SUBHANALLAH! INILAH 6 MUKJIZAT RASULULLAH SAW SELAIN AL-QURAN
Mukjizat dari sudut bahasa bermakna melemahkan iaitu perkara luar biasa yang dianugerahkan Allah SWT kepada seorang rasul sebagai bukti kebenaran risalah yang dibawa mereka kepada umat manusia.
Begitu jugalah yang dikurniakan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Baginda SAW merupakan antara para rasul yang dikurniakan mukjizat dengan begitu banyaknya agar kita mampu menilai dengan mata hati akan kebenaran risalah yang dibawa ini sememangnya petunjuk yang jelas dan benar buat kita semua.
JOM AMBIL TAHU MUKJIZAT RASULULLAH SAW!
1. SUSU IBU SUSUAN RASULULLAH SAW MELIMPAH RUAH.
Pada mulanya rata-rata masyarakat Quraisy tidak mahu mengupah Halimatul Saadiah untuk menyusukan anak mereka dek kerana tubuhnya yang kurus. Namun saban hari, keberkatan sentiasa berlaku pada Halimatul Saadiah sewaktu Nabi Muhammad SAW berada dalam pemeliharaanya.
Pelbagai keberkatan yang berlaku sepanjang tempoh Halimah menyusukan Nabi Muhammad SAW. Saban hari, susu Halimah yang tidak mencukupi dan kering kini sudah semakin banyak sehingga mencukupi untuk diberikan kepada Nabi Muhammad SAW dan anak susuan yang lainnya. Haiwan ternakan Halimatul Saadiah juga dengan ajaibnya menjadi semakin sihat, gemuk dan membiak dengan cepat dan sentiasa beranak-pinak.
2. PERISTIWA PEMBELAHAN DADA NABI MUHAMMAD SAW.
Pada ketika Nabi Muhammad SAW masih kecil, di saat berusia 4 tahun yang masih dijaga oleh ibu susuan Baginda, Halimah Saadiah, Malaikat Jibril AS telah mendatangi Nabi SAW yang sedang bermain bersama rakan-rakannya untuk membelah dada Nabi Muhammad SAW dan mengeluarkan segumpal darah yang terdapatnya bahagian syaitan di situ.
Lalu malaikat Jibril AS menyucikannya sesudah dibelah dengan menggunakan air zamzam serta menjahitnya kembali dan mengembalikan Baginda SAW di tempat permainannya tadi.
3. BULAN DIBELAH DUA
Mukjizat Rasulullah SAW ini diperlihatkan atas izin Allah SWT kerana kaum kafir Makkah pada ketika itu menyuruh Rasulullah SAW untuk memperlihatkan tanda-tanda kebesaran Allah SWT dan sengaja ingin menguji kebenaran risalah Islam yang dibawa Baginda SAW.
Maka Allah SWT mengabulkan doa baginda SAW. Pada malam itu, jelas kelihatan bulan terbelah menjadi dua bahagian. Satu bahagian di Gunung Abu Qubais dan satu bahagian lagi di as-Suwaida. Namun pihak Kafir Makkah tetap tidak mahu beriman dengan Allah SWT dan mengatakan Nabi Muhammad SAW telah melakukan sihir secara terus-menerus.
4. MENGALIR AIR DARIPADA JARI-JARI RASULULLAH
Pada ketika itu, air sangatlah tidak mencukupi buat semua orang untuk melaksanakan wudhu’. Maka Rasulullah SAW meletakkan jari-jari Baginda SAW ke dalam bekas air dan dengan izin Allah SWT, air mulai keluar dari jari Baginda SAW.
“Nabi SAW pernah meminta sebekas air, lalu didatangkan kepada Baginda mangkuk yang cetek dan luas mulutnya, di dalamnya ada sedikit air. Baginda pun meletakkan jari-jemari Baginda di dalam bekas itu. Anas berkata: “Aku melihat air keluar dari celah-celah jari Baginda.” Anas berkata lagi: “Aku menganggarkan sekitar tujuh puluh hingga lapan puluh orang yang dapat berwudhu’ menggunakan air (yang keluar daripada celahan jari Rasulullah SAW) itu”, Riwayat Anas Bin Malik RA.
5. POHON TAMAR MENANGIS.
Kebiasannya, Rasulullah SAW akan berkhutbah berdekatan dengan sepohon tamar. Namun apabila umat Islam sudah semakin ramai, dicadangkan agar Rasulullah SAW untuk berkhutbah di mimbar yang telah dibina supaya lebih ramai jemaah yang boleh melihat Baginda SAW menyampaikan khutbahnya.
Namun, keadaan ini membuatkan sepohon tamar yang menjadi sandaran Rasulullah SAW sebelum ini menangis teresak-esak seperti menangisnya seorang bayi. Lalu Rasulullah SAW menenangkannya sambil bersabda: “Ia menangis kerana (tidak dapat mendengar lagi) apa yang biasa ia dengar daripada peringatan berhampirannya”, Sahih al-Bukhari, 3584.
6. PERISTIWA ISRA’ MI’RAJ
Peristiwa yang sangat ajaib ini hanya berlaku dalam satu malam sahaja! Israk membawa maksud perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Al-Aqsa di Palestin dengan menunggang Buraq. Manakala Mikraj pula adalah perjalanan Nabi SAW merentas tujuh lapis langit sehingga ke Sidratul Muntaha.
Sepanjang perjalanan, Baginda SAW telah melihat banyak peristiwa ganjil yang berlaku. Pada setiap tingkatan langit, Baginda SAW telah bertemu dengan para nabi yang berbeza-beza yang menghuni tingkat-tingkat langit tersebut.
Selepas kejadian peristiwa inilah, maka bermulanya perintah Allah SWT yang mewajibkan umat Islam untuk mendirikan solat 5 waktu sehari semalam yang mana pada mulanya diperintahkan untuk menunaikan solat sebanyak 50 kali sehari. Namun, atas Ihsan dan izin Allah SWT, ia telah dikurangkan sehingga menjadi hanya sebanyak 5 kali sahaja bagi sehari.
Kesimpulannya, kita haruslah beriman dan mempercayai telah berlakunya peristiwa-peristiwa mukjizat yang ajaib ini kerana ia merupakan antara tanda-tanda berimannya kita terhadap Allah SWT dan juga kekasihNya, Rasulullah SAW. Semoga dengan peristiwa-peristiwa seperti ini akan memberikan kita pedoman dan panduan untuk menyempurnakan iman serta ketakwaan terhadap Allah SWT dan berusaha menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh perilaku terbaik di dalam kehidupan kita semua.