SIRI JALAN KE NERAKA: PEREMPUAN MENYERUPAI LELAKI DAN SEBALIKNYA.
Bukan suatu isu baharu di zaman ini bahkan perkara ini telah meresap masuk kedalam masyarakat khususnya di Malaysia. Bahkan pengaruhnya seolah-olah telah menjadi satu virus yang menyerang sebahagian besar masyarakat. Namun, virus ini juga telah diterima dengan tangan terbuka oleh sebahagian pihak. Persoalannya, sedarkah golongan ini bahawa perbuatan ini sesuatu yang dilaknat oleh Allah dan Rasul-Nya. Dari sudut konteks agama, isu ini juga bukan suatu isu baharu, bahkan berapa ramai umat Islam pada hari ini yang terjerumus dalam perbuatan terlaknat ini. Bahkan, mereka ini jugalah antara figura yang sentiasa melaung-laungkan slogan yang kononnya memperjuangkan hak kesamarataan, hak kebebasan dan sebagainya. Perkara ini tidak mempunyai matlamat lain selain hanya untuk membenarkan perlakuan sumbang dan terlaknat ini agar diterima oleh masyarakat.
Jika kita soroti sejarah serta mengambil iktibar apa yang berlaku kepada kaum Nabi Lut alaihi salam. Kaum Nabi Luth dikenali sebagai kaum sodom dimana kehidupan mereka ini mengamalkan amalan sonsang dan menyimpang iaitu menyukai sesama jenis. Bahkan, tertulis dalam lipatan sejarah bagaiman mereka mendustakan Nabi Luth dengan mengatakan bahawa Nabi luth dan pengikutnya adalah golongan yang ingin berlagak suci. Maka disebabkan tindakan kaum sodom yang keras kepala dan mengingkari perintah-perintah Allah, maka merekadibinasakan dengan gempa bumi yang amat dasyat, ribut kencang dan juga hujan batu yang menghancurkan setiap daripada mereka.
Hubungan kisah kaum sodom ini kepada perbuatan wanita menyerupai lelaki dan lelaki menyerupai wanita ialah perbuatan menyerupai jantina yang berlawanan akan menatijahkan kepada golongan yang suka kepada sesama jenis. Banyak bukti yang telah kita lihat pada akhir-akhir ini dan bagaiman kita juga melihat mereka seakan-akan tidak lagi malu dan takut untuk mempamerkan perbuatan terlaknat ini. Sungguh mereka langsung tidak peduli akan ancaman dan amaran dari Allah dan Rasul-Nya. Dalam sebuah hadis, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:
“Rasulullah melaknat kaum lelaki yang meniru perempuan dan kaum perempuan yang meniru kaum lelaki” (Hadis Riwayat Bukhari)
Meskipun dengan tujuan-tujuan yang baik sebagai contoh untuk tujuan pemasaran produk yang banyak berlaku pada hari ini, atau sekadar lakonan di layar kaca, kesemua ini tidak terlepas daripada golongan yang dilaknat oleh Allah SWT dan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam kerana sepertimana yang sering kita dengar ungkapa “matlamat tidak menghalalkan cara.
Bertaubatlah wahai si pelaku dan juga mereka yang sentiasa menjadi penyokong kepada golongan ini selagi ada ruang dan peluang yang diberikan. Ingatlah kepada azab pedih yang dijanjikan oleh Allah SWT. Hiduplah sebagai seorang manusia dan hamba yang besederhana dan bertaqwa kepada sang pencipta. Semoga pengakhiran yang baik untuk kita semua.