MUKMINKAH AKU? SIRI 1
KEDUDUKAN ORANG BERIMAN
ALLAH -سبحانه وتعالى- memuliakan orang-orang beriman di akhirat dengan menempatkan mereka di kedudukan yang tinggi. Sebagaimana firman Allah -سبحانه وتعالى- dalam Surah al-Mukminun;
﴿أُولَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ١٠ الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ١١﴾ [المؤمنون: 10-11]
Maksudnya : «Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi(10) Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya(11)»
Ini merupakan janji yang benar daripada Allah -سبحانه وتعالى-, dan Allah -سبحانه وتعالى- tidak pernah memungkiri janji Nya terhadap sesiapa pun. Ayat ini juga menunjukkan suatu pengakuan yang tegas terhadap keberuntungan yang akan dicapai oleh para mukmin iaitu orang-orang yang beriman.
CIRI-CIRI ORANG BERIMAN
Berdasarkan Surah al-Mukminun, al-Quran menerangkan dan menggambarkan kepada kita tentang ciri-ciri orang yang mendapat keberuntungan di dunia mahupun diakhirat. Ciri-ciri ini adalah akhlak yang dimiliki oleh orang beriman, iaitu :
1.Khusyuk Dalam Solat
Mukmin yang sebenar adalah mereka yang khusyuk dalam solatnya. Solat yang didirikan bukanlah sekadar adat dan ikut-ikutan kerana malu terhadap orang lain, bahkan solat yang didirikan akan dijaga sebaik mungkin , dan mengosongkan hatinya daripada duniawi.
Seseorang mukmin menghadirkan seluruh hatinya dan dirinya dalam solat yang didirikan. Semua isi bacaan dalam solat adalah benar-benar difahami, dan hasil daripada solat yang khusuk itu dicernakan dalam kehidupan duniawinya.
Oleh yang demikian, orang yang mendirikan solat seperti yang dinyatakan diatas telah memiliki salah satu sifat orang mukmin, iaitu serius dalam solat dan tidak menganggapnya main-main.
Firman Allah -سبحانه وتعالى- :
﴿قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ١ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ٢﴾ [المؤمنون: 1-2]
Maksudnya : «Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman(1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;(2)»
2.MENJAUHKAN DIRI DARIPADA KATA-KATA YANG TIDAK BERGUNA
Seseorang mukmin juga adalah mereka yang menjauhkan dirinya daripada terlibat dengan kata-kata yang tidak berguna dan tidak berfaedah. Inilah ciri yang perlu ada pada seseorang yang menduduki tempat golongan yang beriman.
Perkataan-perkataan yang buruk, menyakitkan hati orang lain dan mengumpat adalah amat berlawanan dengan kehendak syariah. Orang yang mengaku dirinya beriman pasti akan menghindari dirinya daripada kata-kata nista dan yang memecah belahkan umat.
Firman Allah -سبحانه وتعالى-:
﴿وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ٣﴾ [المؤمنون: 3]
Maksudnya : «Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;(3)»
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Saiyiduna Abu Hurairah -رضي الله عنه- bahawa Nabi -صلى الله عليه وسلم- pernah bersabda :
(( مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ المَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ یَعْنِيْهِ))
Maksudnya : “Daripada keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan sesuatu yang tiada kena mengena dengannya”. (HR al-Tirmizi : 2318)
Daripada hadis ini, sifat menyibukkan diri dengan perkara yang tidak sepatutnya seperti membicarakan tentang keaiban manusia lain, mencampur aduk urusan mereka dengan urusan orang lain, membuka aib, mengumpat, adu domba adalah antara perkara yang boleh menyebabkan berlakunya permusuhan dan perbalahan serta boleh mengakibatkan berlakunya kekecohan dalam masyarakat.
Bersambung..
Ruj :
-Bahagian Pengurusan Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor. 2004. Ciri-ciri Mukmin. Selangor : Jabatan Agama Islam Selangor.
-Sayyid Qutb. t.th. Tafsir Fi Zilalil Quran. Terj : Yusof Zaki. t.tp : t.pt. 18/30