SUNNAH-SUNNAH BERKAITAN AZAN
Azan merupakan seruan yang sering kita dengari sama ada secara langsung daripada pembesar suara Masjid ataupun melalui media massa seperti radio, televisyen dan sebagainya. Azan merupakan seruan buat seluruh umat Islam bagi menandakan telah masuk waktu solat. Berdasarkan sejarah, Azan telah mula disyariatkan pada tahun pertama hijrah. Ketika orang Islam sampai ke Madinah mereka berkumpul menantikan waktu solat. Maka ketika itu, baginda sallallahu alaihi wasallam melihat masih belum ada kaedah yang terbaik untuk memanggil umat Islam berkumpul bagi menunaikan solat berjemaah. Maka Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengumpulkan paraa sahabat untuk bermusyawarah bagi menentukan kaedah untuk memanggil kaum muslimin untuk solat.
Ketika para sahabat telah berkumpul untuk bermusyawarah bersama baginda sallallahu alaihi wasallam, lantas baginda terus meminta cadangan daripada para sahabat bagaimana cara terbaik untuk mengumpulkan umat Islam ketika waktu solat. Pelbagai cadangan diberikan antaranya ada sahabat yang mencadangkan untuk mengibarkan bendera apabila masuk waktu. Sesiapa yang melihat bendera tersebut perlu memberitahu kepada umum. Ada sahabat yang mencadang akan ditiupkan trompet, namun baginda menolak kerana ianya adalah perbuatan orang rom. Ada sahabat yang mencadangkan dinyalakan api namun baginda sallallahu alaihi wasallam menolaknya kerana menyamai orang majusi. Ada juga yang mencadangkan agar dibunyikan loceng namun ditolak kerana ianya perbuatan orang Nasrani. Akhir sekali Umar Al-Khattab mencadangkan agar dilantik seseorang untuk menjadi penyaampai kepada kaum muslimin telah masuk waktu solat. Asalnya cadangan ini yang diterima oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.
Namun, terdapat seorang sahabat bernama Abdullah bin Zaid yang benar-benar khawatir memikirkan bagaimana kaedah terbaik untuk memaklumkan waktu solat. Sehinggakan beliau bermimpi seperti dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud:
“Ketika Nabi SAW meminta loceng supaya orang boleh memukulnya bagi menghimpunkan (orang ramai) untuk solat, tiba-tiba saya teringat ketika sedang tidur, seorang lelaki mengelilingi saya (dalam mimpi) dengan memegang loceng di tangannya. Lalu saya berkata: “Wahai hamba Allah, adakah kamu mahu menjual loceng tersebut? Katanya: “Apakah kamu hendak lakukan?” Saya menjawab: “Untuk menyeru orang ramai supaya menunaikan solat.” Dia berkata kembali: “Apakah kamu mahu jika aku tunjukkan cara yang lebih baik?” Saya jawab: “Sudah tentu.” Katanya: “Sebutkanlah ‘: اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ’……. (sehingga akhir azan).
Tidak lama selepas itu, dia berkata lagi: “Ketika kamu berdiri untuk mengerjakan solat, sebutkan ‘، اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ’ …. (hingga akhir iqamat).” (Riwayat Abu Daud)
Setelah daripada mimpi tersebut Abdullah bin Zaid terus berjumpa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan menceritakannya. Lalu Baginda sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:
“ Dengan izin Allah, ia adalah mimpi yang benar. Berdirilah bersama bilal dan sampaikan kepadanya apa yang kamu lihat supaya dia boleh melaungkan azan kerana suaranya lebih baik daripada kamu. Lalu saya bangun bersama Bilal dan menyampaikan kepadanya. Lantas dia pun melaungkan azan. Umar al-Khattab yang berada di rumahnya mendengar laungan azan tersebut, lalu keluar sambil menarik jubahnya. Katanya: “Demi Tuhan yang mengutus engkau dengan kebenaran wahai Rasulullah, saya juga melihat seperti apa yang dilihatnya (Abdullah). Baginda menjawab: “Segala puji bagi Allah.” (Riwayat Abu Daud)
Antara sunnah-sunnah yang boleh diamalkan berkaitang dengan azan ialah menjawan azan sepertimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tarmizi, Nasaie dan Ibnu Majjah yang bermaksud: “ Jika kamu mendengar suara azan, jawablah seperti yang dikehendaki oleh muazzin”. Selain itu, sunnah yang boleh dilakukan berkaitan azan ialah berselawat kepada Nabi dan meminta wasilah untuk baginda seperti dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Amru bin As, beliau mendengar Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:
“ Jika kamu mendengar azan, tirulah sebagaimana yang diucapkan, kemudian berselawatlah kamu untukku, kerana sesiapa sahaja yang berselawat untukku sekali, Allah membalasnya dengan 10 kali selawat. Kemudian mintalah wasilah untukku, kerana ianya adalah kedudukanku di syurga, yang tidak layak selain bagi hamba Allah, dan aku mengharap menjadi pemiliknya; maka barang siapa meminta wasilah bagiku, ia peroleh syafaatku” (Riwayat Muslim, Abud Daud, Tirmizi dan An-Nasaie)
Sunnah yang lain yang boleh dilakukan ialah berdoa selepas azan sepertimana dalam sebuah hadis daripada Jabir bin Abdullah, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda, “Sesiapa yang mendengar azan hendaklah mengucapkan
اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلاَةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ،
Maka dia akan peroleh syafaatku pada hari kiamat. (Riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmizi, Nasaie dan Ibnu Majjah)