HIKMAH GADAIAN YANG SYARIE
Dalam menempuh kehidupan ini manusia akan diduga dengan pelbagai ujian bergantung kepada sejauh mana kesungguhan diri bagi mendapatkan sesuatu pekerjaan untuk menampung kehidupan mereka. Namun begitu, Islam tetap menyediakan beberapa cara atau jalan sementara untuk memberi kepada mereka yang tidak berkemampuan melalui salah satu bentuk gadaian tertentu. Mereka yang mempunyai harta untuk digadaikan boleh ditukar ganti dalam bentuk nilai matawang yang memberi kesan yang baik iaitu sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang berada didalam kesusahan buat sementara waktu.
Pemberi hutang hendaklah membuat satu jaminan kepada penghutang berbentuk tarikh atau pun sedikit perjanjian tertentu bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini pada masa hadapan. Ini kerana didalam Islam kita amatlah menjaga hak-hak sesama muslim yang lain yang mana jika kita meminjam atau memberi pinjam hendaklah sekurang-kurangnya mempunyai satu jaminan yang sesuatu pinjaman itu ada had dan tempoh tertentu untuk dilangsaikan. Ini bertujuan untuk mengelakkan daripada adanya berlaku salah faham atau tipu daya dalam bab pinjam meminjam ini. Bagi memulakan sesuatu perniagaan semestinya seseorang itu memerlukan modal yang besar bagi memastikan proses perniagaan lebih mudah dan tersusun. Dalam hal ini gadaian dapat membantu peniaga bagi menyuntik modal dalam bentuk matawang. Barang yang hendak digadaikan dijadikan sebagai cagaran dan dalam tempoh tertentu jika barangan tersebut tidak dituntut maka pihak pajak gadai berhak untuk menjual barangan tersebut.
Dalam menjana serta menstabilkan ekonomi, sistem gadaian juga memainkan peranan dalam membantu ekonomi umat Islam supaya lebih senang maju dan berkembang ini kerana, dengan adanya pajak gadai yang berkonsep Islam serta memenuhi syara’ diharapkan menjadi sebagai suatu alternatif kepada umat Islam dalam membantu menjadi perintis kepada pergerakan ekonomi yang lebih jitu terutamanya membantu mereka yang memerlukan suntikan modal awal mahupun mereka yang mempunyai kesungguhan dalam bidang perniagaan tetapi tidak mempunyai modal.
Dalam Islam amat mementingkan semangat kerjasama dalam apa jua perbuatan. Dalam Al-Quran juga banyak disebutkan tentang kerjasama dan sikap tolong menolong yang perlu ada dalam diri setiap umat Islam. Sistem yang wujud dalam Islam secara tidak langsung membantu memperkukuhkan ukhuwah sesama umat Islam kerana ianya menyemai sikap bantu membantu serta memupuk sikap yang positif dalam memajukan diri serta saudara seislam kita. Secara kesimpulannya, gadaian adalah diharuskan dalam Islam selagi ianya tidak bercanggah dengan hukum Syara’. Sudah menjadi kewajipan kepada umat Islam memastikan setiap gadaian adalah menurut syariah. Bahkan setiap rukun-rukun dan syarat juga mestilah dipatuhi supaya dapat menghalang daripada kezaliman dan penindasan.
Bagi memahami konteks gadaian menurut Islam terdapat tiga istilah penting untuk kita ketahui iaitu ar-Rahnu, Al-Wadi’ah Yad Dhamanah, Al-Qard sepertimana yang dinyatakan di atas yang pasti menghalang berlakunya riba’ dalam gadaian. Dalam konteks gadaian menurut Islam, penggadai akan menggadai barang gadaian kepada pemegang gadaian. Barang gadaian akan menjadi cagaran kepada hutang dan akan digunakan untuk melangsaikan hutang jika hutang tersebut tidak dibayar. Sekiranya pemegang gadaian mendapati penggadai sukar untuk dia menjelaskan hutangnya, maka pemegang gadai berhak mengambil semula hutangnya melalui barang yang dicagar. Iaitu dengan cara menjual dan kemudian mengambil hutangnya melalui bayaran yang diperolehi. Maka dengan itu, jelaslah bahawa gadaian mengikut hukum syara’ lebih memuaskan berbanding Pajak Gadai Secara Konvensional.