ZULQARNAIN DALAM SURAH AL-KAHFI.
Surah al-Kahfi merupakan satu surah yang sarat dengan pengajaran, dan ianya dinyatakan secara jelas oleh Nabi -صلى الله عليه وسلم- sebagai surah yang mampu menjadi benteng daripada fitnah dajjal. Saiyiduna Abu Darda’ -رضي الله عنه- ada meriwayatkan bahawa Nabi -صلى الله عليه وسلم- bersabda:
مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ
Maksudnya: Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal. (HR Muslim : 809)[1]
Menurut syarahan hadis yang terdapat dalam Kitab Fathul Mun’im, al-takrif dalam kalimah (الدَّجَّالِ) dinyatakan sebagai lil ‘ahdi yang membawa maksud dajjal yang akan keluar pada akhir zaman. Ianya juga dinyatakan sebagai lil jinsi yang merangkumi semua jenis dajjal, kerana dajjal dikenali sebagai yang banyak menipu dan yang menampakkan kebatilan dalam rupa kebenaran .[2]
Allah -سبحانه وتعالى- menghidangkan kepada kita mutiara pengajaran daripada Surah al-Kahfi melalui pelbagai kisah didalamnya. Antaranya adalah kisah Zulqarnain. Beliau disifatkan sebagai pemimpin yang berjaya, pemerintah yang adil, sultan yang gagah, hamba yang bersyukur, dan memenuhi dunia dengan keadilan dan cahaya.
Kisah Zulqarnain diceritakan melalui firman Allah -سبحانه وتعالى- dalam ayat ke 83 hingga 98 Surah al-Kahfi. Jika dalam ayat sebelumnya menceritakan kisah pengembaraan Nabi Musa -عليه السلام- untuk mencari ilmu yang bermanfaat, dan perjalanan Nabi Khidir atas perintah Allah untuk memperbaiki dan melakukan perubahan, dalam kisah Zulqarnain pula beliau dinyatakan sebagai seorang raja yang mengelilingi dunia bersama tenteranya untuk menebarkan keadilan, menyampaikan dakwah kepada kebenaran, membetulkan kefahaman, menegakkan keadilan, menerapkan nilai yang tulen, dan akhlak yang baik.[3]
Dalam riwayat hidup Zulqarnain yang diceritakan oleh al-Quran, Allah -سبحانه وتعالى- telah menunjukkan contoh yang hebat, serta teladan yang realistik bagi seorang pemimpin yang cerdas, bijaksana, dan sang penakluk yang diberikan kekuasaan memerintah di bumi.
Zulqarnain dinyatakan telah sampai ke timur dan barat dunia, namun beliau tidak menjadi angkuh mahupun bongkak, tidak menindas, serta tidak sombong. Beliau juga tidak menjadikan penaklukan-penaklukannya sebagai cara mendapatkan kekayaan, ataupun sebagai jalan menguasai mana-mana individu dan memeras mana-mana bangsa. Selain itu, beliau tidak melayan negara-negara yang ditakluk sebagai hamba, bahkan pengembaraannya merupakan jalan untuk beliau menyebarkan keadilan dimana sahaja tempat yang dilaluinya.
[1] Muslim bin al-Hajjaj Abu al-Hasan al-Qusyairi al-Naisaburi. T.th. Al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar bi Naqli al-Adl ‘an al-Adl ila Rasulillah sallallahu alaihi wasallam (Sahih Muslim). Tah : Muhammad Fuad Abd Baqi. Beirut : Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. 1/555
[2] Musa Syahin Lasyin. 1423H/2002M. Fathul Mun’im Syarh Sahih Muslim. Cet 1. Kaherah : Dar al-Syuruq. 3/622
[3] Sekumpulan Ulama Tafsir & Ulum al-Quran. 2010. .Al-Tafsir al-Maudu’I li Suwar al-Quran al-Karim. UAE : University Of Sharjah. 382