TADABBUR KALAMULLAH : KISAH PEMILIK DUA KEBUN (1)
Dalam Surah al-Kahfi, terdapat satu kisah yang Allah SWT nyatakan tentang dua orang lelaki yang salah seorangnya merupakan pemilik kepada dua kebun. Kisah ini diceritakan bermula daripada ayat ke 32 Surah al-Kahfi. Kisah ini mempunyai pengajaran yang perlu kita ambil manfaat dan menjadikannya sebagai pedoman dalam kehidupan, khususnya dalam menghadapi fitnah kekayaan dan kekuasaan dunia akhir zaman.
Bertitik tolak daripada kesombongan kaum musyrikin yang berbangga-bangga dengan harta kekayaan dan kedudukan mereka serta keengganan mereka untuk duduk bersama kaum muslimin kerana diantara mereka itu ada yang lemah dan miskin, lalu Allah SWT memberikan perumpamaan bagi dua kelompok (orang musyikin dan orang mukmin) diatas dengan dua orang lelaki, yang salah satu daripada keduanya memiliki dua buah kebun anggur.[1]
Firman Allah SWT :
﴿وَاضْرِبْ لَهُمْ مَثَلًا رَجُلَيْنِ جَعَلْنَا لِأَحَدِهِمَا جَنَّتَيْنِ مِنْ أَعْنَابٍ وَحَفَفْنَاهُمَا بِنَخْلٍ وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمَا زَرْعًا٣٢
Maksudnya : «Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain(32)»
Dua orang lelaki itu salah seorangnya adalah merupakan seorang yang kafir, dan dia diuji dengan kekayaan, manakala seorang lagi adalah seorang lelaki yang beriman, dan dia diuji dengan kesempitan. Lelaki yang kafir tersebut memiliki dua buah kebun anggur. Kebunnya yang subur dengan pemandangan yang indah itu digambarkan oleh Allah SWT melalui firman Nya :
كِلْتَا الْجَنَّتَيْنِ آتَتْ أُكُلَهَا وَلَمْ تَظْلِمْ مِنْهُ شَيْئًا وَفَجَّرْنَا خِلَالَهُمَا نَهَرًا٣٣
Maksudnya : «Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai(33)»
Pemilik kebun itu merasa angkuh dan tidak bersyukur atas kurniaan nikmat yang Allah SWT pinjamkan kepadanya, sehingga dia mengeluarkan perkataan yang menggambarkan rasa bangga diri atas kehebatannya. Firman Allah SWT :
وَكَانَ لَهُ ثَمَرٌ فَقَالَ لِصَاحِبِهِ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَنَا أَكْثَرُ مِنْكَ مَالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا٣٤
Maksudnya : «Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: “Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”(34)»
PENGAJARAN :
- KEKAYAAN DAN KEKUASAAN BOLEH MENAMBAHKAN KESOMBONGAN
Sepertimana yang dikhabarkan oleh al-Quran, kekayaan, pengaruh dan pengikut ramai yang Allah pinjamkan kepada lelaki yang memiliki dua kebun yang subur telah menambahkan keangkuhan didalam dirinya. Dia menjadi sombong, angkuh dan mencaci kawannya yang miskin. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dengan nikmat kekayaan dan kekuasaan serta hendaklah menggunakannya untuk jalan ketaqwaan, bukannya menggunakannya untuk menindas dan meremehkan orang yang lemah.
- KESENANGAN DAN KESEMPITAN ADALAH DUA BENTUK UJIAN DARIPADA ALLAH
Sebagaimana Allah menguji sebahagian manusia dengan kesempitan hidup, Allah juga menguji seseorang dengan kesenangan. Setiap manusia hendaklah sentiasa merendah hati dan sentiasa kembali kepada Allah, meskipun dalam keadaan diuji dengan kesenangan mahupun kesempitan.
[1] Ibnu Katsir. Tafsir Ibnu Katsir.