SYAABAN: BULAN AGUNG, BULAN KEMAAFAN
Bulan Syaaban, bulan agung, bulan kemaafan. Merupakan antara bulan yang terdapat dalam syarak Islam. Baginda Rasulullah SAW juga sering meraikan kedatangan bulan Syaaban ini dengan memperbanyakkan ibadah pada bulan yang mulia ini.
Antara amalan ibadah yang sering dilaksanakan Rasulullah SAW ketika dalam bulan Syaaban ialah baginda sering berpuasa apabila berada dalam bulan ini. “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat tuan banyak berpuasa dalam sebulan seperti tuan berpuasa di dalam bulan Syaaban. Dijawab oleh Nabi SAW: Bulan Syaaban itulah satu bulan yang sering diambil sambil lewa oleh kebanyakan manusia yang diapit oleh bulan Rejab dan Ramadan. Dia juga adalah bulan yang diangkat di dalamnya segala amalan ke hadrat Tuhan sekalian alam. Maka aku sangat suka jika diangkat amalan ku di dalam keadaan aku sedang berpuasa”, Sunan al Nasa’i, 2317.
Sudah terang lagi bersuluh, intipati hadis ini menyatakan bahawa Nabi SAW lebih gemar amalannya diangkat ketika baginda SAW dalam keadaan sedang berpuasa sepertimana Hadis baginda SAW bersabda, maksudnya: “Amalan tahunan diangkat pada bulan Sya’ban sebagaimana dikhabarkan oleh Baginda SAW dan amalan mingguan pula diangkat pada hari Isnin dan Khamis”, Sunan Abu Daud, 313. Maka adalah lebih baik kita mengakhiri laporan amalan tahunan dan mingguan kita dengan melakukan ibadah dan sentiasa memohon keampunan kepada Allah SWT.
Antara galakkan lain agar kita memperbanyakkan ibadah puasa di bulan Syaaban ialah berdasarkan hadith, “Nabi SAW tidak pernah berpuasa pada suatu bulan yang lebih banyak dari bulan Sya’ban. Beliau berpuasa pada bulan Sya’ban seluruhnya”, Riwayat al-Bukhari, 1834. Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa Rasulullah SAW hanya berpuasa sebahagian besar dari bulan Sya’ban dan tidak pernah berpuasa untuk keseluruhan bulan Sya’ban.
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani menukilkan perkataan Imam Ibn al-Mubarak: “Menurut konteks bahasa Arab, apabila seseorang berpuasa pada sebahagian besar dari sesuatu bulan maka boleh dikatakan dia berpuasa sebulan penuh. Dikatakan si fulan solat sepanjang malam padahal ada kemungkinan dia sibuk dengan urusan lain.
Selain itu, apabila membicarakan mengenai bulan Syaaban, maka kita akan bercakap mengenai betapa Allah Yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang yang sentiasa bersedia untuk memaafkan hamba-hambaNya terutamanya yang sentiasa mengambil kesempatan untuk bermaaf-maafan dengan keluarga, sahabat dan kenalan.
Sepertimana yang dinilai sahih oleh Al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah,“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)”.
Dinukilkan bahawa Sahabat Nabi SAW, ‘Ulbah bin Zaid bin Harithah, tatkala tidak mempunyai apa-apa untuk disedekahkan kerana terlalu miskin tatkala Nabi SAW menggalakkan para sahabat menginfaqkan harta semampu yang ada, beliau mengatakan: “Aku hanya mampu bersedekah dengan maruahku bermaksud beliau memaafkan semua kesalahan orang lain terhadapnya dan menggugurkan haknya terhadap orang itu”, Rasulullah SAW bersabda: Sedeqah kamu telah diterima”.
Di samping itu juga, fadhilat bulan Syaaban ialah doa yang dipanjatkan oleh hambaNya pasti akan dimakbulkan Allah SWT. Sememangnya seseorang hamba itu pasti tercari-cari bilakah waktu yang mustajab untuk berdoa. Hal ini demikian kerana, kita mahukan apa yang kita mohon itu dimakbulkan Allah SWT. Namun, haruslah kita mengingat bahawa doa-doa yang dipohon pasti akan dikabulkan olehNya tetapi mengikut rupa dan kehendakNya, bila, bagaimana dan dalam bentuk apakah Dia akan memakbulkan doa-doa hambaNya.
Sepertimana yang telah disabdakan oleh baginda SAW, “Telah sampai kepada kami bahawasanya selalu dikatakan bahawa permohonan akan dikabulkan dalam lima malam, yaitu malam Jumaat, malam hari raya Idul Adha, malam hari raya Idul Fitri, awal malam di bulan Rejab dan malam Nisfu Sya’ban”, al-Umm, 1/231. Maka, yakinlah dengan janji Allah SWT yang pasti akan memakbulkan doa hamba-hambaNya.
Tuntasnya, kita dituntut untuk berpuasa di bulan Syaaban sebagai persediaan menghadapi bulan Ramadan. Namun demikian, janganlah kita beramal hanya semata pada hari atau malam tertentu sahaja kecuali terdapatnya nas sahih yang menyokongnya. Seharusnya, kita perlulah sentiasa berkeinginan untuk menjadi hambaNya yang lebih baik sehari-hari.
Akhir kata, semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada kita untuk beramal mengikut neraca syariat yang sebenarnya. Marilah kita bermuhasabah sebelum kedatangan Ramadan demi mencapai mardhatillahNya.