TASAMUH:BUKTI ISLAM AGAMA KEDAMAIAN
Islam adalah agama kedamaian dan disebabkan itu Islam amat menekankan konsep tasamuh dalam kehidupan seharian bagi penganutnya. Tasamuh ialah perkataan arab yang bermaksud toleransi manakala toleransi bermaksud saling menghargai, saling menghormati, berlapang dada dalam aspek kehidupan seharian sesama manusia tidak mengira bangsa atau agama selagi mana ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kami telah menciptkan daripadamu seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya, yang paling mulia disisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Allah Maha mengetahui lagi Maha teliti”.
Daripada ayat ini jelaslah kenapa Allah menjadikan manusia itu pelbagai rupa, jenis dan bangsa kerana hikmahnya supaya manusia saling mengenali, saling mempelajari sesama manusia supaya lahir sifat toleransi, saling hormat, sikap kebersamaan serta kasih sayang.Tasamuh atau toleransi adalah amalan yang amat dituntut dalam kehidupan seharian kerana ianya melibatkan hubungan sesama manusia. Bukan hanya sesama muslim tetapi jelas dalam ayat tersebut iaitu sesama manusia yang berlainan agama,kepercayaan dan bangsa.
Di Malaysia, sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk, Islam merupakan agama rasmi bagi persekutuan, namun ianya tidak menafikan bahawa agama lain juga boleh diamalkan di Malaysia. Sejak berdekat lamanya, masyarakat di Malaysia mampu meraikan kepelbagaian Agama, bangsa, etnik di negara ini dan terbukti rakyat Malaysia mampu hidup dengan aman dan harmoni. Melayu dengan agama dan adatnya, kaum Cina dengan kepercayaan dan adatnya, kaum India dengan kepercayaan dan adantnya, begitu juga etnik dan kaum yang lain dimana semuanya bebas untuk amalkan kepercayaan masing-masing. Hal ini selaras dalam firman Allah SWT dalam surah Al-Kafirun ayat 1-6 yang bermaksud
“Katakanlah: “Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah; Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang Aku sembah; Dan Aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah; Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang Aku sembah; Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku.”