SOLATKU KEBAHAGIAANKU SIRI 2 : KEDUDUKAN SOLAT DALAM ISLAM
KEDUDUKAN SOLAT BAGI DIRI MUKMIN.
Menurut istilah fuqaha’, solat ialah perkataan dan perbuatan khusus yang dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam.[1] Solat adalah merupakan rukun diantara rukun-rukun Islam yang lima. Ianya merupakan perkara fardu yang wajib didirikan oleh sekalian umat Islam menurut ketentuan hukum. Solat yang wajib didirikan sehari semalam itu terdiri daripada 5 waktu, iaitu Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh.
Abdullah bin Umar pernah meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah -salllallahu’alaihiwasallam- bersabda :
بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: Penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan.” (HR al-Bukhari : 8)
Lafaz وَإِقَامِ الصَّلَاةِ bukanlah bermaksud menunaikan solat semata-mata, bahkan ianya merupakan satu tuntutan supaya mengerjakan solat dengan bersungguh-sungguh, tepat pada waktunya, menjaga segala sunat-sunat, fadhilat-fadhilat dan rukun-rukunnya.[2]
HUKUM MENDIRIKAN SOLAT
Hukum mendirikan solat adalah wajib bagi setiap muslim yang baligh dan berakal, kecuali wanita yang didatangi haid dan nifas. Hukum wajib solat dapat diketahui melalui nas al-Quran, hadis serta ijma’. Firman Allah swt :
﴿فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلَاةَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِكُمْ فَإِذَا اطْمَأْنَنْتُمْ فَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا١٠٣﴾ [النساء: 103]
Maksudnya : «… maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya(103)»
KEDUDUKAN SOLAT
Solat mempunyai kedudukan yang mulia dalam Islam. Orang mukmin yang sejati adalah mereka yang menitik beratkan soal solat dan akan berusaha memeliharanya walau dalam apa-apa keadaan sekalipun.
Solat adalah tiang agama[3]
Dalam kitab Manzilah al-Solah fi al-Islam ada menyatakan, sekiranya runtuhnya tiang, maka akan robohlah juga apa yang dibina diatasnya.
Nabi -sallallahu’alaihiwasallam- bersabda:
رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ
Maksudnya: “Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan ke muncaknya adalah berjihad.” (HR al-Tirmizi : 2616)
Solat adalah amalan pertama yang akan dihisab
Dalam satu hadis Nabi -sallallahu’alaihiwasallam- bersabda:
أَوَّلُ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الصَّلَاةُ، فَإِنْ صَلَحَتْ صَلَحَ لَهُ سَائِرُ عَمَلِهِ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَسَدَ سَائِرُ عَمَلِهِ
Maksudnya: Sesungguhnya amalan yang mula dihisab atas seseorang hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya baik solatnya maka baik segala amalannya, sekiranya buruk solatnya maka buruk segala amalannya. (HR al-Thabrani : 1859)
[1] Ibnu Hajar al-‘Asqalani. 2002. Bulughul Maram min Adillati al-Ahkam. Jakarta : Dar al-Kutub al-Islamiyah. 35.
[2] Ahmad Zamzami Che Daud. Mohd Azahar Azmi. 2013. Menyingkap Rahsia Di Sebalik Hadis 40. Mesir : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.
[3] Sa’id bin Ali bin Wahf al-Qahtani.2018. Manzilah al-Solah fi al-Islam. T.tp : t.pt.