MASYA-ALLAH, TANDA AL-QURAN MELANGKAUI ZAMAN
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (Al-Quran), dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”, Surah al-Hijr: 9. Sejak Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW kemudian ke para sahabat dan zaman sesudah Baginda SAW, ia tetap terpelihara sehingga kini. Ia terpelihara dengan begitu rapi baik daripada segi tulisannya mahupun keabsahan barisnya.
Pada peringkat awalnya, ayat Al-Quran ditulis pada pelepah-pelepah pokok tamar, batu, dan juga pada kulit binatang kemudian apabila zaman sudah berlalu, dijadikan pula dalam bentuk mushaf seterusnya sehinggalah kini, Al-Quran dihasilkan dalam bentuk percetakan setelah perkembangan teknologi yang pesat berlaku.
Meskipun dikemaskini dalam berbagai bentuk mengikut arus zaman, namun dapat kita lihat penjagaan Al-Quran tetap akan dijaga demi semata-mata memastikan lebih ramai umat manusia yang membaca serta mendalami Al-Quran AL-Karim.
- DUA AIR LAUT BERTEMU TETAPI TIDAK BERCANTUM.
“Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu, Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya”, Ar-Rahman: 19-20.
Antara tanda-tanda Al-Quran itu benar-benar diwahyukan Allah SWT yang melangkaui zaman adalah kerana ia menceritakan akan peristiwa dan kejadian yang bakal terjadi pada ribuan tahun ke hadapannya yang tidak mampu difikir logik oleh pengetahuan manusia.
Allah SWT melepaskan dua air yang berbeza ketumpatannya iaitu air masin dan air tawar yang bertemu antara keduanya tetapi ia langsung tidak bercampur mahupun tidak menjadi satu. Air masin itu tidak akan pernah masuk ke dalam air tawar yang boleh merosakkan rasanya, dan begitu jugalah sebaliknya. Seolah-olah terdapat garis tembok yang memisahkan antara keduanya agar tidak berubah warna dan rasa.
2. MAKIN DIDAKI BUKIT, MAKIN DADA TERASA SEMPIT.
“Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman”, Surah Al-An’am: 125.
Satu fenomena saintifik yang menarik telah dikaji pada zaman moden kini dengan menggunakan ayat ini sebagai rujukan. Hasil ditemukan, yang mana jika seseorang sedang mendaki bukit, pasti sukar buatnya untuk bernafas dek kerana dada akan menjadi sesak dan sempit seolah ditekan-tekan. Hal ini terjadi adalah kerana kekurangan oksigen yang disebabkan oleh tekanan udara yang semakin nipisdan berkurang apabila berada di puncak gunung yang tinggi.
Jika dikatakan Al-Quran ini ditulis oleh Rasulullah SAW seperti mana dakwaan daripada mulut-mulut jahat, bagaimana pula boleh Baginda SAW mengetahui akan fenomena ini? Sedangkan umum kita mengetahui bahawa Rasulullah SAW hanya pernah mendaiki bukit untuk sampai ke Gua Thur dan Gua Hira’ sahaja. Maka, ini adalah tidak lain dan tidak bukan datangnya daripada kuasa pemerintahan Allah SWT yang Maha Bijaksana Maha Teratur.
3. KULIT TERBAKAR TIADA DERIA RASA
“Sesungguhnya orang-orang yang ingkar kepada ayat-ayat Kami nescaya Kami masukkan mereka (ke dalam) api neraka, setiap kali terbakar kulit-kulit mereka Kami ganti mereka (dengan) kulit-kulit lainnya supaya mereka (terus-menerus) merasakan seksaan, sesungguhnya Allah adalah Maha Perkasa, Maha Bijaksana”, An-Nisaa’: 56.
Seorang Saintis dari Thailand iaitu Professor Tejatat Tejasen yang merupakan Pengerusi Jabatan Anatomi di Universiti Chiang Mai Thailand telah memeluk agama Islam setelah mengkaji fenomena akan kulit yang terdapat dalam Al-Quran ini. Subhanallah!
Beliau menemukan daripada hasil kajiannya bahawa jika kulit terbakar dengan sangat teruk, pasti kulit seseorang itu akan hilang deria rasa sakitnya kerana tisu khusus yang peka terhadap rangsangan deria itu sudah gagal menjalankan fungsinya.
Oleh kerana itulah, Allah SWT Maha Mengetahui akan menggantikan kulit penghuni neraka yang hangus terbakar dijilat api dengan kulit badan yang baharu untuk dibakar agar mereka terus-menerus berada dalam kesakitan yang amat dahsyat. Namun, sedikit pun tidak akan mematikan mereka bahkan sentiasa akan hidup di dalam Neraka Jahannam buat selama-lamanya.
MasyaAllah, sungguh menakjubkan kisah-kisah yang diturunkan dalam Al-Quran ini kerana ia merupakan Kalamullah, “Kata-Kata Allah SWT” dan bukannya rekaan mahupun hasil ciptaan Rasulullah SAW sendiri seperti yang didakwa. Semoga dengan hasil kajian saintifik seperti ini yang bertepatan dengan Kitab suci Al-Quran akan menjadikan kita, umat Islam yang lebih beriman dan bertakwa kepadaNya.