HARUM MU BOLEH MENJADI HARAM
Menurut Kamus Dewan, wangian bermaksud segala sesuatu yang berbau wangi, harum dan sedap baunya. Minyak wangi adalah salah satu untuk membuat wanita percaya diri dan tidak terasa bau yang mengganggu jika sedang berkumpul atau bersama orang-orang yang lain. Berikut adalah penjelasan mengenai hukum wanita menggunakan minyak wangi.
Di dalam fiqih wanita muslimah, ada beberapa pendapat yang berkenaan dengan penggunaan minyak wangi bagi wanita. Ada yang memperbolehkan dan ada yang tidak. Wanita boleh mengikuti asalkan ada dalil dan pendapat yang kuat. Berikut ini adalah penjelasan mengenai wanita menggunakan minyak wangi dan hukumnya dalam islam.
Ibn al-Qayyim berkata: Wangi-wangian yang harum baunya adalah santapan bagi ruh (atau jiwa), manakala ruh merupakan pencetus kekuatan. Dan kekuatan dapat dipertingkatkan (atau dicetuskan) dengan bantuan wangi-wangian. Ia bermanfaat untuk merangsang otak dan jantung, serta seluruh organ tubuh dalaman. Wangi-wangian mampu membuatkan hati gembira, menenangkan jiwa dan menyegarkan semangat dalaman. Wangi-wangian adalah aroma yang paling serasi dengan ruh. Hubungan dan keterikatan antara ruh dan wangi-wangian amat erat. Wangi-wangian adalah salah satu daripada perkara-perkara dunia yang amat disukai oleh Nabi SAW.
Beliau turut menyebut: “Bau-bauan yang harum itu merupakan suatu yang disukai oleh Rasulullah SAW. Pengaruhnya amat memberi kesan terhadap penjagaan kesihatan dan mampu mencegah pelbagai bentuk gangguan penyakit dan faktor-faktor penyakit dengan sebab kekuatan secara semulajadi yang terdapat padanya.
Terdapat sebuah hadis yang boleh dijadikan perbincangan di dalam isu ini. Ia adalah sebuah hadis daripada Abu Musa al-Asy`ari RA bahawa Nabi SAW telah bersabda:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ
Maksudnya: “Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian, kemudian berjalan melalui sekumpulan kaum lelaki dengan tujuan agar mereka mencium bau harum yang dipakainya, maka perempuan tersebut adalah seorang pelacur.”
Imam al-Munawi menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan hadis di atas adalah perempuan yang memakai minyak wangi yang terzahir dan kuat baunya kemudian keluar dari rumah lalu melewati satu kaum iaitu lelaki-lelaki ajanib dan memang itu tujuannya, maka perempuan itu adalah penzina dari sudut mendapatkan dosanya.
Seterusnya al-Imam al-Munawi menyebut: “Dan perempuan jika mengenakan wangian lalu melewati satu majlis (yang padanya terdapat lelaki-lelaki) maka ia mampu menaikkan syahwat lelaki-lelaki dan mendorong untuk memandang ke arahnya, maka setiap yang memandang kearahnya, maka matanya telah melakukan zina. Perempuan itu mendapat dosa kerana telah memancing pandangan kearahnya dan menjadikan hati lelaki tidak tenang. Makanya, ia adalah sebab berlakunya zina mata dan ia termasuk penzina.”
Kesimpulannya, ini menunjukkan bahawa jelas tentang keharaman wanita untuk mengenakan wangian apabila keluar di rumah. Adapun jenis wangian yang disebutkan di sini adalah dari jenis yang zahir, kuat baunya sehingga mengalihkan pandangan ajnabi tertempu kepadanya. Ini boleh menggerakkan syahwat lelaki-lelaki yang mana hati mereka telah pun sakit dan boleh membawa kepada berlakunya perkara yang lebih buruk.
Dikarang oleh: Nurul Izzah
Disunting oleh: Nur Alifah Ilyana