TAKSUB
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِن قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيرًا وَضَلُّوا عَن سَوَاءِ السَّبِيلِ
“Katakanlah (Muhammad), “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu berlebih-lebihan dengan cara yang salah dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah tersesat dahulu dan telah menyesatkan banyak (manusia), dan mereka sendiri tersesat dari jalan yang lurus” (Surah Al-Maidah: 77)
Menurut kamus dewan edisi keempat taksub atau dalam arab تعصب (taasub) adalah sama erti bagi finatik yang bermaksud keyakinan dan kepercayaan yang keterlaluan terhadap sesuatu atau seseorang. Taksub ini adalah satu tahap bilamana seseorang menganggap apa sahaja yang menjadi pegangan keyakinnya, tidak ada yang boleh mengatasi perkara tersebut serta tidak memberi ruang kepada unsur luar untuk masuk, mengkritik atau cuba membaik pulih jika terdapat kesalahan dengan apa yang dipegangnya. Taksub ini boleh jadi dalam banyak perkara sebagai contoh, taksub Agama, taksub politik, taksub kepada individu, taksub kepada kumpulan dan sebagainya. Maka taksub ini jelas mendatang keburukan dan juga diberikan ancaman kepada mereka yang ada sifat taksub dalam diri mereka.
Taksub Agama (Ghuluw fiddin)
Dikenali sebagai pelampau agama. Seseorang atau sekumpulan agamawan yang menganggap bahawa hanya apa yang dibawa oleh dirinya atau kumpulannya sahaja yang benar dan tepat didalam agama dan menafikan pandangan-pandangan ulama’ yang lain. Melampau dalam agama ini boleh disebabkan oleh perbezaan mazhab yang dipegang, perbezaan budaya beragama di sesebuah negara dan juga individu atau tokoh yang diangkat oleh individu atau sebahagian kumpulan umat Islam. Rentetan kepada taksub dalam agama ini telah dibuktikan oleh sejarah apabila berlaku pertumpahan darah diantara sesama umat Islam bahkan ada yang sanggup mengkafirkan saudara sendiri yang berbeza aliran dan pandangan. Berhati-hatilah dalam beragama dan jangan sampai ke tahap taksub kepada sesuatu didalam agama didalam perkara yang diberikan keluasan oleh Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: “Awasilah kamu dalam melampau dalam beragama, karena binasanya orang-orang sebelum kamu adalah disebabkan sikap ghuluw mereka dalam beragama” (HR Ibnu Hibban).
Taksub Politik
Sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia sudah pastinya wujud pelbagai fahaman parti politik yang sepatutnya penubuhan parti-parti politik ini adalah untuk bersaing secara sihat untuk mengemudi negara ke arah negara yang lebih maju. Namun, berbeza apa yang berlaku pada hari ini terutama di Malaysia, terdapat parti-parti politik yang diwujudkan atas dasar sifat dendam kepada sebuah parti yang lain. Bahkan menjadi normalisasi dalam dunia politik apabila tokoh-tokoh dan juga pengikut setiap parti ini saling memburukkan, menjatuhkan lawan masing-masing dengan cara yang kotor. Kesannya, rakyat yang tidak berkuasa terus ditekan dengan masalah hidup yang berterusan tanpa sebarang tindakan daripada pihak yang berkuasa. Rakyat terus ditindas, nasib mereka tidak mampu dibela oleh sebahagian ahli-ahli politik yang diberikan kepercayaan untuk memimpin dan membela rakyat. Bersederhanalah dalam berpolitik, bersaing lah secara sihat serta saling membantu dalam urusan mentadbir negara.
Taksub individu/tokoh
Imam Az-Zahabi dalam Kitabnya syiar alam an-Nubala menyatakan bahawa “setiap orang boleh diterima dan ditolak pendapatnya melainkan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam”. Pandangan ini juga jelas menunjukkan bahawa setiap manusia tidak maksum dan sering melakukan kesilapan. Namun, taksub tetap berlaku apabila terdapat individu atau sekumpulan manusia yang terlampau percaya dan yakin setiap apa yang disampaikan oleh seseorang tokoh yang menjadi idola mereka. Bahkan, mereka sanggup mencerca, menghina bahkan lebih teruk melakukan kekerasan kepada sesiapa yang cuba mengkritik atau menegur tokoh yang disanjung mereka meskipun tokoh tersebut jelas melakukan kesilapan. Sedarlah bahawa tiada manusia yang terlepas daripada melakukan kesilapan. Berlapang dadalah dengan manusia disekililing dan berpadalah dalam mengangkat seseorang.
Kesimpulannya, taksub sangat ditegah oleh Allah SWT. Bahkan banyak ayat al-Quran yang berkisarkan azab Allah tentang mereka yang taksud kepada sesuatu. Semoga kita semua menggunakan nikmat neraca akal dan ilmu yang diberikan oleh Allah SWT sebaik mungkin.