SUTRAH: SUNNAH YANG DITINGGALKAN
Baru-baru ini saya dan keluarga pergi ke salah sebuah kompleks membeli belah yang terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya yang tinggal di kawasan Lembah Klang. Ketika itu ialah hujung minggu yang sudah pastinya kompleks membeli belah tersebut akan dihadiri ramai pengunjung. Kebetulan ketika kami sampai ke kompleks tersebut telah masuk waktu solat maghrib. Jadi tanpa melengahkan masa, kami bergegas ke ruang solat yang disediakan oleh pihak Kompleks membeli belah tersebut. Ruang solat yang disediakan luas dan selesa serta dibahagikan kepada dua bahagian dimana satu bahagian lelaki dan satu bahagian wanita. Namun, ketika saya sampai di dalam ruang solat, kelihatan sudah ada kumpulan jemaah yang sedang solat. Apabila selesai kumpulan jemaah itu solat, maka jemaah yang baharu akan masuk untuk solat pula. Di sana berlaku satu situasi dimana berlaku pertembungan antara jemaah yang ingin masuk dan ingin keluar dari ruang solat. Disana juga terdapat beberapa jemaah masbuk yang masih lagi sedang solat. Terdapat segelintir jemaah yang melintasi makmum yang masbuk tersebut dan kelihatan juga tiada sebarang batas atau sutrah yang diletakkan oleh makmum yang masbuk tersebut. Jadi disini, saya akan menghuraikan beberapa perkara berkaitan, apa itu sutrah, dalil perlunya kepada sutrah, Apa yang boleh digunakan sebagai sutrah, cara meletakkan sutrah, keadaan yang memerlukan sutrah, dan adakah sutrah imam dan makmum itu sama atau berbeza.
Apa itu SUTRAH?
Menurut portal rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, sutrah tanda pemisah di antara orang yang bersolat dengan orang yang lalu-lalang di hadapannya, seperti dinding, tiang, tongkat atau menghamparkan sejadah dan sebagainya. Jika tidak didapati apa-apa pun buatlah tanda garisan sahaja. Sutrah ini juga merupakan salah satu sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang semakin dilupakan. Dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar RA, beliau berkata yang bermaksud :
“Rasulullah SAW apabila pergi menunaikan solat hari raya, Baginda meminta sebatang tombak pendek (حَربَةٌ) diletakkan di hadapannya, lalu Baginda menghadapnya manakala orang ramai pula di belakang Baginda ketika bermusafir.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Hukum meletakkan surat ialah sunat berdasarkan majoriti ulama’.
Apakah yang boleh digunakan sebagai sutrah?
Secara umumnya, sutrah itu bersifat tinggi dan jelas seperti dinding masjid atau banguan, tiang masjid dan sebagainya. Namun, sekiranya tiada boleh juga menggunakan objek lain dan juga hatta sejadah. Dalam konteks masyarakat hari ini yang sering membawa barangan seperti beg galas, baju sejuk, beg dompet, telefon bimbit dan sebagainya juga boleh dijadikan sutrah.
Cara meletakkan Sutrah.
Cara yang dianjurkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam untuk meletakkan sutrah yang mestilah berhampiran kawasan sujud atau jarak yang memadai yang membolehkan seseorang itu sujud. Hal ini berdasarkan sebuah hadis daripada Sahal bin Sa’ad RA katanya yang bermaksud:
“Jarak di antara tempat sujud Rasulullah SAW dan dinding ialah seluas laluan kambing” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat lain pula ada yang menyebutkan jarak yang perlu diletakkan sutrah ialah tiga hasta berdasarkan sebuah hadis daripada Ibnu Umar beliau berkata yang bermaksud:
“Bahawasanya Rasulullah sallallahu alaihi wasallam memasuki Kaabah dan baginda solat diantaranya dan dinding dalam jarak tiga hasta.” (Riwayat An-Nasaie dan Ahmad).
Keadaan yang memerlukan kepada Sutrah
Sutrah ini disunatkan kepada mereka yang solat bersendirian sama ada solat fardu atau solat sunat. Tidak kira sama ada ruang yang luas atau yang sempit. Tujuannya sebagai sempadan laluan bagi orang yang tengah solat dan juga mereka yang ingin melintasi kawasan tersebut.
Adakah sama atau berbeza sutrah bagi Imam dan Makmum?
Sutrah Imam itu adalah sutrah bagi makmum. Maka apabila solat berjemaah memadai ada sutrah dihadapan imam. Maka tidak boleh melintasi dihadapan imam namun dibenarkan melintasi hadapan makmum. Hal ini berdasarkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas beliau menceritakan yang bermaksud:
“Aku datang dengan menaiki seekor keldai, ketika itu umurku hampir baligh. Aku melihat Rasulullah sedang bersolat dengan orang ramai di Mina, aku lalu dihadapan saf dan masuk ke dalam saf, sementara keldai ku biarkan ia mencari makanan. Dan tidak ada seorang pun yang menegur perbuatan ku.” (Riwayat Al-Jamaah)
Hadis ini sebagai isyarat bahawa dibenarkan lalu dihadapan makmum ketika solat sekiranya ada keperluan seperti terbatal wuduk atau memenuhkan saf.