SAYANG ISLAM, SAYANG NABI
HIDUP ini umpama satu laman untuk semaian benih supaya hasilnya akan bercambah dan menjadi sebuah kebun yang indah. Benih itu adalah amalan kebaikan dan kebun itu adalah bekalan yang akan dibawa ke akhirat kelak. Hidup ini sementara dan semua mengetahuinya namun lalai akan tujuan hidupnya.
Menurut laman sesawang mufti Wilayah Persekutuan iaitu Irsyad al-Hadith, ada membahaskan bahawa berkenaan kecintaan terhadap dunia yang berlebihan membawa kepada kerosakan diri dan akidah. Namun adakah dunia ini sia-sia?
Di dalam al-Quran diceritakan bahawa dunia merupakan tempat persinggahan bagi manusia dan ia merupakan tempat untuk mengumpulkan amalan-amalan untuk dibawa ke akhirat iaitu tempat yang kekal abadi. Berdasarkan firman Allah SWT:
مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ
Surah Al-Syura:20
Maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di Akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di Akhirat kelak.”
Rasulullah SAW berjuang demi menegakkan kebenaran. Demi memberi nikmat Islam itu kepada kita. Sayangnya kita kepada Baginda SAW bukan sekadar mengaji dan mempelajari sirahnya, bukan juga sekadar mengimarahkan sambutan maulidur rasul pada setiap 12 Rabiul Awal.
Tetapi jangan dilupakan perkara-perkara utama yang diperjuangkan dan dibawa oleh Rasulullah SAW kepada umatnya iaitu empat perkara.
PERJUANGAN NABI MUHAMMAD SAW
- ISLAM
Bertahun-tahun Baginda SAW mengajak dan menyeru segenap masyarakat pada zamannya untuk memeluk Islam. Bermula dengan dakwah secara bersembunyi dan sorok-sorok dan kemudian menyebar luaskan ajaran Islam ke serata negeri. Dicaci, dimaki, diuji dengan pelbagai kesusahan dan kehilangan insan tersayang termasuk isteri dan anak-anaknya, namun, Baginda SAW tetap terus membawa kebenaran sehingga kita merasakan nikmat Islam itu pada hari ini dengan mudah. Tiada kesusahan dalam menjadi seorang muslim dan mengamalkan ajaran Islam secara terang-terangan. Alhamdulillah.
- AKIDAH
Dengan agama yang dibawa oleh Baginda SAW, dibentuknya juga akidah yang jitu iaitu dengan kalimah Laa ilaha illallah. Mengesakan Allah dan jangan sesekali menyekutukan Allah dengan perkara lain. Sayang kita kepada Baginda SAW seharusnya ditunjukkan dengan cara bagaimana kita menjaga akidah yang selama ini diperjuangkan untuk umat Nabi Muhammad SAW. Tidaklah sesekali kita menyamakan Allah dengan makhlukNya dan sentiasalah berhati-hati dengan syirik halus supaya akidah tetap terus terjaga.
- SUNNAH
Baginda SAW bukan sekadar memberikan kita suatu nikmat yang tidak ternilai iaitu agama Islam dan juga iman. Tetapi Baginda SAW turut mengajar kita bagaimana untuk menjadi seorang muslim yang baik dari mencontohi perwatakan dan keperibadian Baginda SAW dari pelbagai aspek. Antaranya ialah cara melayani isteri, cara solat, puasa, tarawih, menghormati orang tua bahkan cara untuk menyantuni orang yang bukan Islam juga diajar kepada kita untuk dipraktikkan. Bukan sekadar menjaga hubungan sesama manusia tetapi juga berbuat baik kepada semua makhluk Allah walaupun haiwan.
- SYAFAAT
Syafaat terbahagi kepada dua iaitu Syafaat umum dan Syafaat khusus. Syafaat umum ialah syafaat yang dikurniakan kepada para Nabi, ulama dan syuhada. Syafaat khusus pula hanyalah dikurniakan kepada Nabi kita Muhammad SAW iaitu alSyafaat al-Uzma.
Syafaat ini bermaksud permohonan oleh Baginda Nabi SAW kepada Allah supaya disegerakan sesi perbicaraan dan pengadilan setelah lama sengsara menunggu di perhimpunan Mahsyar.
Dikala semua para Nabi tidak dapat menolong, Baginda Muhammad SAW bersujud bermunajat dan memohon kepada Allah SWT dan dikabulkan permohonan Baginda SAW. Bertuahlah umat Nabi Muhammad SAW kerana mempunyai syafaat Baginda. Tetapi adakah kita antara golongan yang menerimanya? Tepuk dada, tanya iman.
Sejauh mana kecintaan kita kepada Baginda SAW perlu dinilai melalui empat perkara ini. Benarkan kita mengamalkan ajaran Islam yang sebenar? Bagaimana akidah kita? Adakah kita mengikuti sunnah Baginda SAW? Dan mohonlah supaya kita tergolong dari golongan yang mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
(Perkongsian oleh Ustaz Fattah (bekas peserta rancangan realiti agama Imam Muda dalam salah sebuah ceramah beliau bertemakan Maulidur Rasul di Rembau baru-baru ini)