PANDUAN DALAM MELAKSANAKAN IBADAH PUASA DI BULAN SYAABAN.
Umat Islam digalakkan untuk memperbanyak puasa sunat dalam bulan Syaaban.
Hal ini berdasarkan sebuah hadis :
عَنْ أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنَ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
“Daripada Usamah bin Zaid dia berkata, aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W;
“Wahai Rasulullah S.A.W, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada bulan-bulan lain sebagaimana (kerapnya) engkau berpuasa di bulan Syaaban.
Baginda bersabda: “Bulan tersebut merupakan waktu manusia lalai iaitu antara Rejab dan Ramadan. Ia merupakan bulan yang mana pada bulan tersebut amalan diangkat kepada Allah Rabb semesta alam. Aku suka amalan aku diangkat ketika aku berpuasa”. (Hadis Riwayat Annasa’i)
شَهْرُ رَجَبٍ شَهْرُ الزَّرْعِ وَشَهْرُ شَعْبَانَ شَهْرُ سَقْيِ الزَّرْعِ وَشَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرُ حِصَادِ الزَّرْعِ
Bulan Rejab adalah waktu dimana untuk kita bercucuk tanam, bulan Syaaban adalah waktu bagi menyiram tanaman dan bulan Ramadan adalah waktu bagi kita untuk menuai hasil tanaman. Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda
يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Syaaban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. (Sahih Ibnu Hibban)
Ayuh kita merebut peluang memperbanyakkan amal soleh di bulan Syaaban antaranya adalah dengan berpuasa sunat.
Tatacara puasa di bulan syaaban.
- Niat Puasa Sunat Syaaban:
نويت صوم شهر شعبان سنة الله تعالى
“Nawaitu sauma syahri syaaban sunnatan lillahi Ta’ala.”
Maksudnya : Sahaja aku niat puasa sunat pada bulan Syaaban kerana Allah Ta’ala.
Selain niat di dalam hati, kita juga disunatkan untuk mengucapkan dan melafazkannya dengan lisan. Sepertimana puasa sunat yang lain, niat puasa Syaaban dapat dilakukan sejak malam hari sehingga siang sebelum daripada masuk waktu zawal (iaitu waktu dimana saat matahari tergelincir ke barat), dengan syarat belum melakukan hal-hal yang membatalkan puasa sejak terbit fajar atau sejak masuk waktu subuh. (Imam Zainuddin Al-Malibari, Fathul Mu’in, juz kedua, halaman:223).
- Makan pada waktu sahur.
Terlebih utama adalah makan sahur dilakukan ketika mana menjelang masuk waktu subuh sebelum daripada masuk waktu imsak.
- Melaksanakan ibadah puasa dengan menahan diri dari segala perkara-perkara yang membatalkan puasa. Seperti makan, minum dan semisalnya.
- Menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa seperti mengucapkan perkataan yang kotor, mengumpat, mengadu domba dan segala perbuatan-perbuatan dosa.
Rasulullah SAW bersabda:
كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعِ وَالْعَطَشِ
(رواه النسائي وابن ماجه من حديث أبي هريرة) Maksudnya: “Banyak orang yang berpuasa yang tidak mendapatkan apa-apa dari puasanya kecuali hanya rasa lapar dan dahaga.” (HR Annasa’i dan Ibnu Majah dari riwayat hadis Abu Hurairah radiallahuanhu).
- Bersegera dalam berbuka puasa apabila tibanya waktu maghrib. (Ibrahim al-Bajuri, Hasyiah Bajuri ‘ala Ibnil Qasim al-Ghazi,(juz I, halaman: 292-294).
Marilah kita bersama-sama memperbanyakkan doa-doa ini ketika di bulan Rejab dan Syaaban, semoga Allah SWT mengkurniakan buat kita kekuatan dan mengembalikan semula penghayatan kita untuk lebih giat beribadah nanti di bulan ramadan yang akan tiba tidak lama lagi, in Shaa Allah.
Antara doa-doanya adalah seperti berikut:
- Pertama:
اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
Maksudnya: “Ya Allah, Kau berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan Kau berkatikanlah kami dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadan.”
- Kedua:
اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا
Maksdunya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadan, sejahterakanlah Ramadaan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan Ramadan itu).”
Mintalah juga pada Allah swt agar kita diberi kesihatan yang baik dan berterusan, agar dapat beribadah pada Allah swt pada setiap masa, khususnya pada bulan Ramadan nanti dalam keadaan sempurna dan diterima Allah swt. Menurut Imam Ass-Syafi’e Rahimahullah, malam nisfu syaaban adalah termasuk dalam 5 malam yang dimustajabkan akan doanya:
قَالَ الشَّافِعِىُّ : وَبَلَغَنَا أَنَّهُ كَانَ يُقَالُ : إِنَّ الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ فِى خَمْسِ لَيَالٍ فِى لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَةِ الأَضْحَى وَلَيْلَةِ الْفِطْرِ وَأَوَّلِ لَيْلَةِ مِنْ رَجَبٍ وَلَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ Imam asy-Syafie berkata : “Doa itu mustajab pada lima malam; malam jumaat, malam raya adha, malam raya fitri, malam awal bulan rejab dan malam pertengahan/nisfu syaaban.” Diriwayatkan dalam:Imam asy-Syafie dalam kitabnya Al-Umm, Jilid 1/254, cetakan Dar El Fikr/Imam al-Baihaq dalam Sunan al-Kubra.
Tag:UstazUstazah.Com