KEDUDUKAN IMAM DAN MAKMUM KETIKA SOLAT
SAYA KELIRU DENGAN KEDUDUKAN IMAM DAN MAKMUM KETIKA SOLAT DI RUMAH, BOLEH USTAZ JELASKAN?
SUSUNAN SAF MENGIKUT KEUTAMAAN
- Imam
- Makmum Lelaki Dewasa
- Kanak-kanak Lelaki
- Perempuan Dewasa
- Kanak-kanak Perempuan
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda :
خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا، وَشَرُّهَا آخِرُهَا، وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا، وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا
Maksudnya:“Sebaik-baiknya barisan saf lelaki-lelaki adalah awalnya dan seburuk-buruknya adalah yang terakhir. Sebaik-baik barisan saf perempuan adalah di akhir dan seburuk-buruknya adalah diawalnya.
(HR Muslim, hadis sahih)
Di dalam hadis ini, ia menjelaskan bahawa kedudukan yang paling baik untuk lelaki ketika solat jemaah adalah di saf hadapan dan yang paling buruk adalah pada saf terakhir. Bagi wanita pula, saf terbaik bagi mereka adalah yang terakhir jika tiada tabir pembatas antara mereka dengan bahagian solat lelaki bagi mengelakkan fitnah. Namun jika terdapat tabir pembatas antara saf lelaki dan wanita, maka saf terbaik bagi wanita adalah saf pertama seperti saf lelaki kerana tabir pembatas itu dapat menghilangkan kekhuatiran terjadinya fitnah.
KEDUDUKAN IMAM DAN MAKMUM LELAKI
- Sekiranya hanya SEORANG makmum lelaki, makmum perlulah berdiri di SEBELAH KANAN dan ke BELAKANG SEDIKIT dari kedudukan imam.
- Sekiranya ada makmum yang baru datang, maka perlulah berdiri di SEBELAH KIRI imam. Imam perlu melangkah ke hadapan dan kedua-dua makmum perlu merapatkan saf.
- Jika tiada ruang untuk imam ke hadapan, maka kedua-dua makmum perlu undur ke belakang dan merapatkan saf mereka, imam tetap di tempatnya.
Daripada Jabir Bin Abdullah al-ansari RA :
قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِيُصَلِّيَ فَجِئْتُ حَتَّى قُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ فَأَخَذَ بِيَدِي فَأَدَارَنِي حَتَّى أَقَامَنِي عَن يَمِينه ثُمَّ جَاءَ جَبَّارُ بْنُ صَخْرٍ فَقَامَ عَنْ يَسَارِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخَذَ بيدينا جَمِيعًا فدفعنا حَتَّى أَقَمْنَا خَلفه
Maksudnya : Rasulullah SAW berdiri untuk mengerjakan solat kemudian aku pun datang dan berdiri di samping kiri Baginda. Rasulullah SAW meraih tanganku lalu memindahkanku ke sebelah kanan. Kemudian datang pula Jabbar bin Shakhr, dia berdiri di sebelah kiri Baginda.Rasulullah SAW meraih tangan kami berdua lalu memindahkan kami ke belakang baginda..
(HR Muslim, hadis sahih)
- Sekiranya makmum yang baru datang pula mendapati tiada ruang untuknya di saf hadapan, maka dia perlu bertakbir dan kemudian mencuit bahu makmum di hadapannya untuk undur ke belakang dan bersama-sama di saf yang baharu.
- Sekiranya makmum ramai, maka PERLULAH diseimbangkan bilangan kanan dan kiri dengan MENGUTAMAKAN BAHAGIAN KANAN TERLEBIH DAHULU. Jika imam dan makmum berada di satu bahagian contohnya di kiri sahaja maka hukumnya adalah MAKRUH.
KEDUDUKAN SAF KANAK-KANAK LELAKI
Hakikatnya para ulama’ tidak memisahkan kedudukan saf bagi kanak-kanak lelaki dengan saf lelaki dewasa sebagaimana yang difahami masyarakat kini, pandangan yang mengatakan bahawa kanak-kanak telah memutuskan saf dan mengurangkan pahala jemaah adalah tidak benar. Walau bagaimanapun, dalam situasi ini, keutamaan hendaklah diberikan kepada orang yang lebih dewasa berbanding kanak-kanak, ini berdasarkan hadis daripada Nabi SAW iaitu:
Dari Abdullah bin Mas’ud Nabi SAW bersabda:
لِيَلِنِي مِنْكُمْ أُولُو الأَحْلاَمِ وَالنُّهَى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
Maksudnya: Hendaklah yang tepat di belakangku orang yang dewasa yang memiliki kecerdasan dan orang yang sudah berakal di antara kalian, kemudian orang yang sesudah mereka kemudian orang yang sesudah mereka.
(HR Muslim, hadis sahih)
Malahan ada riwayat lain dari Abu Malik al-Ash‘ari:
أَلَا أُحَدِّثُكُمْ بِصَلَاةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: أَقَامَ الصَّلَاةَ وَصَفَّ الرِّجَالَ وَصَفَّ خَلْفَهُمُ الْغِلْمَانَ ثُمَّ صَلَّى بِهِمْ
Maksudnya: Mahukah aku ceritakan kepada kalian tentang solat Nabi SAW? Dia melanjutkan; Baginda SAW mendirikan solat dan Baginda membariskan saf lelaki dewasa dan di belakang mereka kanak-kanak, lalu Baginda solat bersama mereka.
(HR Abu Daud, hadis hasan)
Syeikh Zakariyya Al- Ansari menukilkan dalam kitab beliau Asna al-Matalib fi Syarh Raudhu at-Talib menyatakan bahawa disunatkan atau mustahab untuk meletakkan kanak-kanak lelaki di belakang saf lelaki dewasa apabila saf dewasa tidak muat untuk mereka. Sekiranya masih boleh dimuatkan, kanak-kanak tersebut perlulah memenuhkan saf di saf makmum dewasa.
وَهَذَا كُلُّهُ (مُسْتَحَبٌّ لَا شَرْطٌ) فَلَوْ خَالَفُوا صَحَّتْ صَلَاتُهُمْ مَعَ الْكَرَاهَةِ
Maksudnya: Semuanya ini adalah mustahab(digalakkan), bukannya syarat. Sekiranya mereka menyalahi susunan saf ini, sah solat mereka itu tetapi makruh.
a. Kanak-kanak lelaki bersama seorang lelaki dewasa
Jika seorang lelaki dewasa bersama seorang kanak-kanak lelaki, kanak-kanak itu hendaklah berada bersebelahan makmum lelaki dewasa di belakang imam.
Dari Anas Bin Malik Nabi SAW bersabda:
دَعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لِطَعَامٍ صَنَعَتْهُ، فَأَكَلَ مِنْهُ فَقَالَ “ قُومُوا فَلأُصَلِّيَ بِكُمْ ”. فَقُمْتُ إِلَى حَصِيرٍ لَنَا قَدِ اسْوَدَّ مِنْ طُولِ مَا لُبِسَ، فَنَضَحْتُهُ بِمَاءٍ فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَالْيَتِيمُ مَعِي، وَالْعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا، فَصَلَّى بِنَا رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya: Nenek Anas bin Malik mengajak Rasulullah SAW untuk menikmati makanan yang disediakannya. Lalu Rasulullah SAW menjamah hidangan tersebut kemudian bersabda: Bangunlah, saya akan mengimamkan solat kalian. Lalu saya mendapatkan sekeping tikar kami yang berwarna hitam kerana sudah lama digunakan, kemudian saya merenjiskan air ke atasnya. Rasulullah SAW berdiri, diikuti seorang anak yatim berdiri bersama saya dan nenek berada di belakang kami. Baginda bersembahyang mengimami kami sebanyak dua rakaat.
(HR Bukhari, hadis sahih)
Imam an-Nawawi menyebut bahawa hadis ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa kanak-kanak lelaki mempunyai kedudukan di dalam saf. Jumhur ulama’ mazhab Syafiee berpegang kepada pandangan ini.
b. Kanak-kanak lelaki berada dalam saf makmum lelaki dewasa yang ramai.
Kedudukan kanak-kanak lelaki di dalam saf dewasa yang ramai pula ialah dibolehkan untuk berada di mana-mana bahagian di saf pertama dan yang dibelakang imam hendaklah diberikan keutamaan kepada orang yang lebih dewasa kerana berperanan menegur imam jika imam lupa sedangkan tiada orang lain menyedarinya.
KEDUDUKAN IMAM DAN MAKMUM WANITA
- Posisi paling tepat jika seorang sahaja makmum wanita ialah dia perlu berada betul-betul di belakang imam, namun DIBOLEHKAN juga untuk berada di bahagian kiri imam. (Jarak tiga hasta)
- Sekiranya jemaah makmum perempuan yang ramai, maka mereka perlu berdiri jauh dari imam sekurang-kurangnya tiga hasta.
KEDUDUKAN IMAM WANITA DAN MAKMUM WANITA
Untuk jemaah yang diimami oleh perempuan, kedudukan imam itu hendaklah berada di tengah-tengah jemaah perempuan pada kadar setapak di belakang imam. Imam an-Nawawi menyebut dalam kitab beliau al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab berkenaan isu ini :
السُّنَّةُ أَنْ تَقِفَ إمَامَةُ النِّسَاءِ وَسْطَهُنَّ لِمَا رُوِيَ أَنَّ عَائِشَةَ وَأُمَّ سَلَمَةَ أَمَّتَا نِسَاءً فَقَامَتَا وَسْطَهُنَّ
Maksudnya: Sunnahnya berdiri imam perempuan di tengah jemaah wanita seperti mana diriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah dan Saidatina Ummu Salamah mengimamkan jemaah wanita dan beliau berdua berdiri di tengah- tengah jemaah.
- Hikmah imam wanita berada di posisi tengah ialah kedudukan tersebut lebih tertutup ini disebut oleh Imam al-Mawardi di dalam Al-Hawi Kabir :
فَالْأَوْلَى لِمَنْ أَمَّ مِنْهُنَّ أَنْ تَقِفَ وَسَطَهُنَّ، لِأَنَّ ذَلِكَ أَسْتَرُ لَهَا
Maksudnya : Diutamakan bagi sesiapa menjadi imam daripada kalangan perempuan, untuk imam tersebut berada di tengah-tengah jemaah perempuan kerana ia lebih tertutup baginya.
Syeikh Sulaiman al Jamal di dalam kitab beliau Hasyiyah al-Jamal juga menyebut:
Dimaksudkan dengan berdiri di tengah-tengah makmum perempuan ialah agar imam tidak taqaddum iaitu berdiri di hadapan (seperti mana imam lelaki) dan bukan juga untuk berdiri selari dengan makmum perempuan di kanan dan kirinya. Tetapi hendaklah imam ke hadapan sedikit supaya dapat membezakan antara imam dan makmum yang lain.
Wallahua’lam
Tag:#solat, imam, makmum, ustazustazahcom