohi, meniru dan meneladani Nabi Muhammad -صلى الله عليه وسلم- ketika peristiwa perang al-Ahzab dan yang lainnya dalam ucapan, perbuatan, tingkah laku, dan hal ehwal Baginda dalam kesabaran, ketabahan, ketegaran, keberanian, kesungguhan, dan perjuangan Baginda serta dalam sikap optimis menanti pertolongan daripada Allah -سبحانه وتعالى-.[3]
[1] Wahbah az-Zuhaili. 2005. Tafsir al-Munir Aqidah syari’ah Manhaj. Terj: Abdul Hayyie al-Kattani dkk. Jakarta : Gema Insani. 11/275
[2] Sayyid Qutb. t.th. Tafsir Fi Zilalil Quran. t.tp : t.pt. 21/31
[3] [3] Wahbah az-Zuhaili. 2005. Tafsir al-Munir Aqidah syari’ah Manhaj. Terj: Abdul Hayyie al-Kattani dkk. Jakarta : Gema Insani. 11/295