TADABBUR KALAMULLAH : KISAH PEMILIK DUA KEBUN (2)
Seperti yang dinyatakan dalam ayat sebelum ini, Allah SWT menceritakan kepada kita dalam Surah al-Kahfi berkenaan kisah lelaki pemilik dua kebun anggur yang sangat subur dan indah, serta dia diberikan kekayaan melimpah ruah oleh Allah SWT. Lelaki tersebut berbangga-bangga dengan kekayaan serta pengaruhnya yang ada. Dia mengejek rakannya yang faqir dan dia juga melupakan Allah SWT serta lupa untuk mensyukuri setiap nikmat pemberian Allah SWT kepadanya. Dia menyangka bahawa kebun-kebunnya yang berbuah lebat itu tidak akan musnah buat selamanya. Firman Allah SWT :
وَدَخَلَ جَنَّتَهُ وَهُوَ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ قَالَ مَا أَظُنُّ أَنْ تَبِيدَ هَذِهِ أَبَدًا٣٥
Maksudnya : «Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: “Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya(35)»
Selain itu, pemilik kebun itu juga mengingkari hari kiamat, dan mengandaikan sekiranya kiamat itu berlaku, tentulah dia akan mendapat kedudukan yang baik pada hari akhirat sebagaimana didunia dia mempunyai kebun-kebun, dan sudah tentu kedudukannya itu akan dipandang tinggi juga pada hari akhirat.[1] Firman Allah SWT :
وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِنْ رُدِدْتُ إِلَى رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِنْهَا مُنْقَلَبًا٣٦
Maksudnya : «Dan aku tidak fikir, hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini(36)»
Rakannya yang beriman kemudiannya memberikan peringatan dan nasihat untuk mengembalikan temannya kepada kebenaran[2], serta mengecam kekafiran dan kesombongan rakannya. Lelaki yang beriman itu memberi nasihat dengan katanya sepertimana ayat berikut :
قَالَ لَهُ صَاحِبُهُ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَكَفَرْتَ بِالَّذِي خَلَقَكَ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ سَوَّاكَ رَجُلًا٣٧
Maksudnya : «berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia berbincang dengannya: “Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?(37)»
Perkataan yang diucapkan oleh lelaki yang beriman, iaitu seperti firman Allah SWT : (أَكَفَرْتَ بِالَّذِي خَلَقَكَ مِنْ تُرَابٍ) “Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah,” menggambarkan penolakan terhadap rakannya yang kufur sekaligus sebagai pengagungan terhadap Allah SWT. Pemilik kebun yang kafir itu mengingkari Tuhannya yang telah menciptakan dirinya daripada setitis air yang hina (jijik). Rakannya yang beriman kemudian menyatakan, seperti firman Allah SWT :
﴿لَكِنَّا هُوَ اللَّهُ رَبِّي وَلَا أُشْرِكُ بِرَبِّي أَحَدًا٣٨ وَلَوْلَا إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ إِنْ تَرَنِ أَنَا أَقَلَّ مِنْكَ مَالًا وَوَلَدًا٣٩﴾ [الكهف: 38-39]
Maksudnya : «Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku(38) Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu(39)»
Lelaki yang beriman kepada Allah tetap teguh meyakini dan mengakui ke Esaan Allah SWT, dan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain meskipun dia diuji dengan kesempitan hidup. Ayat ke 39 adalah dorongan dan anjuran kepada temannya untuk mengucapkan perkataan memuji Allah, iaitu jika kerana kebun itu membuatmu merasa bangga ketika kamu memasukinya dan melihatnya, maka panjatkanlah pujian kepada Allah atas nikmat yang telah dikurniakan Nya kepadamu dan Dia telah memberimu harta kekayaan dan juga keturunan yang tidak diberikan kepada selainmu. Dan hendaknya kamu mengucapkan “Ma sya Allah, La Quwwata illa Billah”.
Lelaki yang teguh keimanannya kepada Allah tadi tetap yakin dan redha dengan rahmat Allah kepadanya. Dia mengharapkan kurniaan yang lebih baik daripada apa yang Allah berikan kepada rakannya yang kufur. Firman Allah SWT :
﴿فَعَسَى رَبِّي أَنْ يُؤْتِيَنِ خَيْرًا مِنْ جَنَّتِكَ وَيُرْسِلَ عَلَيْهَا حُسْبَانًا مِنَ السَّمَاءِ فَتُصْبِحَ صَعِيدًا زَلَقًا٤٠ أَوْ يُصْبِحَ مَاؤُهَا غَوْرًا فَلَنْ تَسْتَطِيعَ لَهُ طَلَبًا٤١﴾ [الكهف: 40-41]
Maksudnya : «Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus(40) Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi”(41)»
Ayat ini menggambarkan sifat seorang yang beriman kepada Allah SWT. Dalam berhadapan dengan pangkat kebesaran dan harta kekayaan, tidak menjadikannya mudah tunduk kepada kesenangan yang sementara. Lelaki yang beriman tersebut memandang limpah kurnia disisi Allah SWT itu adalah lebih baik daripada segala kesenangan hidup didunia dan memandang kemurkaan Allah itu amat dahsyat serta lambat laun akan menimpa ke atas orang-orang yang lalai dan juga orang yang angkuh.
PENGAJARAN :
- Kisah ini merupakan suatu contoh yang berlaku, dan peringatan daripada al-Quran berkenaan bahaya fitnah harta yang boleh menyebabkan manusia menjadi angkuh dan melupakan Tuhannya. Harta dan hasil ladang melimpah ruah yang dikurniakan kepada pemilik kebun itu menjadikannya angkuh dan sombong terhadap rakannya yang beriman.
- Ayat ini merupakan satu anjuran kepada umat Islam agar menyerahkan segala perasaan takjub kepada Allah SWT. Sebahagian daripada ulama salaf menyatakan, bahawa barangsiapa yang merasa bangga atas keadaan, kekayaan mahupun keturunannya sendiri, maka hendaklah dia mengucapkan “Ma Sya Allah, La Quwwata illa Billah”. Kalimat ini diambil daripada ayat ke 39 Surah al-Kahfi. Dalam hadis sahih terdapat satu hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-‘Asy’ari, bahawa Rasulullah ` pernah bersabda kepadanya :
( أَلا أَدُلُّكَ عَلَى كَثرِ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ؟ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ )
Maksudnya : “Mahukah kamu aku tunjukkan salah satu daripada beberapa perbendaharaan syurga? Iaitu kalimat, Laa haula walaa quwwata illaa billaah (tiada daya dan tiada upaya melainkan hanya dengan (pertolongan) Allah).”[3]
[1] Yusof Zaki. T.th. Terj Tafsir Fi Zilal al-Quran. t.tp : t.pt. https://tafsirzilal.files.wordpress.com/2015/04/al-kahfi-melayu.pdf
[2] Sekumpulan Ulama Tafsir dan Ulum al-Quran. 2010. Al-Tafsir al-Maudhu’I li Suwar al-Quran al-Karim. UAE : University Of Syarjah. 338
[3] Tafsir Ibnu Katsir. 2003. Tah : Dr Abdullah bin Muhammad bin Abdurahman bin Ishaq al-Sheikh. Bogor : Pustaka Imam al-Syafi’i. 5/260